Saturday, December 3, 2022

Lagu tema PH ‘penyamun’ tidak dimainkan semasa ceramah PH-UMNO di Padang Serai dan Tioman?

 


agendaily.com
1/12/2022
Aduh Malaysia.

Jika sebelum ini lagu tema utama Pakatan Harapan (PH), ‘Aduh Malaysia’ sentiasa dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi kini lagu popular nyanyian artis rap, Altimet itu tidak lagi berkumandang semasa ceramah politik di Padang Serai dan Tioman.

Lagu ‘Aduh Malaysia’ yang bertemakan mesej melawan isu rasuah dan ‘penyamun’ yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO itu popular semasa PH berkempen di seluruh negara, namun situasi berbeza kini selepas UMNO kini berada sekapal dalam kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Anwar sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) juga sering menyanyikan lagu tersebut bersama-sama penyokong PH yang lain dalam jelajah kempennya di seluruh negara.

Namun, difahamkan PH mahu menjaga hati rakan politik baharu mereka iaitu UMNO-Barisan Nasional (BN) dan tidak akan memainkan lagu tersebut semasa kempen ceramah di Padang Serai dan Tioman.

Semasa kempen ceramah malam tadi di Rompin yang menyaksikan PH-UMNO berada atas pentas ceramah bersama, lagu tersebut juga tidak dipasang untuk didengarkan kepada orang ramai yang hadir.

“Takkan rosakkan perkahwinan yang baharu berlangsung antara PH dan BN,” kata seorang sumber orang parti dalam PH.

Seorang pemimpin UMNO juga memberitahu Agenda Daily, lebih baik lagu tersebut tidak dimainkan sepanjang kempen bersama-sama kerana dikhuatiri akan menyebabkan ahli-ahli UMNO berkecil hati.

Semasa kempen PRU-15 lalu, pemimpin PH membawa tema melawan rasuah dan mempertahankan integriti dengan pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah dijadikan sasaran serangan.

Bagaimanapun, senario politik semasa berubah selepas UMNO-BN menjalinkan kerjasama dengan PH bagi mengangkat Anwar sebagai PM ke-10.

PH secara bersendirian tidak mempunyai cukup majoriti untuk menjadi kerajaan di peringkat pusat, tetapi mujurlah anak murid Anwar yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U melanggar ketetapan parti untuk bersama PH dan DAP.

No comments:

Post a Comment