Monday, July 10, 2017

Mukhriz arah peguam ambil tindakan terhadap Najib


 mukhriz-najib-razak
PETALING JAYA: Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengarahkan peguamnya bertindak ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan beliau cuba mempengaruhi keputusan mahkamah mengenai saman malunya terhadap perdana menteri itu melalui kenyataan yang dibuat setiausaha akhbarnya, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

“Saya mendapati kenyataan itu sengaja dibuat oleh Najib untuk mengganggu perjalanan perbicaraan kerana beliau mengetahui dengan baik tuntutan saya terhadap Tengku Sariffuddin,” kata Mukhriz.

Bekas MB Kedah yang juga penyandang ahli dewan undangan (Adun) Ayer Hitam itu memfailkan saman ke atas 4 kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tengku Sariffuddin pada 15, 20, 23, dan 26 April.

Keempat-empat siaran akhbar itu ialah “Kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri mengenai pengesahan sumbangan oleh menteri luar Arab Saudi”, “Kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri mengenai wawancara Reuters dengan bekas DPM”, “Kenyataan Mukhriz Mahathir: Respon oleh setiausaha akhbar perdana menteri” dan “Kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir”.

Dalam tuntutan balas, Tengku Sariffuddin berkata beliau tidak pernah memfitnah Mukhriz dalam mana-mana kenyataan medianya tetapi cuba menjelaskan isu dan ketidakbenaran yang tersebar tentang Najib.

Tengku Sariffuddin berkata kenyataan itu disiarkan berdasarkan kelayakan keistimewaan dan tanpa niat jahat.

Jumaat lalu, Najib mengeluarkan kenyataan bertajuk “Mahathir’s latest U-turn demonstrates his RCI panic” (Pusingan-U terkini Mahathir didorong rasa khuatir pada Suruhanjaya Siasatan Diraja – RCI) .

Najib berkata Dr Mahathir “obses” untuk “menyelamatkan legasi keluarganya” dan menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, perdana menteri.

Mukhriz berkata beliau sangat kecewa apabila Najib sebagai seorang yang memegang jawatan tertinggi di Malaysia boleh merendahkan dirinya dengan kenyataan itu.

“Pada pendapat saya, ini adalah contoh paling jelas gangguan dan tekanan yang melanggar undang-undang ke atas perjalanan perbicaraan mahkamah,” katanya.

No comments:

Post a Comment