Wednesday, July 12, 2017

Munasabah tiada pemilihan semula

Munasabah tiada pemilihan semula
    0
dari media cina
Gambar hiasan
 
MESYUARAT Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang memutuskan untuk tidak mengadakan pemilihan parti semula seperti yang diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) harus diterima oleh semua pihak dengan hati terbuka.

Menurut penganalisis politik, Dr Phoon Wing Keong, reaksi awal yang diberikan pucuk pimpinan DAP dianggap munasabah kerana sekiranya pemilihan parti diadakan semula, ia tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah berbangkit.

"Tidak ada seorang pun boleh memberi jaminan apakah sekiranya pemilihan parti diadakan buat kali kedua, ia sudah tentu akan diiktiraf oleh ROS?

"Saya boleh terima alasan yang diberikan oleh DAP untuk tidak mengadakan pemilihan parti semula memandangkan parti itu tidak diberikan penjelasan yang kukuh daripada ROS," katanya ketika memberitahu Oriental Daily.

Menurut Wing Keong, sekiranya pucuk pimpinan DAP segera akur dengan kehendak ROS, dari segi politik, parti itu akan dianggap lemah dan terlalu cepat tunduk kepada kehendak Umno. Ini sekali gus menyebabkan parti itu sukar memberi penjelasan meyakinkan kepada akar umbi dan pengundi.

Pada mesyuarat tergempar yang diadakan oleh DAP kelmarin, parti itu turut meminta mengadakan pertemuan dengan pihak ROS bagi berbincang masalah berbangkit.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, partinya sudah melakukan pemilihan semula ahli CEC pada 29 September, 2013 seperti yang diarahkan ROS.

“Keputusan pemilihan semula itu dihantar kepada ROS pada 8 November, 2013 selaras dengan peruntukan Perlembagaan kami dan Akta Persatuan 1966,” katanya.

Bagaimana pun, Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dilapor berkata, pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013 itu tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan itu menimbulkan kontroversi selepas dikatakan tidak berdasarkan kepada senarai nama perwakilan berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

No comments:

Post a Comment