Monday, July 10, 2017

Saman fitnah: Mahkamah tolak rayuan NFC, Mohamad Salleh


 https://dinmerican.files.wordpress.com/2015/10/nfc-scandal.gif?w=545
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan dikemukakan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Seri Mohamad Salleh berhubung saman fitnah mereka terhadap Nurul Izzah Anwar dan PKR berkaitan kenyataan pembelian lapan unit hartanah di KL Eco City.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan rayuan itu tidak mempunyai merit.

Panel itu juga memutuskan hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan yang memerlukan mahkamah rayuan untuk campur tangan.

Kami mengesahkan dapatan fakta oleh hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi). Rayuan ini ditolak dengan kos RM50,000," katanya Hakim Abang Iskandar yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Dr Badariah Sahamid dan Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan.

NFCorp dan Mohamad Salleh merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Mac 2016, yang menolak saman mereka terhadap Nurul Izzah dan PKR.

Hakim Mahkamah Tinggi memutuskan kenyataan dibuat Nurul Izzah, selaku defendan, tidak memfitnah Mohamad Salleh.

Hakim berkata kenyataan itu apabila dibaca secara menyeluruh tidak bersifat memfitnah Mohamad Salleh kerana kenyataan media dibuat Nurul Izzah adalah dalam kapasitinya sebagai anggota Parlimen (MP) Lembah Pantai.

Hakim juga berkata kenyataan itu ditujukan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil iaitu bekas MP Lembah Pantai yang juga isteri Mohamad Salleh, dan mana-mana orang yang berfikiran waras akan menimbangkan artikel itu sebagai menggesa akauntabiliti di pihak Shahrizat berhubung kenyataan MP Pandan Mohd Rafizi Ramli berhubung perkara sama.

Pada 24 Dis, 2013, Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Saifuddin Nasution atas dakwaan memfitnahnya dalam komen Nurul Izzah berhubung pendedahan oleh Mohd Rafizi, yang ketika itu pengarah strategi PKR, mendakwa Mohamad Salleh telah melakukan penyelewengan dana syarikat itu.

Mohd Rafizif didakwa berkata plaintif telah membeli lapan unit hartanah di KL Eco City menggunakan dana NFCorp.

Plaintif mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan memfitnah itu dalam siaran Malaysiakini TV pada 7 Mac, 2012.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili NFCorp dan Mohamad Salleh manakala peguam Razlan Hadri Zulkifli dan peguam Joshua Kevin mewakili Nurul Izzah dan Saifuddin.

No comments:

Post a Comment