Sunday, September 27, 2015

Bekas Ketua Pengarang NST dedahkan bagaimana Najib akan kekal berkuasa sehinga selepas PRU14..



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan berundur dalam waktu terdekat, dan begitu juga parti pemerintah Barisan Nasional (BN) tidak akan digantikan pada pilihan raya umum akan datang (PRU14), kata wartawan veteran Datuk A. Kadir Jasin.

Menulis dalam blognya, bekas ketua pengarang New Straits Times Group itu berkata, parti Melayu itu akan menggunakan wang dan kuasa bagi memancing undi, sambil menakutkan orang Melayu dengan mengatakan mereka berdepan risiko "dihapuskan" oleh golongan minoriti Cina.

"Cukup ramai orang di sekeliling perdana menteri yang percaya dengan wang dan kuasa politik, mereka boleh terus mengatur undi luar bandar yang cukup atas nama kelangsungan hidup bangsa (kaum) untuk terus berpaut kepada kuasa.

"Penggunaan emotif 'bangsat' oleh Najib menerima sokongan ramai orang Melayu luar bandar.

Najib sendiri percaya boleh mempertahankan kuasanya sehingga PRU akan datang untuk memimpin BN ke arah kemenangan.

"Jadi, siapa yang rasa Najib akan disingkirkan tidak lama lagi dan BN tidak lagi wujud pada PRU akan datang, eloklah fikir dua kali," kata Kadir.

"Selagi beliau boleh mendapatkan separuh daripada pakcik, makcik, Orang Asli, penduduk luar bandar dan peneroka Felda untuk memihak kepada beliau, Umno akan kembali berkuasa dan kedudukan beliau tidak akan dapat disangkal. Beliau akan berjaya menyangkal tuduhan yang dibuat terhadapnya."

Beliau berkata, apa yang Najib perlu lakukan pada masa sama ialah, memastikan tiada tindakan jenayah diambil terhadapnya.

Begitu juga, katanya, penggubal undang-undang BN harus dipantau rapi bagi mengelakkan sebarang kejadian berpaling tadah atau undi tidak percaya.

Memetik contoh "perhimpunan baju merah" 16 September di mana pihak penganjur boleh meyakinkan orang ramai untuk menyertainya, Kadir berkata, tiada apa yang boleh menghalang modus operandi yang sama digunakan untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Moto Najib – wang adalah raja – diterima baik orang Melayu yang miskin di kampung-kampung dan penempatan Felda.

"Dengan kemerosotan harga komoditi yang berterusan dan peningkatan kos sara hidup akibat kejatuhan nilai ringgit dan pelaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), kuasa wang lebih kuat di kalangan orang miskin luar bandar, "katanya.

Najib tidak memerlukan "cerdik pandai Melayu" atau orang bandar, menyedari yang beliau tidak dapat mengancam mereka supaya berserah diri kerana rasa takut yang disebarkan, katanya.

Bagaimanapun, Kadir berkata, Najib, parti dan kerajaan makin lemah dari segi media memandangkan media arus perdana kini kehilangan pembaca dan berdepan masalah kewangan.

Beliau berkata, integriti dan standard laporan mereka kini jatuh apabila mempertahankan Najib dan kerajaannya runtuh dalam setiap kes saman yang mereka tewas.

Sebaliknya, media bebas seperti akhbar Sinar Harian dan penerbitan di bawah The Edge Media Group, makin diterima pembaca, dan pada masa sama semakin ramai yang menggunakan blog, Facebook, Twitter dan Instagram.

"Percubaan Najib dan penyokongnya menggunakan platform ini, bermula dari PRU 2013, tidak berjaya dengan cemerlang.

"Sebaliknya, laman web mereka digunakan rakyat untuk meluahkan cemuhan ke atas mereka." lapor The Malaysian Insider

Wednesday, September 23, 2015

Kehadapan PM: Kesetiaan atau 1MDB?


 
FREE MALAYSIA TODAY
 
Dato’ Sri Perdana Menteri, maaf sekiranya tulisan ini mengguris hati tetapi biarlah termaktub di sini, saya dan anak muda lainnya bukan penderhaka persis Jebat tetapi kami juga bukan Tuah yang setia membabi buta.
 
najib-funding-1mdb

Oleh Aizat Fikri Nasir Fikri


Salahkah cari dana politik?

