Tuesday, January 31, 2017

Hanya 24 jam lebih 1 juta tandatangan petisyen bantah Trump lawat Britain



DALAM masa tidak sampai 24 jam selepas ia dilancarkan, petisyen membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke United Kingdom berjaya mendapat lebih sejuta tandatangan daripada Rakyat Britain.

Malah ketika artikel ini ditulis, lebih 1.4 juta rakyat Britain sudah menandatangani petisyen atas talian tersebut.


Menurut petisyen itu, Donald Trump patut dibenarkan untuk masuk ke United Kingdom atas kapasitinya sebagai ketua kerajaan Amerika Syarikat, namun beliau tidak patut dijemput membuat lawatan rasmi ke negara itu kerana ia akan memalukan Permaisuri Britain.

"Donald Trump should be allowed to enter UK in his capacity as head of the US Government, but he should not be invited to make an official State Visit because it would cause embarrasment to Her Majesty the Queen." tulis petisyen tersebut.

Sebelum ini Donald Trump pernah membuat satu kenyataan yang disifatkan menghina keluarga diraja Britain dalam tahun 2012 melalui akaun twitter miliknya apabila mengeluarkan komen jelik tentang Kate Middleton, isteri kepada Putera Kerajaan Britain iaitu Prince William.

"Siapa yang tak mahu ambil gambar Kate dan buat banyak duit jika dia sedang bermandi cahaya matahari sambil berbogel. Come on Kate!" Tulis Donald Trump di akaun twitter miliknya.


Hanya rakyat Britain yang dibenarkan menandatangani petisyen atas talian tersebut. 

Dengan jumlah populasi Britain sekitar 65 juta orang, kejayaan mendapat 1 juta tandatangan atau 1 tandatangan daripada setiap 65 rakyat disifatkan sebagai kejayaan yang sangat luar biasa, tambahan pula ia diperolehi hanya dalam jangka masa tidak sampai 24 jam.

Mengikut undang-undang Britain, kerajaan mesti menjawab sebarang petisyen atas talian dengan jumlah 10,000 tandatangan, dan perlu mengadakan perbahasan terhadap sesuatu isu berbangkit jika ia mencapai 100,000 tandatangan rakyat.



Read more: http://www.milosuam.net/2017/01/hanya-24-jam-lebih-1-juta-tandatangan.html#ixzz4XO8w5F00

UMNO SUDAH LUPA PADA MELAYU





Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) adalah agensi yang diwujudkan sebagai sebuah amanah yang besar untuk kemajuan sosioekonomi bangsa Melayu di negara ini. Semenjak penubuhannya di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 , iaitu pada 1 Julai 1956, terdapat 112,635 peneroka di Malaysia di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara. 



Ramai orang Melayu dapat manfaat dan kini generasi kedua Felda juga sedang meraih kesenangan.

Felda telah ditubuhkan untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.

Antara fungsi Felda adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial.

Sebagai usaha menjana pendapatan, Felda telah melancarkan beberapa entiti korporat swasta terutamanya untuk memastikan rantaian nilai yang lengkap untuk aktiviti terasnya. 

Antara yang terbesar adalah koperasi Permodalan Felda (Koperasi Felda), Felda Global Ventures (FGV) dan Felda Investment Corporation (FIC).

Sekarang fokus Felda adalah untuk menjadi ‘Economic Powerhouse’ dalam menjana pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun 2020 melalui program berstrukturnya dengan modal insan yang mempunyai pelbagai potensi.

Pengurusan Felda diharap diberi kepada mereka yang cukup berwibawa, berintegriti bukan sahaja dari sudut pengurusan malah juga untuk merancang masa depan Felda secara mapan. 

Kepimpinan pengurusan Felda yang silih berganti sepatutnya menjadikan agensi itu lebih kukuh. Politik tidak seharusnya mengganggu pengurusan Felda kerana ia akan memporak-perandakan keputusan yang mesti dibuat dengan profesional dan urus kelola korporat yang betul dan telus.

Sejak ia menjadi aset negara bernilai berbilion ringgit kini pelbagai inisiatif baru diambil untuk menganjakkan agensi itu kepada tahap yang lebih menyerlah melibatkan pelaburan yang besar bukan sahaja dalam negara malah ke medan antarabangsa. 

Syarikat korporat FGV kemudian disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur pada 2012 yang mula melibatkan diri dalam dunia ekonomi global bersifat spekulatif.

FGV sebagai sebuah korporat pengurusan ladang lebih 811,000 hektar adalah yang terbesar di dunia. Namun kini dari Tawaran Harga Awal (IPO) RM4.55 seunit pada 2012,  nilai sahamnya merudum kepada hanya berlegar pada sekitar RM1.80 seunit. Kemungkinan untuk menyahsenaraikan FGV dari Bursa Saham KL mungkin menjadi pilihan jika keadaan tidak berubah segera.

