PETALING JAYA: The Star hari ini menerbitkan jawapan balas Tun Dr Mahathir Mohamad, sehari selepas dibidas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana cuba “menakutkan” rakyat berkenaan pelaburan China di negeri itu.
“Saya berharap dengan menjawab cabaran Sultan, saya tidak akan ditangkap atau dipenjara tanpa bicara. Sekiranya saya akan dibicarakan, saya mengalu-alukan ditangkap,” kata Dr Mahathir, yang sebelum ini mempersoalkan projek Forest City di Johor yang menurutnya akan menggadaikan Malaysia kepada China.
“Saya seorang rakyat Malaysia lahir di Kedah. Malaysia tanah air saya dan tumpuan taat setia saya. Sekiranya saya dituduh derhaka atas apa yang saya katakan, biarlah.”
Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu, yang bukan pertama kali berselisih pendapat dengan keluarga diraja dan pihak istana, berkata apa yang diutarakan beliau itu adalah berdasarkan laporan Bloomberg, yang antara lain melaporkan usaha giat mempromosikan hartanah di Forest City kepada beratus ribu warga China.
Menurut laporan itu, pembinaan Forest City di Johor Bahru akan menyaksikan kebanjiran rakyat China ke negeri itu yang membeli kebanyakan daripada hartanah yang ditawarkan.
“Saya tidak rasa Melayu atau Cina Johor membeli atau akan membeli pangsapuri itu. Tidak ramai rakyat Malaysia membeli semua hartanah ini,” katanya dalam suratnya kepada The Star.
Semalam, Sultan Ibrahim berkata Dr Mahathir cuba memainkan “politik perkauman” dalam kritikannya terhadap pelaburan China.
“Dia bermain dengan politik ketakutan dan kaum, yang tidak ada tempat di Johor kerana saya tidak percaya kepada politik perkauman.
“Dia menghina pelabur hartanah China yang kaya ini. Mereka bukannya mahu kerakyatan Malaysia. Ramai antara mereka ada hartanah di negara lain termasuk Australia dan United Kingdom,” katanya dalam wawancara bersama The Star.
Menurutnya, Dr Mahathir sudah lupa banyak perkara yang dilakukan sebelum ini.
“Dulu dia benci media barat tetapi sekarang dia pula memetik segala apa daripada media barat. Dia dah lupa banyak benda yang dia buat sebelum ini.”
Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau sudah biasa dituduh mengamalkan perkauman Melayu sempit.
“Sikap melabel, memburukkan saya hanya menyerlahkan kekurangan hujah berasas bagi menangkis tindakan dan kenyataan saya,” katanya
Pelaburan asing zaman saya
Dr Mahathir dalam jawapannya mempertahankan dasarnya membawa masuk pelaburan asing, dengan menambah ia bertujuan mengembangkan industri dan bukan mengenai hartanah.
“Pelaburan asing langsung (FDI) adalah mengenai pelaburan dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat Malaysia akan bekerja dalam industri. Mereka akan pelajari kepakaran dan memulakan kilang mereka sendiri,” kata Dr Mahathir, yang terkenal dengan Dasar Pandang ke Timur bagi mencontohi keusahawanan Jepun.
“Pandang ke Timur bukan menyuruh negara timur beli tanah di Malaysia, atau memajukannya dan menjualnya kepada rakyat mereka. Ya, kami menggalakkan orang asing menjadikan Malaysia rumah kedua mereka. Tetapi bilangan mereka amat sedikit,” kata Dr Mahathir.
Menurutnya, pemaju tempatan berkemampuan dalam bidang hartanah.
“Lihatlah Malaysia hari ini. 90% atau lebih daripada binaan dan pembangunan dilakukan syarikat Malaysia. Majoriti pembeli adalah rakyat Malaysia, dan mereka tinggal di situ.
“Tetapi apabila warga asing beli tanah, ia tidak mendatangkan modal. Sebahagian besar wang dipinjam dalam negeri, dan mereka pula berurusan dengan bank mereka sendiri,” kata Dr Mahathir. #sumber
No comments:
Post a Comment