Benarlah Melayu mudah lupa. Sentimen Melayu mudah terbakar dan meledak apabila diasak oleh isu yang bersangkutan kepentingan mereka dan negara. Namun, diam mereka tidak bermakna isu itu terus terbelasungkawa begitu sahaja. Ia membuku di dalam hati, menunggu masa untuk masak ranum sebelum bersemarai. Dengan permainan media massa yang seterusnya meredakan isu dengan hal-hal lainnya, lambat laun suara-suara ini akan semakin sayup. Situasi ini sinonim dengan kepimpinan Dato’ Sri Perdana Menteri yang berada dalam kemelut belakangan ini. Kredibiliti beliau dipertikai lewat isu pemindahan wang RM2.6 biliion ke dalam akaun peribadinya.

Apabila perkara ini berlaku, rakyat naik hairan dan naik angin hingga orang-orang penting dalam parti sendiri mempersoalkan letak duduk perkara sebenar. Muncul secara tiba-tiba seorang menteri pencen selaku spokesperson Dato’ Sri Perdana Menteri menjawab persoalan dari seorang anak menteri besar dengan membuat perbandingan apakah salah untuk seorang menteri besar mencari dana politik dan apakah perbezaannya dengan situasi Dato’ Sri Perdana Menteri sekarang. Perbuatan ini tidak salah. Persoalannya, adakah dana tersebut disalurkan ke akaun peribadi menteri besar berkenaan? Saya ingin minta menteri pencen berkenaan untuk tampil memberi bukti sekiranya ada mana-mana menteri besar yang pernah berbuat demikian.

Apa definisi rasuah sebenarnya?

Menjadi kelaziman untuk wang berupa sumbangan dimasukkan ke dalam akaun khas atas nama parti. Perkara ini diamalkan di setiap UMNO perhubungan negeri, malah ada juga ketua bahagian yang tidak tahu akan transaksi pengaliran masuk dana ke dalam akaun parti. Namun, harus ditegaskan di sini, sebarang derma dan sumbangan disalurkan terus ke dalam akaun khas parti dan tidak sesekali ke akaun peribadi pemimpin. Persoalannya, bukankah terma untuk senario ini digelar rasuah? Jika hal ini dihalalkan sekarang, bagimana untuk kita mentakrifkan terma rasuah? Apakah justifikasi dan implikasi perbuatan rasuah? Apakah Dato’ Sri Perdana Menteri sendiri tidak mengambil kira risiko yang bakal dihadapi dengan membenarkan wang sedemikian banyak dimasukkan ke dalam akaun peribadi? Apakah wang itu akan dipindahkan terus ke akaun khas parti? Bilakah perkara itu akan dilakukan? Apakah status wang tersebut? Apakah ia bakal menjadi sebahagian pusaka famili Dato’ Sri? Mengapa perlu menunggu parti pembangkang menamakan sumber dana yang dikumpul mereka sebelum Dato’ Sri membuat pengumuman? Apakah perlu bermain tarik tali dalam senario sebegini tatkala amanah dan integriti Dato’ Sri sebagai peneraju negara dipertikaikan? Isu-isu inilah yang bersarang di minda rakyat.

Ramai yang melontarkan pendapat, mengkritik dan meminta pencerahan daripada Dato’ Sri Perdana Menteri untuk mengetahui letak duduk perkara sebenar. Suara yang kedengaran ini majoritinya orang muda. Pelbagai persoalan bertalu-talu menyerang minda berpusar sekitar sumber wang tersebut, sebab-musabab ia dipindahkan ke akaun bank Dato’ Sri Perdana Menteri, untuk tujuan apakah wang itu disalurkan dan apakah ROI (return on investment) yang bakal diterima oleh pihak yang memasukkan wang berkenaan. Apakah wujudnya perjanjian sahih hitam putih antara Dato’ Sri Perdana Menteri dengan pihak yang satu lagi, apakah keuntungan yang diraih dan apakah cagaran yang dijanjikan negara.