Kemudian diberitakan pula  mengenai beberapa pegawai tinggi dalam pengurusan Felda yang kini sedang disiasat oleh SPRM telah menggoncangkan keyakinan awam terhadap ketelusan agensi tersebut. Penahanan 4 orang pegawai kanan Felda baru-baru ini oleh SPRM yang melibatkan pengeluaran wang Felda bernilai RM47 juta dalam projek ternakan ikan Sturgeon adalah petanda perlunya kawal selia yang lebih rapi.

Dengan sebab itu bila publik mulai mendengar berita salah urus dan pelaburan yang tidak mengikut prosedur dalam pengurusan Felda yang melibatkan ratusan juta ringgit, kekecewaan rakyat mulai memutik.

Felda kini mempunyai puluhan anak syarikat yang hanya pihak pengurusan tertinggi sahaja yang tahu yang mana berjalan dengan sihat dan yang mana yang sudah nazak. 

Sebelum ini, pada 2010  sebuah memorandum pernah dimajukan kepada Suhakam yang mengungkap pelbagai isu yang dikaitkan dengan hak peneroka, kebajikan, nasib generasi kedua, pendidikan, geran hakmilik tanah, dokumen perjanjian dan peruntukan skim tanam semula. Ternyata isu-isu yang dibangkit belum terungkai.

Bila rakyat memberi kepercayaan penuh kepada pihak pengurusan yang berada di bawah kawal selia langsung Pejabat Perdana Menteri, Felda diharapkan mempunyai jaminan kukuh untuk diurus kelola dengan baik.

Kami berpendapat jika sebuah agensi sebesar Felda mulai dicemari dengan salah urus dan salah guna kewangan, pihak awam akan mulai hilang kecercayaan kepada pemerintah yang diamanah untuk menguruskan aset bangsa. 

Kami menggesa Felda mewujudkan sebuah badan Hisbah yang boleh menilai dan mengawal selia pelbagai kegiatan pengurusan agensi tersebut. 

Tanpa kawal selia yang rapi agensi itu bakal jatuh dan boleh tergadai kepada pihak asing yang sentiasa mencari peluang untuk menguasai aset ekonomi negara yang besar.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Annuar Musa digantung jawatan Pengerusi Mara serta merta



Tan Sri Annuar Musa digantung dari jawatan Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuatkuasa serta merta hari ini.

Annuar digantung tugas daripada jawatan tersebut berikutan daripada isu tajaan bola sepak oleh PMB buat skuad Kelantan.

Jawatan Annuar akan dipangku oleh Ahli Majlis Mara, Datuk Dr Yusof Yacob sehingga siasatan melibatkan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu selesai.

Dalam pada itu, Annuar dilihat tidak turut sama dalam mesyuarat berkenaan yang diadakan di Ibu Pejabat Mara Kuala Lumpur.

sinar harian

Salahuddin Berkalibar & Berpotensi Sebagai MB Johor




Masyarakat Tionghua gembira menyambut kedatangan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Tuan Haji Salahuddin Ayub beberapa hari sebelum hari Tahun Baru Cina di Rumah Orang-orang Tionghua Rosevelle Pontian Johor baru-baru ini. Salahuddin sewaktu itu sedang mengedar limau untuk masyarakat Tionghua di sekitar bandar Pontian.

Salahuddin adalah seorang anak jati Johor, dilahir pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Pengalaman beliau di dalam politik bermula pada tahun 1983 dimana ketika itu beliau telah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pontian setelah berkecimpung di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selama tiga tahun sebelumnya (1981-1983).

Salehuddin dilihat berkalibar dan berpotensi besar untuk menjadi Menteri Besar Johor jika Pakatan Harapan berjaya merampas negwri tersebut dari UMNO BN di dalam PRU14 nanti.


Salahuddin kelihatan sedang menolong seorang tua menolak kereta tolak di Pontian baru-baru ini. Terasa simpati di lubuk hatinya dan terus memberhentikan kereta dan terus menolong.

Pengalaman beliau selama dua penggal sebagai ahli parlimen Kubang Kerian sewaktu Almarhum TG Nik Aziz menjadi Mursyidul Am PAS dan MB Kelantan telah membuka peluang untuk Salahuddin menunjukkan dan membuktikan kepimpinan dan kebolehannya menyelesaikan banyak isu-isu rakyat di kawasan yang diwakilinya.

Pertama kali Salahuddin diturunkan di Kelantan pada pilihan raya umum 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi Kubang Kerian pada Mac 2008.

Pada waktu itu, Allahyarham Nik Aziz berkata "dalam Islam, tidak ada perbezaan antara orang dalam atau luar."

Selain Salahuddin, antara pemimpin luar yang menjadi ahli Parlimen di Kelantan ialah bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang bertanding di Bachok dan Bendahari PAS semasa itu Dr Hatta Ramli di Kuala Krai.

