Thursday, January 3, 2013

BN KEDAH : UMNO BOLEH LUPAKAN HASRAT DEPA ...

Umno Kedah berperang isu calon

SUDAH menjadi rahsia umum di Kedah bahawa baru-baru ini terdapat beberapa tokoh penting Ummo Kedah bertemu dengan presiden parti itu Dato’ Seri Najib Razak meminta beliau menggugurkan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato’ Ahmad Bashah Md Hanipah daripada bertanding di Dun Bakar Bata.
Antara alasan yang diberikan ialah jika Ahmad Bashah bertanding di Bakar Bata dalam kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan maka beliau akan dianggap sebagai menteri besar bayangan jika BN memendapat mandat. Ia menjadi satu liabiliti dari segi imej BN memandangkan beliau dilihat sangat tidak layak untuk menduduki kerusi nombor satu pentadbiran itu.
 
Ahmad Bashah sudah empat penggal menjadi Adun adalah satu-satunya warisan zaman Tan Sri Osman Aroff yang masih tinggal. Selepas Osman Aroff, sudah empat kali jawatan menteri besar bertukar tangan tetapi Ahmad Bashah tetap di Bakar Bata. Pada pilihan raya umum ke-11, beliau menewaskan calon PAS Dr Ismail Salleh dengan majoriti lebih 6,000 undi tetapi pada PRU ke-12 lalu, majoritinya hanya tinggal 356 bertarung pula dengan calon tidak ternama daripada KeADILan yang hampir tidak dikenali oleh majoriti pengundi Bakar Bata. Menurut sumber berita, Najib juga telah dimaklumkan oleh tokoh penting Umno itu bahawa Ahmad Bashah gagal mengembleng jentera pilihan raya BN di Kedah serta gagal memimpin perubahan rakyat Kedah menolak Pakatan Rakyat.
Apabila maklumat tersebut diketahui Ahmad Bashah, Adun Bakar Bata itu dilaporkan melenting. Beliau dilaporkan sedang merancang tindak balas. Lumrahnya begitu, apabila ada tindakan akan wujudlah tinda balas. Biasanya tindak balas politik ini lebih menyengat.
Umno Kedah yang zahirnya nampak tenang kini mula berkocak. Perang di peringkat bawah tidak pernah padam kini para jeneral pula turut bertarung di peringkat atas.
 
Terdapat beberapa senarai calon BN di Kedah. Masingmasing pihak sangat sibuk melobi. Senarai calon kumpulan Mukhriz tersebar luas di media maya beberapa minggu lalu. Nama Ahmad Bashah serta kroni beliau langsung tidak tersenarai.
Ahmad Bashah mempunyai senarai pilihan yang lebih mantap memandangkan statusnya sebagai pengerusi perhubungan.
Senarai calon Umno yang dianggap rasmi itu telah dihantar kepada presiden parti. Tetapi senarai yang dibocorkan itu telah mendapat pertikaian hebat di kalangan anggota Umno. Baru masing-masing pihak kemuka senarai calon pun mereka sudah bertelagah.
Terdapat satu lagi senarai calon yang dilaporkan disediakan oleh sebuah badan profesional. Mereka yang membuat kajian terhadap calon BN ini tidak terbabit sebagai aktivis parti. Badan tersebut mengemukakan ‘calon boleh menang’ daripada BN.
 
Kalau Najib membuat keputusan untuk memilih senarai tersebut, maka Umno akan lebih teruk bertelagah kerana sebahagian besar daripada ‘calon boleh menang itu’ bukan dari hairaki penting parti. Sebagai contoh Dato’ Dr Mashitah Ibrahim dikatakan ‘boleh menang’ di Parlimen Pokok Sena kerana beliau anak tempatan tetapi pemegang jawatan penting Umno Bahagian sudah mula beri amaran kepada pihak Umno Pusat. Cakap lepas pemimpin Umno Bahagian tersebut sudah tersebar seantero negeri.
 
Terdapat juga dalam senarai calon boleh menang itu adalah individu yang mensabotaj calon BN dalam PRU lalu. Ada juga calon boleh menang yang tidak sebulu dengan kepimpinanan Umno Bahagian. Misalnya bekas Exco zaman BN Ustaz Fadhil Hanafi tersenarai dalam calon ‘boleh menang’ di Alor Mengkudu. Tetapi namanya tiada dalam senarai rasmi perhubungan Umno Kedah kerana Fadhil pernah mencabar jawatan ketua bahagian yang disandang Ahmad Bashah.
Malang sungguh nasib Najib kali ini memimpin Umno dalam keadaan yang gawat dan pincangnya merata. Itu baru cerita senarai calon di Kedah.
 
Najib kena hadapi pula senarai timbalannya Muhyiddin Yasin. Semuanya serba memeningkan. Cuba menjatuhkan Ahmad Bashah di Bakar Bata melalui usaha melobi Najib tiada kena mengena dengan hasrat memantapkan Umno. Ia lebih bertujuan mengurangkan persaingan calon menteri besar jika BN berkuasa.
Ramai pemerhati politik berpandangan bahawa Najib akan lebih sukar dalam menghadapi masalah pemilihan calon kerana beliau cuba menunjukkan sikap terbuka kononnya mahu mendengar hasrat akar umbi. Ia berbeza dengan gaya Tun Dr Mahathir dulu yang tidak peduli akan cubaan melobi dalam Umno.
Kedegilan (bukan ketegasan) Mahathir dapat dilihat sewaktu beliau mahu menukar menteri besar dari Osman Aroff kepada Tan Sri Sanusi Junid. Seluruh Adun sebulat suara membantah dan memihak kepada Osman. Apa yang dilakukan Mahathir hanya memanggil seorang demi seorang Adun bertemunya. Selepas itu bagai disihir semuanya bersetuju.
 
Zaman kegemilangan BN di mana jika diletak penyapu pun sebagai calon BN maka mereka boleh menang sudah jauh berlalu. Kini Najib berada pada zaman serba payah bagi Umno dan BN. Pilih calon pun sudah berperang, bagaimana nak punya tenaga untuk berperang dengan Pakatan Rakyat dalam PRU. Nasib badanlah Najib...

1 comment:

  1. terbaik cipan, kalau nak tahu berita benar mengenai negeri yang diperintah Oleh PR, bertanya terus kepada mereka. kalau harap TV3(suku) semuanya buruk belaka.

    ReplyDelete