Kami bukan penderhaka

Namun, jangan pula disalah tafsir suara itu bernada serupa – semata-mata ingin menghentam Dato’ Sri Perdana Menteri akibat terpengaruh oleh dakyah parti pembangkang. Saya mohon Dato’ Sri Perdana Menteri mengkaji dan mencerakinkan suara-suara itu sama ada ia kritikan membina atau membinasakan.
Janganlah anak muda seperti saya, Syed Saddiq atau Akmal Saufi dianggap biadab dan derhaka pada parti dan Dato’ Sri. Saya berasa sungguh kecewa apabila suara dan perbuatan kami dilabel “menderhaka” sehinggakan Dato’ Sri Perdana Menteri menghantar ‘si kuda tua pencen’ untuk mendiamkan suara-suara kami. Bukankah Dato’ Sri sendiri yang menggagaskan beliawan dan beliawanis yang analitikal, berfikiran jauh dan berwawasan? Dato’ Sri juga terang-terangan tidak menggalakkan budaya “yes man” di kalangan menteri kabinet dan itulah peranan yang kami mainkan kini. Kami memerhati perjalanan pentadbiran Dato’ Sri – yang betul pastinya disokong penuh – yang salah pula ditegur dengan niat ikhlas agar negara kekal di landasan yang cemerlang. Adalah penting untuk pemimpin dan rakyat bersimbiosis dalam ekosistem politik-sosial-ekonomi yang sihat.

Sejujurnya, kamilah yang sering mempertahankan Dato’ Sri dan UMNO ketika Dato’ Sri dicaci dan dimaki. Kamilah benteng pertahanan hadapan Dato’ Sri di dalam dan luar negara sedangkan pada masa yang sama kabinet Dato’ Sri membisu seribu bahasa tatkala Dato’ Sri dikecam hebat. Menelusuri sejarah, darah perjuangan UMNO mengalir panas dalam urat nadi dan tubuh saya. Saya membesar dalam semarak api nasionalis yang melingkari susur galur titisan keturunan saya. Saya masak benar oleh permainan politik yang banyak pancaroba dan sandiwara. Oleh itu, saya yang juga sebahagian suara-suara anak muda ini mesti dipandang serius kerana pengaruh kami besar – kuasa mengundi berada di tangan kami – nasib pemimpin dan hitam putih negara bakal terencana oleh keputusan yang kami ambil.

Para penasihat PM juga perlu dirombak

Ini bukan era 70an atau 80an – orang kebanyakan tidak mempersoal polisi dan keputusan yang dibuat pemimpin justeru mereka tidak mempunyai akses untuk menyuarakan pandangan mereka. Namun kini, internet memungkinkan segalanya. Tanpa penjelasan yang munahasabah dan lengkap daripada mulut Dato’ Sri Perdana Menteri, laman-laman sosial media sudah mula mencanang berita itu dan ini berunsur negatif dan ia boleh dibaca di mana-mana sahaja ceruk dunia.

Yang saya musykil di sini, apakah peranan yang dimainkan oleh para penasihat Dato’ Sri? Apakah bijak-bijak pandai yang dilantik itu tidak mampu memberikan buah fikir bernas untuk menjernihkan kemelut yang melanda sekarang? Atau mereka sendiri yang menjadi duri dalam daging, api dalam sekam yang perlahan-lahan cuba mensabotaj Dato’ Sri atas kepentingan sendiri atau fahaman parti yang dipegang oleh mereka? Ada antara mereka yang saya kenal secara peribadi secara tanpa berselindung mengkritik Dato’ Sri dan polisi kerajaan di belakang Dato’ Sri. Mereka hanya bekerja makan gaji, namun tidak jujur menjalankan amanah yang diberikan. Saya percaya mereka ini anti-kerajaan dan secara senyap cuba melemahkan pemerintahan Dato’ Sri. Parasit-parasit berbahaya inilah mesti dicantas sebelum ia membinasakan seluruh sistem. Penyiasatan menyeluruh perlu dilaksanakan selari dengan tindakan Dato’ Sri merombak Kabinet baru-baru ini. Barangkali sudah sampai masa dan ketika penasihat-penasihat sedia ada juga perlu dirombak.

Jangan biar pembangkang menangguk di air keruh

Dalam masa sekarang saya melihat sentimen rakyat sangat bergelora. Tanpa berselindung, suka saya nyatakan di sini, jika sesuatu yang tuntas tidak dilaksanakan, UMNO akan kalah teruk dalam pilihan raya akan datang dan tidak mustahil untuk parti pembangkang melebarkan sayap kuasa. Rakyat tidak meminta lebih. Benar, kebanyakan rakyat di luar bandar masih perlu dibantu dan langkah Dato’ Sri Perdana Menteri menganjurkan BRIM wajar dipuji, namun adalah perlu diingat “cash is not king” yang boleh membeli semua orang dan menggerakkan dunia. Jika sikap ini berterusan, politik wang akan berleluasa dan bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya sekali gus membawa kepada kekalahan UMNO.

