Datuk Abdul Rahman Dahlan mengecam Jabatan Kehakiman (DOJ) AS kerana memberi gambaran seolah-olah isteri Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam salah laku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga membangkitkan persoalan mengenai keperluan mengaitkan individu itu ketika DOJ tidak bercadang untuk merampas 28 barang kemas yang dinyatakan, termasuk seutas rantai leher bertatahkan berlian merah jambu bernilai AS$27.3 juta (RM116.75 juta).
Semasa sidang media di Cyberjaya semalam, Abdul Rahman menyebut nama Datik Seri Rosmah Mansor ketika ditanya jika saman sivil DOJ pada Khamis lalu menyasarkan isteri perdana menteri secara tidak adil.
Saman DOJ itu menyatakan, ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low, membelikan rantai leher untuk "isteri Malaysian Official 1 (MO1)".
"Kamu (DOJ) sindir, dan kamu beri beri gambaran seolah-olah Datin Seri Rosmah dan berlian itu buat sesuatu yang salah, tapi dalam dokuman yang diserahkan, kamu tak masukkan pun berlian itu sebagai suatu harta yang hendak dirampas.
"Tidak wajar untuk kamu meletakkan nama di situ," katanya.
Ketika DOJ memfailkan saman sivil pertama pada Julai 2016 lalu pihak berkuasa AS itu menamakan beberapa individu secara langsung atau tidak dalam usaha mereka merampas sejumlah aset didakwa diperolehi melalui cara yang salah.
DOJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM15 bilion) dana 1MBD disalahgunakan untuk mendapatkan aset terbabit.
Selain nama Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz, DOJ menyebut seseorang dengan hanya rujukan MO1.
Malah nama berkenaan dipetik DOJ sebanyak 36 kali dalam dokumen setebal 136 halaman itu.
Abdul Rahman pada September mengesahkan MO1 yang disebut dalam dokumen berkenaan ialah Najib.
"Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu," katanya.
Bagaimanapun anggota parlimen Kota Belud, Sabah itu menegaskan, tanpa nama Najib dinyatakan dalam dokumen berkenaan, perdana menteri tidak tertakluk kepada siasatan AS.
No comments:
Post a Comment