Salahuddin pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (2003-2009) dan kemudian sebagai Naib Presiden PAS Pusat (2009-2015).

Sewaktu beliau menjadi Naib Presiden PAS, beliau telah berjaya melebarkan pengaruh PAS di Johor dan beberapa orang pimpinan PAS telah menang di dalam pilihanraya pada tahun 2014.

Semasa beliau menjadi ahli parlimen Salahuddin telah menyertai Himpunan Gabungan Pemuda Malaysia untuk menyokong rakyat Lubnan oleh semua pimpinan Parti Politik Negara pada tahun 2006.

Beliau pernah mengetuai misi kemanusiaan ke Kosova (1999), Afghanistan (2002), Vietnam (2002), Iraq (2003) dan Lubnan (2006).

Beliau juga pernah mewakil Kerajaan Malaysia untuk menganggotai Jawatan Kuasa Khas Parlimen mengenai Perpaduan dan PLKN.

Beliau juga menganggotai International Parliamentary Organization (IPO) dan anggota kepada Caucus Pembelaan Perjuangan Kemanusian.

Pada 2015, Salahuddin menyertai beberapa orang pemimpin progresif PAS yang disingkirkan oleh di dalam muktamar melalui satu perancangan licik geng ulama bagi membentuk Gerakan Harapan Baru yang kemudiannya melahirkan Parti Amanah Negara dengan beliau terpilih sebagai timbalan presidennya.

Sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin menggalas tugas besar untuk membawa partinya ke seluruh pelusuk negara, khususnya di negerinya sendiri itu Johor.

Baru-baru ini, di dalam kontroversi diantara Sultan Johor dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Salahuddin telah mengambil pendekatan sederhana tetapi dengan bijaksana, menggesa semua pihak supaya mematuhi prinsip asas Perlembagaan Persekutuan sebagai jalan keluar terbaik demi mengekalkan keharmonian antara institusi istana dan rakyat.

Ketika membuat gesaan itu, Salahuddin berkata tiada ada sesiapa yang mengatasi undang-undang.

“Sama ada ia melibatkan institusi istana yang diwakili oleh Raja-Raja Melayu atau golongan rakyat biasa yang diwakili oleh pimpinan politik yang dipilih melalui proses demokrasi berparlimen, semuanya harus menjaga kaki mereka supaya jangan terbabas masuk ke dalam garisan pemisah yang telah digariskan oleh perlembagaan negara," ujarnya.

Mengenai isu 1MDB, beliau berpandangan bahawa ia merupakan satu malapetaka besar buat negara. Katanya, sejak skandal itu dibongkar, imej negara tercemar di mata dunia malah keadaan negara menjadi rosak lantarannya. Justeru itu beliau telah menggesa rakyat bertindak untuk menghukum mereka yang terlibat dengan skandal tersebut melalui proses perundangan dan selebihnya melalui peti undi di dalam pilihanray yang ke 14 akan datang.

Bagi rakyat Johor, inilah masa dan ketika yang terbaik untuk memilih Salahuddin memimpin negeri Johor dengan lebih amanah, progresif dan peduli disamping mewujudkan sebuah kerajaan yang berintegriti menggantikan UMNO BN yang sinonim dengan korupsi dan kleptokrasi.

GB sendiri sebelum ini di dalam stau entri bi blog ini pada tahun 2009 lagi bertajuk PULANGLAH PERANTAU pernah menyatakan iaitu semenjak beliau diura-urakan oleh PAS untuk tidak terpilih bertanding di Kelantan, supaya Salahuddin kembali ke Johor untuk memimpin negeri Johor.


Yang utama, perjuangan diteruskan dan ingatlah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Juteru itu, jom Salahuddin, tanggalkan kot dan talilehermu sebentar, kita harung kampung-kampung seperti dulu-dulu, meredah jawa-jawa yang ada diantaranya masih pekat birunya di Johor itu.

Apa yang GB tulis 18 tahun yang lalu kini menjadi kenyataan, bezanya kini Salahuddin memakai baju oren!

Wednesday, January 25, 2017

SELAGI TIDAK TOLAK UMNO, PENEROKA FELDA AKAN TERUS DIPERDAYA


shahbudindotcom


Selain orang Melayu, pihak lain yang barangkali bernasib malang di negara kita ialah para peneroka Felda. 

Kedua-duanya, orang Melayu dan peneroka Felda, sering dijadikan sebutan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan kononnya untuk diberi pembelaan dan dinaikkan taraf kehidupan, tetapi malangnya kelompok itu jugalah yang paling mundur dan terkebelakang.

Jika mendengar pemimpin Melayu bercakap tentang Melayu sejak dulu, apatah lagi jika menjerit perkataan "Hidup Melayu", aduhh...gegak-gempitanya sehingga berdiri bulu roma dibuatnya.