Generasi muda semakin goyah kepercayaan mereka terhadap kepemimpinan Dato’ Sri. Integriti dipersoal dan polisi-polisi kerajaan dijadikan lelucon lewat forum di Facebook atau status di Twitter. Mereka hilang hormat dan hal ini bertambah parah apabila mereka disogokkan dengan dakyah-dakyah daripada parti pembangkang yang sememangnya menangguk di air keruh. Dato’ Sri Perdana Menteri lihatlah sendiri kedapatan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara yang lebih rela menghambakan diri di negara asing daripada pulang ke tanah air justeru beranggapan Malaysia negara yang korup dan tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Ini satu kehilangan besar buat negara yang memerlukan sokongan teknokrat-teknokrat dan cendekia-cendekia muda yang berkobar-kobar semangat serta segar ilhamnya. Usahlah angkara nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dato’ Sri Perdana Menteri, maaf sekiranya tulisan ini mengguris hati tetapi biarlah termaktub di sini, saya dan anak muda lainnya bukan penderhaka persis Jebat tetapi kami juga bukan Tuah yang setia membabi buta.

(*) Aizat Fikri Nasir Fikri adalah Timbalan Presiden UMNO London.

Patutlah Malaysia Sangat Terkenal.. Ini Sebabnya



Skandal syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah ‘mempopularkan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Malaysia di seluruh dunia.

Ini kerana, laporan yang menyatakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah mula menjalankan siasatan rasuah melibatkan 1MDB telah mendapat liputan meluas media di beberapa buah negara.

Laporan itu telah mendapat perhatian media sekurang-kurangnya 10 negara seperti di Bulgaria, Thailand, Vietnam, Sepanyol, China, Korea, Rusia, Jepun dan India.

Siasatan FBI ke atas 1MDB tercetus apabila Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dihalang ke luar negara dan kemudiannya di tahan oleh polis.
 
 
 
 
 

Bekas Naib Ketua UMNO Batu Kawan itu dikatakan merancang untuk ke New York dan London pada Jumaat lalu. Bagaimanapun, tujuan beliau ke luar negara tidak diketahui.

1MDB diselubungi kontroversi apabila ia dikaitkan memiliki hutang sebanyak RM42 bilion dan turut didakwa salah urus kewangan.

Berikutan itu siasatan terhadap 1MDB dilakukan secara menyeluruh.

Bulan lalu pihak berkuasa Switzerland membekukan akaun dana itu untuk siasatan lanjut. Pihak berkuasa Hong Kong juga mengesahkan siasatan terhadap 1MDB sedang dijalankan.

Jangan jadi budak-budak, kata Pengerusi Penjaja kepada kepala 'Baju Merah'



Sebuah persatuan penjaja menyelar Datuk Jamal Md Yunos yang menjadikan dirinya bahan ketawa dan berkelakuan kebudak-budakan, selepas pemimpin 'perhimpunan baju merah' itu menuntut Jalan Petaling dibuka kepada peniaga Melayu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Datuk Ang Say Tee akhirnya bersuara semalam, beberapa hari selepas 'perhimpunan baju merah' dianjurkan 16 September lalu, memberitahu Jamal yang orang Melayu turut mentertawakannya.

"Apa yang orang ramai akan fikirkan? Anda tidak boleh senang-senang berkata anda mahu, dan kami serahkan kepada anda. Orang Melayu juga mentertawakan cadangan beliau.

"Saya rasa kelakuannya seperti budak-budak, meminta sesuatu dari ibunya selepas diberitahu jangan," kata Ang kepada The Malaysian Insider.

Beliau juga berkata Jamal tidak boleh sewenang-wenangnya membuat kenyataan tentang "imuniti" yang dikatakan dinikmati peniaga di tempat pelancongan popular dikenali sebagai Chinatown itu, dengan menuduh mereka mendapat sokongan pihak berkuasa walaupun menjalankan perniagaan haram.

Ang berkata, pihak berkuasa menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan itu dari semasa ke semasa, dan yang terbaru pada minggu lepas.

