Sunday, June 4, 2017

Rakyat perlukan 'pemandu' baru


1. Penentangan terhadap kemungkaran tidak semestinya dalam bentuk menyerang peribadi atau memaki hamun dan mencerca. Lagi tidak munasabah jika kemungkaran dijawab menggunakan fitnah atau fitnah diguna untuk menjawab satu fitnah yang lain.
2. Andainya ukuran kejayaan hanya kepada kalah atau menang pilihan raya sahaja, maka sangat murahlah perjuangan ini. Hampir tiada beza dengan parti lain yang dasarnya tidak berpijak kepada akidah dan syariat Allah.



ULASAN | Tanggapan orang ramai yang selalu tersilap ialah menganggap PAS hanyalah sebuah parti politik.
PAS sebenarnya lebih dari itu. Pada asasnya PAS ialah gerakan dakwah dan tarbiyah ummah yang bertujuan mengajak kembali kepada ketauhidan dan menjauhi syirik.
Selain itu, PAS juga mengajak ummah untuk menentang perhambaan kepada harta, pangkat kebesaran dan menentang perhambaan kepada manusia dan sistem ciptaan manusia.
Politik membentuk sebahagian dari asas perjuangan PAS.
Penyertaan PAS dalam pilihan raya tidak sama matlamatnya dengan parti politik lain.
Dalam apa juga keadaan, PAS berusaha menzahirkan Islam di dalam semua aspek kehidupan, termasuklah politik.
PAS terus bekerja menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh sendi masyarakat. Dakwah bukan hanya mengajak kepada Islam sebagai akidah tetapi seluruh sendinya.
Tidak terikat dengan pilihan raya
Jika kita menggunakan kebersihan awam dan tandas awam di Malaysia yang majoriti rakyatnya beragama Islam sebagai piawai, begitulah jauhnya lagi amalan Islam dipraktikkan di Malaysia.
Ini menjadikan persoalan seperti kebajikan, kebersihan, keselamatan pekerja, pembelaan golongan tertindas, tadbir urus kerajaan, sistem kenegaraan sebagai medan dakwah yang sangat luas.
Bukankah semua ini adalah manhaj Islam sebagai penyelamat ummah?
Pembinaan tarbiyah ummah bermula seawal kelahiran. Semua medan besar dakwah ini tidak terikat dengan pilihan raya.


Kerana itu, ahli dan pimpinan PAS yang memahami perjuangan besar PAS sebagai satu gerakan dakwah tidak akan terbelenggu dengan dogma bahawa "kalau tewas maka habislah perjuangan".
Selain dakwah, PAS juga berusaha untuk memperbaiki diri.
PAS juga berusaha untuk menentang kemungkaran, menukar parti yang korup, rasuah dan pelbagai kelemahan yang ada, dengan Islam sebagai pemandu.
PAS bekerja keras bagi mencapai kemenangan setiap kerusi yang dipertandingkan. Kerana itu, PAS berdaftar sebagai sebuah parti politik. Bukan macam jemaah dakwah lain.
Ia kerana mendapatkan kekuasaan adalah sebahagian dari kesempurnaan penghayatan Islam. Kuasa ialah alat bukannya matlamat akhir perjuangan PAS.
Inilah yang membezakan kita dengan parti politik lain.
Golongan yang kecewa
Mereka yang hanya berfikir mengenai kerusi pilihan raya akan meroyan apabila hanya memikirkan soal menang kalah perjuangan berdasarkan pilihan raya sahaja.
Aspek kemenangan pilihan raya hanyalah sebahagian daripada wasilah perjuangan PAS yang luas.
Penetapan tiga tunggak utama perjuangan - dakwah, tarbiyah dan siasah - membuktikan jauhnya pandangan politik PAS.
Di saat memburu kemenangan pilihan raya, PAS wajib memperkasakan kesemua dimensi perjuangannya iaitu dakwah dan tarbiyah.
Ketiga-tiga tunggak ini mestilah seimbang bagi memastikan perubahan secara seimbang dan bersepadu.
Fokus yang besar kepada gerak kerja politik sahaja, dengan mengabaikan tarbiyah akan hanya melahirkan golongan yang kecewa dan putus asa apabila tewas dalam pilihan raya hatta pemilihan parti di muktamar.
Ia akan mula menyalahkan pelbagai pihak atas kekalahannya, lantas ia menjadi golongan yang mudah futur dalam perjuangan. Di saat inilah syaitan akan menghasutnya dan menjauhkan ia daripada perjuangan dan jihad.
Sebuah kerajaan menanti
Andainya ukuran kejayaan hanya kepada kalah atau menang pilihan raya sahaja, maka sangat murahlah perjuangan ini. Hampir tiada beza dengan parti lain yang dasarnya tidak berpijak kepada akidah dan syariat Allah.
Apabila lujnah dakwah dipisahkan daripada lujnah penerangan PAS, maka ia telah menghantar isyarat jelas perlunya diperkasakan peranan dakwah dalam parti.
Lujnah kanan dalam parti ini mempunyai fungsinya tersendiri. Ia berkait rapat dengan hala tuju parti dan pemerkasaan organisasi parti.
Lujnah ini menjadi pilihan kepada ahli yang berminat dalam medan dakwah melebihi medan politik pilihanraya. Ia mesti menyediakan ruang dan peluang yang terbuka kepada petugasnya.
Medan dakwah yang sangat luas ini memerlukan kesungguhan kerja dan mujahadah yang sangat tinggi.
Medan ini memerlukan dana yang besar bagi menggerakkan aktiviti sama ada di kalangan umat Islam atau mereka yang belum menerima Islam sebagai akidah mereka.
Kita mesti bekerja sebagai sebuah kerajaan menanti yang tersusun teguh samada fizikal jemaah (organisasi) atau ruhiyyah jamaah yang dibuktikan melalui kepatuhan, ketaatan, dan keikhlasan dalam perjuangan.


