Friday, January 6, 2017

AMANAH : Jangan Jadikan SPRM Seperti Pokok Mati Yang Dihiasi Bunga-Bunga Palsu


1. Parti Amanah Negara (Amanah) bertekad untuk terus memperjuangkan agar SPRM menjadi sebuah agensi pencegahan rasuah yang berwibawa setaraf dengan badan-badan pencegahan rasuah antarabangsa.
2. Peranan dan wibawa SPRM mesti terus diperkasakan sesuai dengan iltizam dan komitmen kerajaan yang benar-benar mahu memerangi budaya rasuah yang semakin membarah di negara ini.
3. Pentadbiran Dato' Seri Najib Razak diperingatkan supaya tidak menjadikan SPRM seperti pokok mati yang dihiasi dengan bunga-bunga palsu (decorating dead tree with fake flowers) bagi mengaburi mata dan menipu rakyat bahawa kononnya pentadbiran beliau serius untuk membanteras jenayah rasuah.
4. SPRM telah menjalankan tugas penyiasatan dengan baik tetapi kes-kes yang disiasat terutama kes yang berprofil tinggi seperti kes 1MDB dan SRC International masih tidak menampakkan hasil kerana ianya berkahir di meja Peguam Negara.
5. Malaysia tidak lagi sanggup kehilangan penjawat-penjawat awam yang berwibawa khususnya dalam bidang penguatkuasaan jenayah seperti bekas-bekas pegawai SPRM yang bersara akibat kecewa kerana segala tanggungjawab yang dialksanakan tidak diendahkan malah dibakulsampahkan oleh pihak tertentu untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak. Terbaru, Malaysia menyaksikan persaraan awal Dato' Bahri, bekas Ketua Bahagian Siasatan Khas SPRM.
6. AMANAH akan terus memperjuangkan urus tadbir yang baik (good governance) yang salah satu elemennya ialah pemisahan kuasa dan kebebasan bertindak Peguam Negara mengikut Perlembagaan tanpa rasa takut dan memihak (without fear and favour) kepada mana-mana pihak. Kuasa mendakwa (right to prosecute) oleh Peguam Negara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan hendaklah dijalankan berasaskan semangat keluhuran Perlembagaan.
7. AMANAH akan memastikan manifesto Pakatan Harapan mengangkat agenda ini.
Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden Amanah
6hb Januari, 2017

No comments:

Post a Comment