Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah agensi yang diwujudkan sebagai sebuah amanah yang besar untuk kemajuan sosioekonomi bangsa Melayu di negara ini. Semenjak penubuhannya di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 , iaitu pada 1 Julai 1956, terdapat 112,635 peneroka di Malaysia di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara.
Ramai orang Melayu dapat manfaat dan kini generasi kedua Felda juga sedang meraih kesenangan.
Felda telah ditubuhkan untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.
Antara fungsi Felda adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial.
Sebagai usaha menjana pendapatan, Felda telah melancarkan beberapa entiti korporat swasta terutamanya untuk memastikan rantaian nilai yang lengkap untuk aktiviti terasnya.
Antara yang terbesar adalah koperasi Permodalan Felda (Koperasi Felda), Felda Global Ventures (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC).
Sekarang fokus Felda adalah untuk menjadi ‘Economic Powerhouse’ dalam menjana pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun 2020 melalui program berstrukturnya dengan modal insan yang mempunyai pelbagai potensi.
Pengurusan Felda diharap diberi kepada mereka yang cukup berwibawa, berintegriti bukan sahaja dari sudut pengurusan malah juga untuk merancang masa depan Felda secara mapan.
Kepimpinan pengurusan Felda yang silih berganti sepatutnya menjadikan agensi itu lebih kukuh. Politik tidak seharusnya mengganggu pengurusan Felda kerana ia akan memporak-perandakan keputusan yang mesti dibuat dengan profesional dan urus kelola korporat yang betul dan telus.
Sejak ia menjadi aset negara bernilai berbilion ringgit kini pelbagai inisiatif baru diambil untuk menganjakkan agensi itu kepada tahap yang lebih menyerlah melibatkan pelaburan yang besar bukan sahaja dalam negara malah ke medan antarabangsa.
Syarikat korporat FGV kemudian disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur pada 2012 yang mula melibatkan diri dalam dunia ekonomi global bersifat spekulatif.
FGV sebagai sebuah korporat pengurusan ladang lebih 811,000 hektar adalah yang terbesar di dunia. Namun kini dari Tawaran Harga Awal (IPO) RM4.55 seunit pada 2012, nilai sahamnya merudum kepada hanya berlegar pada sekitar RM1.80 seunit. Kemungkinan untuk menyahsenaraikan FGV dari Bursa Saham KL mungkin menjadi pilihan jika keadaan tidak berubah segera.
Kemudian diberitakan pula mengenai beberapa pegawai tinggi dalam pengurusan Felda yang kini sedang disiasat oleh SPRM telah menggoncangkan keyakinan awam terhadap ketelusan agensi tersebut. Penahanan 4 orang pegawai kanan Felda baru-baru ini oleh SPRM yang melibatkan pengeluaran wang Felda bernilai RM47 juta dalam projek ternakan ikan Sturgeon adalah petanda perlunya kawal selia yang lebih rapi.
Dengan sebab itu bila publik mulai mendengar berita salah urus dan pelaburan yang tidak mengikut prosedur dalam pengurusan Felda yang melibatkan ratusan juta ringgit, kekecewaan rakyat mulai memutik.
Felda kini mempunyai puluhan anak syarikat yang hanya pihak pengurusan tertinggi sahaja yang tahu yang mana berjalan dengan sihat dan yang mana yang sudah nazak.
Sebelum ini, pada 2010 sebuah memorandum pernah dimajukan kepada Suhakam yang mengungkap pelbagai isu yang dikaitkan dengan hak peneroka, kebajikan, nasib generasi kedua, pendidikan, geran hakmilik tanah, dokumen perjanjian dan peruntukan skim tanam semula. Ternyata isu-isu yang dibangkit belum terungkai.
Bila rakyat memberi kepercayaan penuh kepada pihak pengurusan yang berada di bawah kawal selia langsung Pejabat Perdana Menteri, Felda diharapkan mempunyai jaminan kukuh untuk diurus kelola dengan baik.
Kami berpendapat jika sebuah agensi sebesar Felda mulai dicemari dengan salah urus dan salah guna kewangan, pihak awam akan mulai hilang kecercayaan kepada pemerintah yang diamanah untuk menguruskan aset bangsa.
Kami menggesa Felda mewujudkan sebuah badan Hisbah yang boleh menilai dan mengawal selia pelbagai kegiatan pengurusan agensi tersebut.
Tanpa kawal selia yang rapi agensi itu bakal jatuh dan boleh tergadai kepada pihak asing yang sentiasa mencari peluang untuk menguasai aset ekonomi negara yang besar.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Teras Pengupayaan Melayu
No comments:
Post a Comment