"Kami tidak benarkan penjualan produk palsu, dan jika peniaga berkeras melakukannya dan ditangkap, mereka perlu berurusan dengan pihak berkuasa sendiri," katanya.

Perhimpunan minggu lepas kecoh apabila sekumpulan penunjuk perasaan cuba merempuh benteng di Jalan Petaling sehingga memaksa pihak polis menggunakan tembakan meriam air bagi mengawal keadaan.

Chinatown sebelum itu diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh pihak berkuasa, dan banyak perniagaan ditutup hari itu kerana khuatir berlaku kejadian tidak diingini.

Jamal sebelum ini berkata, peserta perhimpunan kecewa dengan "imuniti" yang dinikmati peniaga di Jalan Petaling, dengan tiada tindakan diambil terhadap mereka walaupun menjalankan perniagaan haram.

Beliau juga menuduh mereka menjual produk tiruan dan video lucah.

Beliau turut mencadangkan supaya peniaga Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di Jalan Petaling dan bukannya membiarkan kawasan itu terus dimonopoli kaum Cina.

Jamal berkata dia pernah memohon untuk mendapatkan tempat menjalankan perniagaan di kawasan itu 10 tahun lalu tetapi ditolak.

Mengulas dakwaan ketua Umno bahagian Sungai Besar itu yang perniagaan di Jalan Petaling dimonopoli kaum Cina, Ang berkata peniaga Melayu dan India turut menjalankan perniagaan di sana, kebanyakannya menjalankan menjual makanan dan minuman serta surat khabar.

Beliau berkata sesiapa yang ingin membuka perniagaan di kawasan popular di pusat bandaraya Kuala Lumpur itu perlu mengemukakan permohonan kepada Datuk Bandar tetapi tiada jaminan ia akan diluluskan kerana semua 700 gerai sudah diambil.

"Anda juga perlu mengambil kira yang jika terlalu banyak perniagaan baharu di kawasan itu, ia akan memberi kesan kepada mata pencarian peniaga sedia ada yang berada di sana selama bertahun-tahun," kata Ang lapor The Malaysian Insider

Tuesday, September 22, 2015

Apsal Umno Menggelupur.. Saksikanlah!!


Umno petang ini menghantar surat tunjuk sebab kepada bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah, selepas tindakannya menghadiri majlis anjuran parti pembangkang, perasmian Pakatan Harapan pagi ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan surat tersebut sudah dihantar dan Saifuddin diberikan 14 hari untuk menjawabnya.
 
"Kita sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada beliau (Saifuddin)."Kemudian dalam tempoh 14 hari, Saifuddin perlu menjawab dan menjelaskan sebab beliau ke program pembangkang. 
 
"Kalau tidak dijawab, beliau akan dibawa ke Lembaga Disiplin," kata Tengku Adnan semasa menghubungi The Malaysian Insider hari ini.
 
 
 
 
Terdahulu hari ini, Tengku Adnan berkata, Umno akan menyiasat mengenai kehadiran Saifuddin dalam program pembangkang hari ini sebelum membuat keputusan mengambil sebarang tindakan disiplin terhadapnya.
 
Tengku Adnan berkata, biar siasatan selesai sebelum sebarang tindakan diambil ke atas bekas ahli Parlimen Temerloh itu. 
 
Saifuddin yang juga ketua pegawai eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), hari ini hadir ke program pelancaran Pakatan Harapan, tetapi atas kapasiti sebagai pengerusi Akademi Belia.
 
Tengku Adnan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tindakan Saifuddin itu melanggar disiplin parti walaupun hadir bukan atas kapasiti sebagai seorang ahli Umno.
 
Tiga parti pembangkang hari ini terdiri daripada PKR, DAP dan parti baharu serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi membentuk Pakatan Harapan sebagai wadah baharu selepas Pakatan Rakyat berkubur.
 
Saifuddin sebelum ini juga lantang menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap pemerintah Barisan Nasional.