Namun, lagi kuat menjerit, lagi besar khianatnya mereka. Tidak cukup bersekongkol dengan tauke-tauke Cina mencairkan tanah rizab Melayu, bukan untuk menolong orang Melayu, tetapi lebih bertujuan memperkaya diri sendiri, ketamakan itu akhir-akhir ini melebar sehingga ke negara China jauhnya.

Tidak cukup dengan tanah, projek keretapi, rumah, kondo, pelabuhan, menjaga sempadan dan cara mencegah jenayah telah diserahkan kepada China, terbaru ini dimetrai bahawa program-program televisyen daripada China juga mahu dilambakkan untuk tontotan rakyat kita sekeluarga.
 
 
 
 
Seperti biasa, pemimpin-pemimpin yang sama tetap menjerit "Hidup Melayu"  tanpa henti dan tidak malu pula mengatakan keutamaan mereka tetap membela dan menjaga orang Melayu.

Begitu juga dengan peneroka Felda, walaupun mereka merupakan penentu dan penyumbang kemenangan kepada UMNO dan BN di 54 kawasan Parlimen di seluruh negara, hakikatnya nasib mereka tidak banyak yang dibela.

Di ketika suara-suara bergema mahu membela peneroka, hakikatnya Felda teruskan dijadikan lubuk untuk mengaut kekayaan oleh segelintir mereka yang diberikan amanah untuk menjaganya.

Penangkapan empat pegawai kanan Felda berhubung penipuan dan salah guna kuasa dalam pelaburan penternakan ikan sturgeon bernilai RM47 juta tidaklah begitu menghairankan sebenarnya.

Ini kerana sebelum ini kita juga dihidangkan dengan banyak kes mengenai Felda seperti pembelian hotel dan hartanah mewah di luar negara, pelaburan dalam syarikat yang meragukan, pembelian kondo, pembayaran elaun dan penggunaan apartment untuk anak pegawai yang sedang belajar, pemberian kontrak kepada kroni, pembelian ladang di Indonesia pada harga luar biasa serta berbagai-bagai lagi.

Semua itu tidak sama sekali memberi keuntungan kepada peneroka, sebaliknya hanya orang-orang tertentu yang mengaut laba daripadanya.
 
 
 
 
Susulan tangkapan empat pegawai Felda semalam, dikhabarkan terdapat dua atau tiga lagi orang kuat agensi itu sedang dalam pemerhatian SPRMdan tidak mengejutkan jika mereka akan turut dicekup sama dalam tempoh terdekat ini.

Dilaporkan ada di antara mereka yang mempunyai berpuluh-puluh kereta, memiliki restoran di beberapa pusat membeli-belah di dalam dan luar negara, selain sudah tentu turut mempunyai rumah besar dan perhiasan mahal-mahal untuk isteri masing-masing.

Sama seperti nasib orang Melayu yang hanya digula-gulakan, tiada apa-apa yang akan berubah kepada kehidupan peneroka Felda selagi UMNO yang menjaga mereka. 

Ia seperti meminta memerang menjaga kolam ikan atau musang menjaga reban ayam.

Orang Melayu dan peneroka Felda harus berani membuat perubahan, jika tidak, sehingga tahun 2050 pun, mereka terus menjadi barang mainan dan sekadar modal mengaut sokongan dalam ucapan.

Setelah berkali-kali diperdayakan, menolak UMNO bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan.

Masa depan Pas-Bersatu diputuskan 2 Februari ini


PUTRAJAYA – Masa depan hubungan antara Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal dimuktamad pada 2 Februari depan.
Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya telah mengemukakan draf rangka perjanjian itu kepada Pas dan sedang menungggu maklum balas.
Difahamkan, rundingan itu nanti yang hanya melibatkan Pas dan Bersatu akan diketuai Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi dan masa pertemuan tersebut.
“Bentuk kerjasama antara Pas dan Bersatu hanya lebih kurang sama dengan kerjasama yang kami (Bersatu) meteraikan dengan Pakatan Harapan.
“Rundingan yang akan berjalan antara Mukhriz dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ini akan menentukan pendirian kami dengan Pas, ” jelas Tun Mahathir dalam sidang media di sini, hari ini.

PENTING!! RAMAI TIDAK TAHU..Inilah sebab mengapa islam Melarang Gantung Gambar Kahwin Dalam Rumah Kita..


Dalam sebuah hadith yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Malaikat yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa. Dan larangan yang terdapat dalam hadith ini ialah bukan semata-mata gambar makhluk bernyawa tetapi yang dilarang ialah gambar yang di gantung pada dinding seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga.

Oleh itu gambar-gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan haiwan yang tidak digantung pada dinding didalam rumah seperti gambar yang disimpan didalam album atau didalam komputer tidaklah menjadi kesalahan.

