Bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pilihan raya umum, saya memilih untuk tidak menawarkan diri sebagai calon perdana menteri," kata Anwar dalam satu kenyataan media.
Berikut adalah kenyataan media yang dimaksudkan.
KENYATAAN MEDIA
Isu Pakatan Harapan dan calon Perdana Menteri
Pakatan Harapan perlu mengekalkan tradisi musyawwarah dan konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya. Semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan Pengerusi hanya sebagai penyelaras. Segala persiapan/agenda mesyuarat dikendali oleh Sekretariat Bersama mewakili semua parti.
Adapun usul Bersatu untuk merombak struktur Pakatan Harapan dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan Pengerusi dan Presiden dalam struktur baru Pakatan Harapan, dikhuatiri akan merombak kerangka Pakatan Harapan menjadikannya mirip BN. Maka kesediaan semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan.
Dengan hasrat merangkul semua kekuatan dalam satu pasukan mantap menentang UMNO-BN, adalah dirasakan wajar memastikan penyertaan semua pimpinan secara berkesan. Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Mahathir. Agak kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan.
Sepertimana yang disepakati Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, kita menggagaskan pembaharuan dan mengusung idea politk baru. Kita berpaksikan prinsip luhur Perlembagaan termasuk kedudukan Islam, hak keistimewaan Melayu-Bumiputera, bahasa, dan Raja-Raja Melayu. Kendati begitu, kita menolak asas politik perkauman; disebaliknya komited untuk menegakkan amalan demokrasi dan prinsip keadilan. Keutamaan dasar menjurus kepada kebajikan rakyat dengan menolak kerakusan kuasa dan rasuah. Laungan kita tidak terbatas kepada perubahan pimpinan tetapi sistem lapuk yang diwarisi yang mengizinkan segala pelanggaran hukum dan rasuah oleh pemimpin tanpa kawalan dan tindakan.
Perhatian Pakatan Harapan harus terpancang kepada dasar negara; kebobrokan sistem dan ke arah kemenangan PRU ke-14. Isu pinggiran lainnya, muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran kata kurang sopan dalam Pakatan Harapan tidak harus diizinkan.
Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calun Perdana Menteri. Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat.
Anwar Ibrahim
17 Jun 2017
No comments:
Post a Comment