Semua dah tahu, Pakatan Harapan telah menyenarai pendek nama beberapa tokoh yang akan diangkat sebagai perdana menteri (PM) jika pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-14.
Semua juga tahu, tokoh-tokoh berkenaan adalah berbangsa Melayu, cukup berpengalaman untuk mentadbir negara selain mendapat sokongan semua parti dalam pakatan tersebut.
Semua juga sedia maklumkan, tidak ada pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang yang kemaruk dengan jawatan nombor satu negara itu.
Hal ini ditegaskan berkali-kali oleh semua pimpinan DAP, terbaru oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng beberapa hari yang lalu.
Sindiran Najib
Namun, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan penggulungan perhimpunan agung Umno yang lalu menyindir Kit Siang yang didakwanya berminat menjadi PM.
Najib berkata, Kit Siang tidak boleh berselindung di sebalik seorang Melayu seperti yang dilakukannya sekarang.
Setelah Najib berkata sedemikian, media arus perdana yang dikawal kerajaan mengikut telunjuk Umno dengan terus menyiarkan berita-berita Kit Siang bakal menjadi PM.
Antaranya, media arus perdana menyiarkan kenyataan bekas naib pengerusi DAP yang mendakwa Kit Siang mahu menjadi PM demi menyelamatkan Guan Eng jika didapati bersalah atas tuduhan rasuah.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dipetik sebagai berkata, rakyat perlu menolak pemimpin DAP itu yang bercita-cita menjadi PM kerana bukan Muslim.
Sekutu Umno yakni Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai turut berkata, negara akan terjejas jika Kit Siang menjadi PM dan menuduh pemimpin veteran DAP itu sebagai ahli politik yang tidak berprinsip.
Agenda, strategi Umno
Justeru, kita boleh nampak dengan jelas, mampu membuat kesimpulan bahawa agenda mensensasikan berita Kit Siang bakal menjadi PM adalah gerak kerja Umno dan sekutunya dalam BN.
Tetapi, kenapa Umno mahu Kit Siang jadi PM?
Sebelum itu, tindakan tersebut secara terang lagi bersuluh menjelas serta menegaskan Umno, BN dan sikap rasis itu, berpisah tiada.
Tujuan memomokkan Kit Siang sebagai PM hanya untuk menakutkan orang Melayu setelah sekian lama Kit Siang diadu-domba sebagai seorang anti Melayu, anti-Islam.
Mereka takutkan orang Melayu, jika Kit Siang jadi PM maka maruah bangsa itu tergadai kedudukan agama Islam akan akan tergugat.
Tetapi, mereka juga gelisah kerana pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP berjaya memakmurkan perkembangan dan kemajuan agama itu di negeri berkenaan.
Sebenarnya, mereka takut jika BN kalah, puak-puak ini akan kehilangan kuasa dan mungkin berdepan dakwaan pihak berkuasa atas salah laku yang lampau.
Kerajaan lebih baik
Mereka takutkan jika HARAPAN menang, rakyat mampu untuk melihat kerajaan mana yang lebih baik dan peluang BN untuk kembali berkuasa akan lenyap selamanya jika keputusan pengundi berpaksikan prestasi semasa BN.
Justeru, tatkala negara kini berada di ambang PRU14, rakyat dibuai dengan kisah dongeng sebegini.
Umno mungkin berharap, apabila berita Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat lupa derita kehidupan yang dicetuskan oleh GST.
Umno mungkin berdoa, apabila berita Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat negara ini lupa mengenai kenaikan harga barang yang menjurus peningkatan kos sara hidup.
Mungkin Umno juga berharap, jika cerita karut Kit Siang menjadi PM disensasikan, rakyat akan sampai ke tahap tidak kisah jika BN terus kekal berkuasa - asalkan bukan Cina yang menjadi PM.
Tak apa, yang Umno mungkin tidak tahu, rakyat Malaysia tidak lagi bodoh, mereka tahu kerajaan mana nak bertekad untuk teruskan GST dan kerajaan mana yang nak hapuskan GST.
Rakyat juga tahu Kit Siang tidak akan menjadikan PM baru sebagai boneka, sebaliknya bekerjasama untuk memajukan negara ini dengan menjadikan usaha pembasmian rasuah sebagai antara agenda utama.
AMRAN AHMAD NOR yang kini menyertai DAP adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.
No comments:
Post a Comment