Ada pun gambar-gambar yang bukan bernyawa seperti gambar kereta, motosikal, gunung ganang, laut, penyapu lidi, penapis santan atau seumpamanya tidaklah haram di jadikan perhiasan pada dinding-dinding rumah

Mesyuarat PPBM Putuskan Tetap Sertai Pakatan Harapan Walaupun Tanpa PAS





PAS ada atau tidak, BERSATU mahu pakatan rasmi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mencadangkan semua parti pembangkang membentuk pakatan secara rasmi bagi membolehkan mereka mencabar BN menggunakan logo sama.

Mengenai kedudukan PAS yang dilihat berkeras enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gabungan secara rasmi itu tetap perlu diwujudkan.


Kata pengerusi BERSATU itu, melalui suatu gabungan rasmi, parti pembangkang boleh menggunakan logo, manifesto dan nama sama, sekaligus mencerminkan perpaduan di kalangan mereka.

"Kami berpendapat, sama ada PAS menyertai (gabungan ini) atau tidak, kemasukan BERSATU dengan parti pembangkang lain perlu dilakukan secara rasmi, dan kami akan berunding isu-isu berkaitan pilihan raya, pembahagian kerusi, dan sebagainya," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Mahathir, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pagi tadi.

Ketika ini BERSATU masih belum menyertai HARAPAN secara rasmi walaupun sudah menyatakan kesediaan bersama-sama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menghadapi BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

PRU perlu diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Bagaimanapun kedudukan PAS masih belum jelas kerana parti itu menyatakan dengan tegas keengganan mereka bekerjasama dengan DAP serta AMANAH. -mk

RUU355-"BUKAN SETAKAT MENAIKTARAF MAHKAMAH SYARIAH, BAHKAN MEMBAIKPULIH KELUHURAN PERLEMBAGAAN"

RUU355: Ulasan menarik Raja Petra
KopiO Rabu, Januari 25, 2017  opinion



Menarik juga tulisan Raja Petra bertajuk
"RUU355 IS PERFECTLY CONSTITUTIONAL" . Dia menjawab beberapa persoalan yang sengaja ditimbulkan oleh para penentang usaha ini supaya mereka yang tidak celik undang-undang dan perlembagaan Malaysia meragui usaha ini.

Memandangkan tulisan tersebut dalam Bahasa Inggeris dan agak panjang, saya cuba simpulkan dengan beberapa penambahan seperti berikut:

1. Persoalan pertama ditimbulkan adalah RUU355 boleh mewujudkan situasi dual-legal system ataupun sistem dua undang-undang di Malaysia.

Sebenarnya, sistem dua undang-undang telah wujud sebelum Malaysia ini ditubuhkan lagi! Bahkan, Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 ditubuhkan atas persetujuan membahagikan dua set undang-undang antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Apabila mencapai kemerdekaan tahun 1957, dan juga setelah tertubuhnya Malaysia tahun 1963 hinggalah sekarang, sistem ini masih kekal sebagaimana dahulu!

2. Persoalan kedua adalah RUU355 ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, ia langsung tidak bertentangan malah selari! Ini kerana sebagaimana yang termaktub dalam jadual kesembilan perlembagaan, kerajaan persekutuan hanya berkuasa dalam bidang tertentu seperti keselamatan, pendidikan, kesihatan, petahanan, urusan luar negara dan beberapa yang lain. Negeri pula masih memiliki kuasa eksklusif melibatkan soal agama, tanah dan hasil mahsul, air, tradisi dan beberapa yang lain.

Maka RUU355 adalah urusan agama yang berada di bawah kuasa negeri. Kerajaan persekutuan tidak berhak mengganggu perkara ini melainkan sekiranya undang-undang tubuh atau enakmen peringkat negeri bercanggah dengan bidang kuasa persekutuan.

3. Apa yang menarik menurut pandangan RPK ialah, jika persekutuan menyekat hak negeri ini, maka negeri boleh membuat keputusan untuk keluar dari persekutuan Malaysia, sebagaimana yang telah Singapura lakukan. Walaupun kita bukan mahu menuju ke arah itu, tetapi harus disedari bahawa kuasa negeri masih wujud dan kuat sehingga kini walaupun dibayangi kekuasaan kerajaan persekutuan.

4. RPK memberi contoh yang agak menarik. Ketika minyak dijumpai di Terengganu tahun 1972, kerajaan lekas merangka akta petroleum sehingga digazetkan tahun 1974. Secara asasnya petroleum adalah hak kerajaan negeri mengikut jadual kesembilan. Tetapi dengan akta tersebut, hak negeri cuma beroleh petroleum (kalau tak silap 5%). Tanpa akta ini, Terengganu hari ini sudah menikmati 100% hasil petroleumnya! Mungkin juga Menara Berkembar Petronas sudah berada di Paka ketika ini!

