Monday, June 19, 2017

Fitnah: Jika Berani Samanlah, Tun Dr Mahathir "Beritahu" Rosmah !












PETALING JAYA: Dua hari selepas peguam Datin Seri Rosmah Mansor memberi amaran sedang memantau media sosial yang membuat tuduhan fitnah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi sebuah tuduhan terhadap isteri perdana menteri itu dan mencabar menyamannya.


“Rosmah kata dia nak buru pemfitnah, dan saya tidak takut sebab ini bukan fitnah. Berani kerana benar,” kata pengerusi PPBM itu dalam kiriman klip video di Facebook hari ini.
Beliau turut memetik laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) minggu lalu mengenai pembelian barang kemas bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta) kepada seorang yang tidak dinamakan dengan menggunakan wang yang didakwa dilarikan daripada 1MDB.
“Jika berani, samanlah kami. Saya bersedia,” kata Dr Mahathir.
Sabtu lalu, firma guaman mewakili Rosmah, Tetuan Noorhajran Mohd Noor memberi amaran akan menyaman jika fitnah dan tuduhan tidak berasas dilemparkan.
“Baru-baru ini banyak serangan berniat jahat dan tidak berasas dibuat terhadap Rosmah Mansor di blog dan media sosial.
“Kami ingin mengingatkan orang ramai daripada membuat sebarang tulisan dan kenyataan palsu dan yang berniat jahat, yang boleh menyebabkan kekeliruan awam dan gambaran yang salah mengenai fakta berhubung dakwaan yang dibuat terhadap Rosmah,” kata firma itu dalam kenyataan.
Sebelum ini, Rosmah mengingatkan rakyat tidak mudah mempercayai kenyataan yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.
“Bagi melebar luas anasir-anasir kotor mereka, media sosial dijadikan senjata utama mereka untuk mengelirukan serta mempengaruhi minda dan fikiran rakyat,” kata Rosmah dipetik Bernama Sabtu lalu. #sumber

No comments:

Post a Comment