Tuesday, January 3, 2017

Rakyat berang minyak naik, Najib sekeluarga bercuti di Australia


ARIF ATAN
 
 
Gambar di Instagram Norashman, anak lelaki perdana menteri menunjukkan mereka sedang bercuti di AustraliaGambar di Instagram Norashman, anak lelaki perdana menteri menunjukkan mereka sedang bercuti di Australia

Ketika rakyat mengeluh dengan kenaikan harga petrol dan diesel sehingga ada terpaksa beratur panjang di stesen minyak menjelang tahun baharu 2017, lain pula halnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekeluarga yang tersenyum riang menikmati percutian panjang di Australia.

Demikian juga banjir yang sedang melanda di Kelantan dan Terengganu sehingga mengakibatkan sesi persekolahan di kawasan terjejas terpaksa ditunda, anak Najib, Mohd Norashman seronok berswafoto bermain golf, menonton persembahan penguin dan berbasikal.

Lokasi percutian keluarga Presiden Umno itu dapat dikenal pasti apabila Norashman menghantar sejumlah gambar berkaitan aktiviti liburnya di Instagram bersama tag "#perth", ""#goldcoast"dan "#meadowsprings".

Dalam perkongsian beliau semalam di Instagram misalnya, Norashman yang juga fasih berbahasa Cina itu memberitahu berbasikal dengan ayahnya.

Pada masa sama, portal berita Malaysiakini dalam laporannya malam tadi turut mendedahkan data penerbangan pesawat kerajaan Malaysia jenis Airbus A319 berpandukan laman pengesanan penerbangan Flight Aware.

Pesawat kerajaan Malaysia jenis Airbus A319 merentasi Australia serentak dengan tarikh percutian keluarga PMPesawat kerajaan Malaysia jenis Airbus A319 merentasi Australia serentak dengan tarikh percutian keluarga PM

Maklumat tersebut termasuklah ketika pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-NAA itu terbang merentasi Australia yang serentak dengan tarikh percutian keluarga Najib.

Pesawat 9M-NAA berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya pada 22 Disember pukul 12.07 malam dan tiba di Gold Coast pada 10.06 pagi.

Dari Gold Coast, 9M-NAA berlepas pada tarikh yang sama pukul 11.47 pagi dan tiba di Brisbane pada 12.09 tengah hari.

Akaun Norashman di Instagram kemudiannya menunjukkan anak bongsu Najib itu bermain golf di Gold Coast pada 23 Disember diikuti keesokannya melawat Sea World Gold Coast.

Selanjutnya pada 26 Disember, Malaysiakini melaporkan 9M-NAA berlepas dari Brisbane pukul 9.11 pagi dan tiba di Gold Coast pukul 9.35 pagi.

Pada hari sama juga, 9M-NAA berlepas dari Gold Coast pukul 12.22 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth pada 2.47 petang.

Seterusnya, Instagram atas nama Norashman pada 28 Disember memaparkan anak Najib itu bermain gitar dalam sebuah bilik di Perth dan esoknya dilihat berbasikal di Perth.

Akhirnya, pada 30 Disember, Norashman bermain golf di Golf Meadow Springs & Country Club di Mandurah, sejam perjalanan dari Perth.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Dateline di akaun rasmi Facebook Najib lewat malam tadi mendapati ramai warga internet mengecam keputusan kerajaan menaikkan harga RON 95 sebanyak 20 sen, RON 97 (15 sen) dan diesel 20 sen berkuatkuasa mulai 1 Januari.

Deretan #20sen membanjiri ruangan komentar pada Facebook Najib yang dilihat sebagai menyindir kenaikan harga bahan api itu selain sindiran netizen antaranya Bi Isma menulis, "Selamat tahun baru Najib.

Terima kasih hadiah tahun baru ini. Naik 20 sen seliter apalah sangat pada kita, kan?"

Turut membidas Hemaraj Balachandran, "Happy New Year. Thanks for the 20 sen"; Simon Riley pula secara sinis menyebut, "Salam 20 sen" manakala Gn Winnie mengucapkan, "Selamat menyambut tahun barang naik tanpa gaji naik."

Namun, pada masa sama #RespectMyPM turut memenuhi ruangan berkenaan yang sebahagian besarnya datang daripada akaun palsu seperti lazim berlaku sebelum ini.

No comments:

Post a Comment