Maka dalam perkara agama Islam, tiada sebarang akta yang menetapkan urusan Islam ditadbir oleh persekutuan. Yang ada hanya akta mahkamah syariah bidang kuasa jenayah atau dikenali sebagai akta 355. Akta ini sekadar menetapkan had hukuman yang boleh diambil dalam kesalahan syariah. Di samping itu ada beberapa lagi akta tetapi tidaklah sampai agama Islam menjadi urusan mutlak kerajaan persekutuan.

5. Sebagaimana akta petroleum, akta 355 adalah suatu akta yang sebenarnya mengganggu maksud perjanjian persekutan yang dimeterai sejak dahulu. Justeru usaha RUU355 bukan sahaja satu projek menaiktaraf mahkamah syariah, tetapi juga sebuah projek mengembalikan keluhuran perlembagaan agar ianya benar-benar mengikut roh yang sebenar.

Syabas RPK! Tulisan anda sangat membuka minda!

APA SUDAH JADI DENGAN NAJIB?


Hanya dalam tempoh seminggu yang lalu saja, Najib Razak didapati telah melakukan dua kesilapan fakta yang tidak sewajarnya sebagai seorang Perdana Menteri.
Kali pertama, beliau mengatakan tanah di Forest City adalah pajakan selama 99 tahun  dan ia tidak menjejaskan dari segi kedaulatan negara apabila orang-orang dari negara China menjadi pembeli utamanya.
Ternyata kemudian melalui papan iklan, billboard dan laman web Forest City sendiri, fakta Najib ternyata salah.
Tanah Forest City memang pegangan bebas dan ia akhirnya memaksa Bernama memadam fakta pajakan 99 tahun yang disebut Najib sebelum itu dalam berita yang disiarkannya.
Kali kedua, Najib menafikan dakwaan Tun Mahathir bahawa MCA pernah meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri sedangkan terbukti pada 3 April 2009, parti Cina komponen BN itu pernah berbuat demikian.
MCA ketika itu menggesa Najib yang baru menjadi Perdana Menteri agar mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi BN untuk Presidennya bagi mencerminkan "perkongsian kuasa"  yang sebenar dalam negara ini.
Bagaimanakah kesilapan fakta sedemikian boleh berlaku kepada seorang Perdana Menteri?
Adakah Najib tidak tahu atau begitu tertekan dan serabut fikiran sehingga "cakap main bedal saja"  menafikan sesuatu perkara tanpa mengira apa yang disebutnya itu betul atau salah?
Ataukah Najib memang suka cakap "hentam keromo" apabila fikirannya celaru dan tertekan sepertimana yang pernah dilakukannya mengenai wang RM2,600 juta dahulu?
Ketika itu Najib dengan selamba mengatakan, kalau pun mahu menyamun, takkankan beliau melakukannya dengan memasukkan wang ke dalam akuan sendiri di dalam negara, walhal menyedari perkara itu memang pun berlaku.
Adakah perlakuan-perlakuan Najib  yang tidak sewajarnya itu yang membuatkan Zahid Hamidi tiba-tiba mengatakan hanya tinggal 6.6 peratus saja "cybertrooper" yang bersama UMNO dan kerajaan sekarang ini?
Kata Zahid, akibat ketinggalan jauh dalam perang maya itu menyebabkan persepsi negatif yang buruk kepada UMNO dan kerajaan.
Adakah Zahid juga sedang cuba mengatakan bahawa UMNO dan BN di bawah pimpinan Najib hanya menunggu masa saja untuk menemui titik nokhtahnya?
Lalu, apa perancangan Zahid seterusnya? (SH 23/01/2017).

Tuesday, January 24, 2017

Nurul Izzah: Zahid Seakan Relakan Penipuan, Demi "Menangi" Pilihan Raya









SHAH ALAM: KEADILAN kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu UMNO belajar daripada kejayaan Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, India Narendra Modi.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu dilihat hanya akan merelakan kemenangan pilihan raya melalui cara yang tidak wajar.

“Saya rasa agak mengecewakan jika mana-mana pemimpin di Malaysia ini boleh merelakan penipuan semata-mata untuk menang dalam pilihan raya,” katanya selepas membuat lawatan mangsa buli di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini.

Memetik MalaysiaKini, Izzah menasihati Ahmad Zahid agar menjadi pemimpin yang berpegang kepada amanah dan tidak memenangi hati rakyat melalui penipuan.

“Jadi, saya nasihatkan Datuk Seri Zahid sebagai pemimpin pegang amanah, tak perlulah kita mengguna pakai penipuan untuk memenangi hati rakyat,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mahu Umno belajar daripada kejayaan Trump dan Modi dalam mempengaruhi persepsi umum melalui media sosial.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 anggota wanita Umno di PWTC, Naib Presiden UMNO itu berkata, dua tokoh terbabit pada awalnya tidak popular tetapi akhirnya berjaya membawa parti mereka memenangi pilihan raya.

