Saya ambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa peningkatan penggunaan kemajuan teknologi dapat melihat Malaysia kehilangan 65 peratus daripada pekerjaan semasa pada tahun 2027.
Bagi saya, tenaga kerja mahir tempatan perlu diperkasakan dengan kemahiran untuk memanfaatkan bakat dan potensi mereka yang sepatutnya sejak dahulu.
Ketika ini hanya 28 peratus rakyat Malaysia terdiri daripada tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Jumlah itu agak rendah jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain yang telah mencapai tahap 40 peratus tenaga kerja mahir di kalangan rakyatnya.
Jumlah ini ternyata tidak selari dengan keperluan ekonomi abad ke-21 yang menekankan penguasaan kemahiran yang tinggi, penguasaan teknologi maklumat (IT), kreativiti dan inovasi.
Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja berkemahiran tinggi daripada keseluruhan tenaga kerja sebagai usaha menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
Saya melihat trend ekonomi digital dunia bergerak terlalu pantas tetapi bagi Malaysia?
Pada tahun 1985, Malaysia banyak bergantung kepada pelaburan luar dan pemindahan teknologi melalui Dasar Pandang ke Timur yang diharapkan menjadi alat untuk membawa Malaysia ke status negara maju.
Manakala sebelum tahun 1985, Malaysia bergantung kepada hasil eksport komoditi.
Berikutan kejatuhan harga komoditi dunia bermula pada tahun 1985, Malaysia ditransformasi kepada negara perindustrian. Namun, kajian menunjukkan syarikat multinasional tidak berminat memindahkan teknologi mereka ke negara lain.
Nyata sekali pemindahan teknologi tidak berlaku mengikut seperti yang kita rancangkan. Tidak seperti Malaysia, Korea dan Taiwan tidak bergantung kepada pemindahan teknologi malah mereka sendiri belajar dan mencipta teknologinya tersendiri.
Jelas menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara gagal meskipun hampir ke tahun 2020. Semakin maju sesebuah negara, semakin canggih pula cara penyelewengan dan penipuan yang berlaku di dalam bidang perdagangan atau politik.
Segalanya akan gagal jika rakyat tidak rajin dan berdisiplin. Tanpa sifat seperti jujur dan amanah maka akan berlaku penipuan, di mana satu pihak cuba menjatuhkan dan merosakkan pihak yang lagi satu.
Kejayaan wawasan juga tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi atau kesempurnaan sesuatu sistem yang diamalkan.
Pencapaian kebendaan atau ekonomi semata-mata tidak menggambarkan atau membuktikan kemajuan yang sebenarnya.
Apalah ertinya kekayaan material jika kehidupan anggota masyarakat terancam oleh berbagai jenis jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.
Sumber negara yang paling penting ialah rakyatnya. Pembangunan sumber tenaga manusia banyak bergantung kepada perubahan nilai dan sikap di kalangan penduduknya
Etika juga merupakan tingkah laku atau perangai yang boleh dibandingkan dengan tabiat dan kelakuan manusia. Tabiat terbina di atas tiga unsur iaitu ilmu, kemahiran dan keinginan.
Ketiga-tiga unsur penting itu perlu diasah dan dipupuk dan seterusnya dihayati bagi melahirkan individu yang dinamik dan dapat meningkatkan hasil kerja yang cemerlang.
AKMAL NASIR adalah pengarah strategi Pemuda PKR.
Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment