Monday, June 19, 2017

PEGUAM NEGARA PERLU MENDAKWA SEGERA NAJIB RAZAK


Kenyataan Media Pemuda AMANAH Nasional
PEGUAM NEGARA PERLU MENDAKWA SEGERA NAJIB RAZAK

1. Pendedahan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) yang akhirnya telah menyerlahkan apa yang berlaku terhadap wang AS$620 juta yang dipulangkan Malaysian Official 1 (MO1) kepada “penderma”. Ironinya, identiti penderma yang dimaksudkan itu juga masih kabur dan penuh tanda tanya.
2. Tindakan DOJ ini telah membantu rakyat Malaysia untuk memahami kemana wang yang telah dipulangkan oleh MO1 atau Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak. Fakta adalah terlalu jelas seumpama mentari pagi bahawa MO1 adalah Najib Razak dimana beliau digambarkan sebagai individu yang menerima AS$681 juta (RM2.6 billion) daripada wang 1MDB yang mana jumlah tersebut disahkan   Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali walaupun dikatakan derma. Tiada menteri lain yang mengakui MO1, malahan Najib Razak juga tidak menafikannya. Tambahan pula, pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Abdul Rahman Dahlan bahawa MO1 adalah Najib Razak mengesahkan fakta ini.
3. Hari ini, DOJ telah membantu kita dengan membuat pelbagai pendedahan yang melibatkan penyelewengan MO1 dalam skandal 1MDB yang mana tidak mampu dilakukan oleh institusi penguatkuasa  undang-undang negara termasuk Peguam Negara, SPRM mahupun Polis Diraja Malaysia. Maruah negara hari ini begitu tercalar di peringkat antarabangsa sehinggakan digelar negara kleptokrasi.
4. Sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Najib Razak.
Malah wang tersebut digunakan untuk membeli gambar bernilai AS$750,000 sebagai hadiah kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.
5. Pendedahan ini bukanlah perkara baharu bagi rakyat Malaysia kerana dalam saman 'Civil Forfeiture' tahun lalu, DOJ berkata sejumlah AS$731 juta yang didakwa diseleweng daripada 1MDB mengalir ke dalam akaun peribadi MO1.
6. Justeru, Peguam Negara  Malaysia, Tan Sri Apandi Ali perlu mendakwa segera Najib Razak kerana kesemua keterangan yang didedahkan DOJ ini sudah pasti berada di atas meja beliau sebelum ini hasil siasatan yang dijalankan SPRM. Ketua Polis Negara juga perlulah bersikap lebih profesional dan diligent untuk mencampuri tindakan DOJ ini kerana ia bukan tindakan saman sivil, tetapi tindakan jenayah. Fakta yang didedahkan adalah berhubung salahlaku jenayah Perdana Menteri di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan AMLA. SPRM pula hendaklah menghantar semula kertas siasatan dan syor pertuduhan terhadap Perdana Menteri kepada Peguam Negara. Amatlah diharapkan agar Peguam Negara menjaga kepentingan dan maruah negara mengatasi MO1. Adalah amat penting untuk Peguam Negara memelihara keluhuran undang-undang.
Membina Negara Berintegriti
#PemudaBekerja
FAIZ FADZIL
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional
(16 Jun 2017)

No comments:

Post a Comment