“Ini hakikat – walaupun berat – kita harap apa kita buat ini belajar daripada pengalaman yang dulunya tak digemari tapi kini jadi pemimpin utama,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyamakan Parti Bharatiya Janata (BJP) diketuai Modi yang menentang Parti Kongres Kebangsaan India dengan Umno dan berkata mereka berjaya membentuk kerajaan di India kerana strategi komunikasi yang berkesan di media sosial. #sumber

Obama lulus USD221 juta untuk Palestin beberapa jam sebelum lepas jawatan


BEBERAPA jam sebelum melepaskan jawatan Presiden Amerika Syarikat, kepada Donald Trump, Barack Obama dilaporkan secara senyap telah meluluskan peruntukan sebanyak USD221 juta (RM980.1 juta) kepada pihak berkuasa Palestin.


Tindakan itu dikatakan telah mengingkari bantahan daripada parti lawan Republikan. 

Seorang pegawai Jabatan Negara dan beberapa pembantu kongres dilaporkan mendakwa pentadbiran terdahulu telah secara rasmi memaklumkan mereka mahu membelanjakan sejumlah dana pada pagi Jumaat sebelum Donald Trump mengambil alih jawatan sebagai Presiden baru Amerika Syarikat.

Lebih USD227 juta (RM1 billion) dana diluluskan untuk hal ehwal luar negeri dikeluarkan hari itu, selain USD221 juta untuk pihak berkuasa Palestin, dana lain ialah termasuk USD4 juta (RM17.6 juta) bagi program perubahan iklim, dan USD1.25 juta (RM5.5 juta) untuk organisasi PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu).

Sumber — Business Insider

Ini merupakan kali kedua Obama menggunakan kuasa eksekutifnya sebagai presiden untuk meluluskan bantuan dana kepada Palestin.

Pada tahun 2012, Obama dilaporkan pernah mengetepikan kongres dengan menggunakan kuasa eksekutif presiden memberikan bantuan dana sebanyak USD192 juta (RM851.52 juta) kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Tindakan itu sekaligus mengetepikan larangan Amerika Syarikat yang telah mengharamkan sebarang bentuk bantuan kewangan diberi kepada pihak berkuasa Palestin.

Obama pada waktu itu dilaporkan bertindak demikian atas alasan kepentingan keselamatan Amerika Syarikat.


Read more: http://www.milosuam.net/2017/01/obama-lulus-usd221-juta-untuk-palestin.html#ixzz4WjV7vIhX

TABUNG HAJI RUGI RM64 JUTA AKIBAT PELABURAN DI DALAM PERISAI PETROLEUM TEKNOLOGI BERHAD


Saya masih menunggu saman dari Dato’ Seri Jamil Khir Baharom atau Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dua orang pemuka Umno yang berlatar belakangkan pengajian Islam dan diberi tanggungjawab memberi imej Islam kepada Umno. Kedua-dua mereka telah menuduh saya secara terbuka bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji, malah menyebabkan ramai pendeposit hilang kelayakan untuk menunaikan haji kerana termakan dengan fitnah saya itu.

Selagi saya tidak mendapat surat saman daripada mereka untuk berjumpa di mahkamah agar perkara ini diselesaikan di mahkamah, saya akan terus mendedahkan satu persatu kerugian yang ditanggung oleh pendeposit akibat pelaburan-pelaburan Tabung Haji.

Pada 29 Disember 2016, secara senyap-senyap Tabung Haji telah melupuskan sebanyak 10.3 juta saham dalam sebuah syarikat minyak bernama Perisai Petroleum Teknologi Berhad (“PERISAI”). Sehari sebelum itu pada 28 Disember 2016, Tabung Haji telah pun menjual 8.8 juta sahamnya di dalam PERISAI.

PERISAI adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan menyewakan sistem carigali minyak (“rigs”) kepada syarikat-syarikat minyak yang terlibat di dalam aktiviti carigali minyak.
Penjualan pada 29 Disember 2016 itu penting kerana akibat dari penjualan tersebut, jumlah saham yang dipegang Tabung Haji jatuh ke bawah paras 5% lalu menjadikan pegangan Tabung Haji sebagai pegangan kecil di dalam PERISAI. Pelaburan yang tidak dikategorikan sebagai pelaburan penting (seperti ini) tidak perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur jika ada sebarang urusan jual beli.

Tabung Haji mula menjual saham-saham PERISAI secara bertubi-tubi akibat pelbagai masalah kewangan yang berlaku di PERISAI yang menyebabkan nilai pelaburan Tabung Haji susut dan mengalami kerugian besar.

