Friday, January 13, 2017

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem meninggal dunia


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini meninggal dunia pada usia 72 tahun.

Difahamkan, Adenan sebelum ini dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan.

Beliau mula menjawat jawatan ketua menteri pada 28 Februari 2014 selepas Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengemukakan peletakan jawatannya pada 11 Februari setelah menerajui Sarawak selama 33 tahun.

Adenan memulakan kerjaya politiknya pada 1979 apabila beliau bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Muara Tuang dalam satu pilihan raya kecil dan mengalahkan calon daripada Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) Razali Sabang dengan majoriti 2,797 undi.

Beliau mengekalkan kerusi DUN Muara Tuang dalam enam pilihan raya negeri berikutnya sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen ke-11 bagi kerusi Batang Sadong dan mengetepikan Adam Ahid daripada PAS dengan majoriti 9,371 undi.

Berikutan kemenangannya dalam pilihan raya parlimen, Adenan dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar di peringkat persekutuan pada 2004 sebelum kembali ke arena politik Sarawak untuk bertanding dalam pilihan raya negeri pada 2006 dan memenangi kerusi DUN Tanjung Datu.

Beliau dilantik sebagai penasihat khas kepada Ketua Menteri pada 2010, diikuti dengan pelantikan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak pada 2011 setelah berjaya mengekalkan kerusi DUN Tanjung Datu dalam pilihan raya negeri pada tahun berkenaan.

Sebelum menceburi bidang politik, Adenan pernah bergelar wartawan apabila menyertai akhbar tempatan, 'Sarawak Tribune', dan kemudiannya meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang di Adelaide University, Australia.

No comments:

Post a Comment