Rakyat Malaysia menderita, panda Cina pula dapat layanan diraja

 

oleh V Shuman
 Kuiz: A meminjamkan sepasang haiwan kepada B untuk beberapa tahun.
Haiwan itu kemudian membiak dan melahirkan anak dalam kurungan bernilai jutaan ringgit yang disediakan B, namun anak tersebut perlu dipulangkan kepada A selepas mencecah dua tahun.
Soalannya, siapa yang hutang siapa, dan kepada siapa?
Ramai di antara kita akan menjawab yang A sepatutnya membayar B kerana menjaga haiwan mereka, dan malah membenarkan mereka melahirkan anak yang sihat.
Namun bukan itu yang terjadi dalam diplomasi panda Malaysia dan China.
Laporan akhbar Sun Daily baru-baru ini menyatakan yang Malaysia perlu membayar US$600,000 (RM2.5 juta) bagi setiap anak panda selepas 12 bulan, dan memulangkannya selepas mencecah usia dua tahun.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik berkata demikian ketika merujuk anak panda yang dilahirkan dua panda – Xing Xing dan Liang Liang – yang dipinjamkan oleh China untuk sepuluh tahun, bagi menandakan 40 tahun hubungan diplomatik antara dua negara.
Wan JunaidiWan Junaidi
Terma yang tidak munasabah ini dinyatakan dalam perjanjian.
“Tidak, panda ini bukan milik Malaysia, walaupun dilahirkan di sini.
“Kita perlu kembalikan anak panda kepada Chengdu, China selepas dua tahun. Kita juga perlu memberi hadiah atas kelahiran panda ini, iaitu US$600,000 bagi setiap anak panda yang dilahirkan di sini,” katanya seperti dipetik.
Bukan itu sahaja.
Malaysia malah tidak boleh memberi nama kepada anak panda ini tanpa persetujuan China, dan kos bulanan untuk menjaga keluarga panda adalah kira-kira RM60,000.
Semua ini, menurut Wan Junaidi, adalah peluang bagi Malaysia “untuk memelihara dan menjaga haiwan yang unik.”
Jika anda bingung selepas membaca perkara ini, anda bukan keseorangan. Ingatlah bahawa RM2.5 juta untuk anak panda, ditambah dengan perbelanjaan bulanan RM60,000 serta RM60 juta yang telah dihabiskan kerajaan untuk membawa panda ini ke sini.
Selain itu, jika panda ini memutuskan untuk melahirkan anak lagi, berjuta lagi wang rakyat akan dihabiskan begitu sahaja.
Secara perspektif, ini sama seperti pengurusan hospital yang membayar pesakit kerana melahirkan anak di premis mereka.
Adakah begini caranya wang cukai dihabiskan oleh kerajaan BN?
Mari kita lihat siapakah yang untung dan rugi dalam perjanjian meragukan ini.
China mendapat jutaan ringgit daripada kerajaan, sementara mereka tidak perlu menggunakan ruang bagi menempatkan dua ekor haiwan yang besar ini.

Haiwan ini diberi keselesaan dalam kurungan berhawa dingin untuk sepuluh tahun, dan membiak sesuka hati mereka – semuanya dibayar oleh kerajaan.
Zoo Negara mungkin berpeluang membuat untung jutaan ringgit dari tiket untuk sepuluh tahun ini, dan kerajaan Malaysia mendapat pujian daripada China kerana mematuhi dan membodek mereka (belum termasuk kemungkinan habuan jutaan ringgit yang masuk ke dalam poket mereka yang terlibat dalam urusniaga ini).
Satu-satunya pihak yang tewas dalam diplomasi panda ini adalah rakyat Malaysia yang membayar cukai.
Bekerja siang dan malam, tidak mampu untuk memasang pendingin hawa di rumah sendiri, dan pada masa sama perlu membayar cukai kepada kerajaan.
Kerajaan kemudian membelanjakan (baca: membazirkan) wang cukai yang dikutip untuk memenuhkan poket politikus, kroni dan melabur dalam projek-projek meragukan yang tidak langsung tidak memberi faedah kepada rakyat yang membayar cukai.
Justifikasi Wan Junaidi bahawa kita dapat memelihara “haiwan yang unik dan menjaga mereka” adalah amat tidak masuk akal.
Malaysia ada haiwan uniknya yang tersendiri, seperti tapir, orang utan dan harimau Malaya. Tapir dan orang utan adalah haiwan yang terancam, manakala harimau Malaya menuju kepupusan.
Apakah pula yang kerajaan telah lakukan untuk melindungi dan memelihara haiwan sendiri?

Najib berdepan siasatan rasuah AS, lapor New York Times

 



Badan kehakiman Amerika Syarikat (AS) kini menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke atas pembelian hartanah di sana oleh anak tirinya Riza Aziz dan ahli perniagaan Low Taek Jho, lapor The New York Times (NYT) hari ini.
Sebuah unit di Jabatan Kehakiman AS yang menyiasat kes rasuah antarabangsa sedang menjalankan siasatan itu, lapor NYT memetik sumber tanpa nama.
Siasatan itu memberi tumpuan kepada pembelian hartanah di AS sejak beberapa tahun kebelakangan dilakukan “syarikat bayangan”.

NYT melaporkan pada Februari mengenai pembelian ini yang menggunakan “syarikat bayangan” daripada pelbagai tokoh antarabangsa, termasuk Riza dan Low, juga dikenali sebagai Jho Low. NYT juga melaporkan selain pembelian hartanah, siasatan rasuah itu juga akan melihat dakwaan AS$681 juta yang merupakan sebahagian daripada RM2.6 bilion didakwa didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib - pertama kali dilaporkan oleh The Wall Street Journal (WSJ) dan kemudiannya disahkan pihak berkuasa anti-rasuah Malaysia sebagai "derma politik".
Pemindahan dana adalah di bawah bidang kuasa AS kerana ia melalui bank Amerika Wells Fargo, kata akhbar itu.
Dalam laporan NYT pada Februari, akhbar berpengaruh itu mendapati hartanah mewah bernilai lebih RM150 juta dikesan mempunyai kaitan sama ada dengan Low atau Riza.
Ini termasuk "penthouse" bernilai AS$30.55 juta di Time Warner Centre di Manhattan, rumah di Hollywood bernilai AS$39 juta, Hotel L'Ermitage di Beverly Hills dan sebahagian Hotel Park Lane di New York.
Ia juga mengesan sebuah kondominium bernilai AS$33.5 di Laurel Park, Manhattan, di samping hartanah lain di Los Angeles yang turut melibatkan Riza, melalui pelbagai “syarikat bayangan”.
Laporan NYT juga menyebut, bekas eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan menandatangani pembelian kondominium AS$4.5 juta yang dibeli “syarikat bayangan” dikenali sebagai Cricklewood One Madison LLC, tahun lepas.
Penjaga di bangunan itu mengesahkan seorang wanita dengan nama berkenaan tinggal di situ, menurut  NYT.
Loo sedang dicari Bank Negara Malaysia bagi mendapatkan bantuan berhubung siasatan ke atas 1MDB.

NYT berkata, ia cuba mendapatkan maklum balas daripada beberapa individu dan syarikat yang disebut dalam laporan itu tetapi semuanya enggan mengulas.
Seorang peguam bagi Cricklewood enggan mengulas, manakala Loo tidak memberi respons kepada nota yang ditinggalkan di kondominium beliau.
Wakil Riza dan Low bagaimanapun memberitahu akhbar itu mereka tidak terlibat dalam apa-apa urusan jual beli tidak sepatutnya.
NYT berkata, Najib bersiap sedia untuk berlepas ke London minggu ini bagi konvensyen perdagangan dan dijangka ke New York selepas itu untuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Akhbar itu juga memetik bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John Malott yang menyatakan Najib "benar-benar menghargai imej antarabangsa" dan mempersoalkan jika perdana menteri kini "dipulaukan".
Najib berada di bawah tekanan yang besar berhubung skandal 1MDB, yang beliau selia sebagai menteri kewangan, dan pemindahan wang ke dalam akaun peribadinya.
Beliau juga merombak Kabinet pada Julai, menggugurkan seorang timbalan perdana menteri dan seorang lagi menteri kerana mengkritik cara beliau mengendalikan syarikat sarat hutang itu, dan menukar peguam negara yang sedang melakukan siasatan terhadap 1MDB dan pemindahan dana ke dalam akaun peribadinya.

Bagaimana buat laporan tentang skandal 1MDB boleh ‘mensabotaj negara’?

 

oleh V Shuman
Ini lawak untuk memulakan minggu anda- membuat laporan tentang 1MDB boleh melayakkan anda menjadi pensabotaj.
Ini, menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.
Dia memetik laporan Bernama yang berkata tindakan bekas naib ketua Umno Batu Kawan Khairuddin Abu Hassan, menggunakan saluran perundangan asing untuk memulakan siasatan ke atas 1MDB yang diserang kini, boleh dianggap “mensabotaj negara”.
Menurut Khalid, tindakan Khairuddin jelas sekali mencabar sistem perundangan Malaysia.
“Ia juga mencemarkan kewibawaab agensi penguatkuasaan tempatan dan menjemput campur tangan asing ke dalam sistem demokratik negara ini.
“Tindakannya adalah satu bentuk sabotaj yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dan kedaulatan negara ini,” kata Khalid dalam satu kenyataan.
Khairuddin kini sedang direman selepas ditahan Jumaat lepas, kerana “melakukan aktiviti yang boleh merosakan demokrasi berparlimen”.

Dia sebelum ini telah membuat pelbagai laporan polis mengenai 1MDB, dan apabila tiada tindakan diambil, dia membawa kes itu ke seluruh dunia- membuat aduan rasmi mengenai dana itu di Perancis, Switzerland, Singapura, Hong Kong dan UK.
Dia dijadualkan terbang ke New York Jumaat lepas, apabila dia mendapati dia telah disekat dari keluar negara, dan ditahan kemudiannya pada malam itu.
Selepas penahanannya, didedahkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) juga sedang menyiasat 1MDB.
Apakah “kewibawaan” agensi kerajaan tempatan yang dikatakan Khalid?
Dahulu pernah wujud pasukan khas untuk menyiasat kekecohan “derma” RM2.6 bilion dan juga 1MDB, tetapi semua itu telah musnah selepas perpindahan, kenaikan pangkat dan pemecatan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terlibat dalam siasatan itu.
Dan bagaimana membuat laporan tentang sebuah syarikat, bersamaan dengan mensabotaj negara ini?
Sejak bila 1MDB merupakan sebuah negara, dan dalang disebaliknya, mewakili negara ini?
Khalid tidak tahu bezakah antara keduanya?

Kalau menurut logiknya, adakah ini bermakna yang 1MDB, hanya kerana ia dimiliki oleh Kementerian Kewangan dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Najib Razak boleh terlibat dalam perjanjian kewangan yang meragukan sesuka hatinya, tanpa takut dihadapakan ke muka pengadilan?
Pelbagai skandal kerajaan yang masih belum selesai yang menakutkan pelabur dan pelancong, dan kekurangan tindakan untuk mengatasi masalah ini yang menjadikan ringgit makin menjunam, menjejaskan kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Pegawai yang menjawat jawatan pula yang menerima berbilion menerusi akaun peribadi dari sumber yang meragukan, malah mengapa dia menerima duit tersebut juga masih misteri, yang mengadaikan kedaulatan negara ini.
Mengapa polis kita tidak bertindak secekap mereka menangkap Khairuddin, dalam menyiasar 1MDB selepas pelbagai laporan dilakukan?
Justifikasi lemah polis kerana penahanan Khairuddin nampaknya mengesahkan kepercayaan kita yang polis mengikut telunjuk kerajaan memerintah, dan tidak lebih daripada pasukan keselamatan beruniform, satu lagi sayap parti pemerintah.
Kawan selagi mana anda mengikut kata kerajaan, musuh sebaik sahaja anda mula bertanyakan soalan- itulah tanggapan rakyat masa kini.

1MDB kesal kenyataan gabenor Bank Negara mengenai ringgit


1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyuarakan rasa kesalnya ke atas kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang seolah-olah menyebut syarikat pembangunan strategik itu sebagai penyebab  ringgit lemah.
Penyusutan nilai ringgit dan mata wang lain disebabkan oleh kejatuhan mendadak minyak mentah, unjuran kadar peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat serta kelembapan ekonomi dunia dalam pasaran pesat membangun, katanya.
"Berdasarkan fakta sejarah, belum ada satu syarikat pun yang dikaitkan sebegitu rupa kepada nilai ringgit. Kami yakin fakta yang dikongsi oleh 1MDB dan penjelasan segera yang dikeluarkan setakat ini, akan memberikan penjelasan dan jaminan kepada semua pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

1MDB berkata nilai aset syarikat itu adalah melebihi hutangnya. Tambahan pula, Zeti menyedari 1MDB sentiasa memenuhi, tanpa ingkar, obligasi pembayaran asas dan kadar faedah, kepada peminjam domestik dan asing. – Bernama