Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP akan dapat memastikan masa depan UMNO lebih terjamin selepas ini, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor yang kalah bertanding semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu itu berkata langkah untuk membentuk kerajaan bersama PH-DAP dan bukan Perikatan Nasional (PN) adalah tepat dan akan memberi kekuatan kepada UMNO khususnya.
“Sebab itulah, tindakan pucuk pimpinan untuk tidak bekerjasama dengan PN pada PRU-15 lalu adalah satu keputusan bijak.
“Biarpun menyaksikan PN menang 73 kerusi dan UMNO hanya dapat 30 kerusi tapi justifikasi untuk masa depan UMNO lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, UMNO tidak akan dapat memenangi lebih banyak kerusi jika berterusan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dan PAS.
“Jika UMNO bergabung dengan Bersatu dan PAS dalam PN ketika itu, belum tentu lagi UMNO akan ada 30 kerusi kerana pastinya pemilikan kerusi untuk UMNO/BN bertanding semakin kurang,” ujarnya lagi.
Nur Jazlan yang juga calon Parlimen Pulai sebelum ini turut memuji PH apabila memberi portfolio penting kepada UMNO dalam pembentukan barisan Kabinet baru-baru ini.
“PH tak mengetepikan atau menganaktirikan UMNO dalam pelantikan menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan dengan menyaksikan wakil UMNO mendapat kouta yang sama rata dengan PKR dan DAP.
“Malahan Kabinet yang dibentuk oleh Anwar (Ibrahim) juga tetap mengekalkan tradisi Kabinet majoriti Melayu seperti yang diamalkan oleh BN (Barisan Nasional) sejak 60 tahun lalu,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, UMNO dibawah Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan membelakangi ketetapan semasa Perhimpunan Agung lalu apabila menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan bekerjasama dengan PH-DAP.
Semasa PRU-15 juga, UMNO-BN mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah apabila sekadar memenangi 30 kerusi Parlimen.
Allah Maha mengatahui
ReplyDelete