Bahtera besar ini mesti terus belayar. Di saat gelombang besar, mungkin perjalanannya perlahan dan lebih berhati-hati, manakala di saat lautan tenang ia boleh meluncur laju ke destinasi.
Nakhoda kapal akan memastikan laluan kapal akan belayar dengan betul walau sesekali membelok ke kiri atau kanan bagi mengelak batu karang atau gelombang besar. Ia tahu apa yang perlu dilakukan.
Anak-anak kapal tidak perlu mengambil alih tugas nakhoda. Kerana nakhoda jemaah ini mempunyai pasukan bagi membincang, merangka dan membuat keputusan bagi membantu tepatnya keputusan dan benarnya tindakan.
Tarbiyah adalah tunggak utama dalam parti. Ia bukan hanya berlegar di sekitar kepimpinan melalui medan sedia ada, seperti usrah, tamrin, rehlah, muqayyam dan liqa fikri.
Cara lapuk, ketinggalan
Tarbiyah meliputi pendidikan politik Islam kepada rakyat. Mendidik agar berfikir secara Islam agar boleh bertindak secara Islam.
Apabila PAS memperkenalkan BPMS (Budaya Politik Matang dan Sejahtera), ia bukan sekadar anjakan pendekatan politik, tetapi ia adalah perubahan cara berfikir di kalangan masyarakat.
Ia dijadikan dorongan untuk mendidik rakyat agar berfikir secara Islam, berdasarkan wahyu Ilahi. Penilaiannya bukan hanya hitam dan putih. Tetapi yang hak sebagai hak, yang batil sebagai batil.
Anjakan ini bersifat mendidik rakyat agar berani menyokong kebenaran seandainya ia sesuatu yang benar, walaupun ia dilakukan oleh pihak yang tidak disukai mereka.
Gambaran bahawa pembangkang perlu membangkang kerajaan secara totok, dan kerajaan perlu mempertikaikan segala cadangan pembangkang adalah cara lapuk dan ketinggalan.
BPMS membuat anjakan besar bahawa kita perlu menyokong apa jua tindakan yang betul dan tepat walaupun ia daripada pihak yang tidak disukai seperti kerajaan memerintah, selagi tidak bercanggah dengan syarak.
Namun kita perlu bangkit menentang sesuatu yang bercanggah dengan syarak, walau dilakukan oleh pihak yang disukai, seperti parti sendiri.
Penentangan terhadap kemungkaran tidak semestinya dalam bentuk menyerang peribadi atau memaki hamun dan mencerca. Lagi tidak munasabah jika kemungkaran dijawab menggunakan fitnah atau fitnah diguna untuk menjawab satu fitnah yang lain.


Ia boleh dilakukan dengan menegur, menasihati, memberi cadangan, menyerah memo, demonstrasi, atau menggerakkan rakyat agar mengundi dengan betul di dalam pilihan raya.
Pendekatan yang lebih matang ini insya-Allah menjadikan perubahan yang dicari tidak mendatangkan kemudharatan yang lebih besar kepada rakyat dan negara. Tragedi perubahan yang malang yang telah banyak berlaku di pelbagai negara perlu dijadikan panduan.
Betapa banyak rakyat yang lebih menderita selepas perubahan yang dicari. Mereka ditekan dengan kezaliman pemimpin, rasuah dan salah guna kuasa, penyelewengan harta negara sehingga sangat membebankan rakyat lalu mereka bangkit.
Sayangnya selepas berjaya dilakukan pertukaran kerajaan yang zalim dan menindas itu, mereka baru sedar penggantinya sebenarnya jauh lebih teruk menjadikan mereka lebih menderita dari sebelumnya. Inilah yang berlaku di Iraq, Libya dan Mesir.
Ini semua memberi petunjuk bahawa mengurus perubahan lebih penting dari perubahan itu.
Maaf jadi murah
Anjakan pendekatan BPMS, malangnya telah menyebabkan PAS dilihat mesra Umno/BN. Lalu pelbagai serangan dihalakan kepada parti dan kepimpinannya untuk terus menanam persepsi tersebut.
Pimpinan PAS menyedari dan sudah menjangkakan hal ini, kerana rata-rata pembangkang masih berfikiran lama, dan hanya selesa dengan politik warisan penjajah yang berpaksi kepada politik sekular yang tidak ada kawalan akhlak dan adab Islam.
Ceramah yang tradisinya mesti ada maki hamun, cerca dedah keaiban peribadi, dan sengaja mewujudkan persepsi negatif walaupun berdasarkan fakta yang tidak betul sekali pun.
Permohonan maaf atau menarik balik tuduhan menjadi perkara murah yang boleh dijual beli dalam politik. Satu-satu fitnah hari ini sanggup dipertahankan sehingga ia dibicarakan di mahkamah bertahun kemudian sebelum meminta maaf. Bagi golongan ini, yang penting ialah membina persepsi semasa bagi meraih sokongan pada waktu itu sahaja.
Beginilah budaya politik negara bertahun lamanya yang semakin menjadi-jadi saban hari kerana adanya media sosial sehingga memualkan. Tidak hairan apabila munculnya gambaran bahawa politik itu kotor. Politik yang tiada kena-mengena dengan agama. Politik suku agama suku dan sebagainya.
Negara dikatakan sedang menuju kepada negara maju. Kemajuan bukan hanya dalam aspek pembangunan, ia juga mesti meliputi politik kepartian.
Kalau di negara maju menjadi kebiasaan perdana menteri boleh menjemput ketua pembangkang hadir mendengar taklimat sesuatu projek besar negara. Peruntukan yang sama akan diberi kepada parti kerajaan atau pembangkang yang memenangi pilihan raya.
Pembangkang juga akan dilantik dalam sesuatu jawatankuasa bagi memantau perjalanan kerajaan.


Tanpa budaya BPMS, ini mustahil diamalkan di negara ini. Jika ada ahli parlimen setempat daripada pembangkang yang hadir dalam program kerajaan seperi majlis bantuan kepada nelayan di bawah parlimennya, mereka terus dicop kononnya hendak bersama kerajaan. Ini yang terjadi pada PAS.
Apabila pimpinan PAS menghadiri majlis menentang kezaliman umat Islam Rohingya, pelancaran kapal flotilla maka terus diserang sebagai ' PAS dan Umno sekapal'. Beginilah cara berpolitik hari ini sehingga melahirkan kenaifan fikiran sebahagian masyarakat kita.
Namun begitu, PAS akan terus membudayakan BPMS.
PAS berbangga bahawa kita telah berjaya membuat anjakan cara berfikir dan berpolitik di negara ini.
Apa-apa yang baru yang melanggar amalan hari ini akan pasti mendatangkan pelbagai reaksi. Insya-Allah, kita pasti akan berjaya dengan izin Allah.
PAS percaya bahawa budaya BPMS ini sangat diperlukan sebelum negara boleh bergerak ke depan, dan supaya perubahan yang dicari tidak akan bersifat separa dan tergantung.
Faham situasi berlaku
Hampir semua rakyat bersetuju, negara memerlukan pemandu baru.
Pemandu yang lama ini sengaja mengekalkan rakyat dalam keadaan sakit, pada masa yang sama berlakon menjadi doktor tunggal yang dapat memberikan panadol menyebabkan rakyat terpaksa bergantung padanya. Itulah kaitan sebenar antara GST dan BR1M.
Kita mengakui bahawa kepimpinan negara yang diterajui oleh Umno-BN adalah punca kepada masalah negara. Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini.
Rakyat memerlukan pemandu baru yang bukan sahaja tahu jalan yang ingin dilalui, tetapi turut memahami jalan mana yang selamat bagi rakyatnya di dunia dan akhirat.
Pemandu ini tidak hanya sibuk membina dunia, tapi juga sibuk membina akhirat bagi negara dan rakyatnya.
Oleh itu, pemandu yang baru mesti juga bertindak mengikut panduan al-Quran dan hadis.
PAS telah mengutarakan kerajaan teknorat sebagai penyelesaian.
Kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baru dan pentadbiran negara, manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut.
Maksud kerajaan teknorat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada perdana menteri hingga ke peringkat terbawah.
Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan perdana menteri dan menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.
Kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai di kalangan professional untuk mentadbir negara.
Berdasarkan sejarah politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik.
Seperti BPMS, PAS akan berusaha melanjutkan idea kerajaan teknorat ini sebagai satu model pentadbiran untuk negara. Insya-Allah.

No comments:

Post a Comment