Semakan berita-berita perniagaan memberikan kedudukan kewangan berikut mengenai PERISAI:

i. Pada 4 Oktober 2016, pemegang kertas hutang PERISAI (“bondholders”) menolak permohonan PERISAI untuk menangguhkan pembayaran hutang sebanyak RM377 juta

ii. Akibatnya, pada 13 Oktober 2016, PERISAI mengisytiharkan kedudukan kewangannya telah mencapai status PN17 (bagi kategori syarikat-syarikat yang disenaraikan tetapi tidak tidak mampu melangsaikan tanggungan hutang atau berhadapan masalah kewangan lain)

iii. Saham PERISAI terus jatuh menjunam pada sekitar harga 8 sen sahaja sesaham
Sudah tentu, Tabung Haji yang merupakan salah satu dari pemegang saham terbesar PERISAI sebelum itu mula menjual sahamnya secara agresif seperti yang saya tunjukkan di atas. Tabung Haji mula mengumpul saham-saham ini secara agresif di antara Oktober 2014 ke Disember 2014 sehingga menjadi salah satu pemegang saham terbesar di dalam PERISAI.

Mengikut anggaran The Edge yang disiarkan pada 25 Oktober 2016 (sebaik sahaja PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17), saham-saham PERISAI dikumpul oleh Tabung Haji pada nilaian purata 83 sen sesaham. Pada kemuncak pembelian Tabung Haji, jumlah terkumpul saham-saham PERISAI yang dipegang Tabung Haji adalah 79.88 juta saham yang melibatkan penggunaan wang pendeposit Tabung Haji sebanyak RM66.3 juta.

Sebenarnya Tabung Haji telah membeli saham-saham ini (sekitar Oktober ke Disember 2014) pada kala harga sahamnya telah jatuh menjunam dan telah ada tanda-tanda sektor minyak dan gas mengalami kemelesetan yang teruk (rujuk carta harga saham di bawah):
Sejak awal tahun 2015, harga saham PERISAI terus menjunam. Ini dijangka kerana kemelesetan yang berlaku di dalam sektor minyak dan gas.

Malangnya, pengurusan pelaburan di Tabung Haji terus memegang saham-saham ini dan hanya ada 2 penjualan di antara tarikh saham-saham ini dibeli secara agresif (Oktober ke Disember 2014) dan tarikh PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17, seperti berikut:

i. 7 Oktober 2015, Tabung Haji menjual sebanyak 600,000 saham pada harga sekitar 25 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 58 sen sesaham atau RM348,000

ii. 4 Oktober 2016, Tabung Haji menjual sebanyak 1.75 juta saham pada harga sekitar 8.5 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 74.5 sen sesaham atau RM1.3 juta
Saham-saham yang dlupuskan diantara 28 dan 29 Disember 2016 sebanyak 19.1 juta dianggarkan diniagakan sekitar 5 sen sesaham, menyebabkan kerugian 78 sen sesaham atau RM15 juta.

Baki saham-saham PERISAI yang masih dipegang Tabung Haji selepas 1 Januari 2016 yang dianggarkan sebanyak 60 juta saham mungkin telah dilupuskan secara diam-diam tanpa perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur. Pada anggaran harga 5 sen sesaham iaitu kerugian 78 sen sesaham, kerugian yang tidak dilaporkan akibat dari baki saham-saham yang telah ditanggung oleh Tabung Haji adalah RM47 juta.

Maka, jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh pendeposit Tabung Haji atas pelaburan ini sahaja dianggarkan (berdasarkan harga saham semasa) mencecah RM64 juta (dari pelaburan asal sebanyak RM66.3 juta).

Wang RM64 juta ini adalah milik pendeposit yang sewajarnya digunakan untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji atau pun dikembalikan kepada pendeposit dalam bentuk dividen yang lebih tinggi.

Kenapa pengurusan kanan Tabung Haji tidak mengambil langkah lebih berhati-hati dengan melupuskan saham-saham PERISAI lebih awal kerana ketika Tabung Haji mula membeli saham-saham itu, harganya memang pun telah jatuh merudum kerana kemelesetan sektor minyak dan gas yang telah berlaku?

Apa tindakan yang telah diambil terhadap pegawai-pegawai kanan dan Ahli Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab ke atas kerugian ini? Apa tindakan yang telah diambil terhadap Dato' Seri Jamil Khir Baharom sendiri yang diberi amanah untuk mengawalselia perjalanan Tabung Haji?
Rakyat hilang keyakinan dengan Tabung Haji akibat pengurusan pelaburan yang menyebablan kerugian beribu juta wang pendeposit, bukannya kerana saya mereka-reka cerita. Esok saya akan tunjukkan lagi pelaburan-pelaburan lain yang merugikan Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

PAS, Umno ‘menderita’ dalam pertandingan 3 penjuru di Kedah, kata PKR


GEORGE TOWN: PKR Kedah tidak melihat masalah sekiranya belaku pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya, Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail mendakwa Pakatan Harapan mempunyai kelebihan dan “PAS dan Umno yang akan menderita”, katanya kepada FMT.
Ini kerana, kata Azman, Umno Kedah berdepan masalah dalaman sejak Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) ditubuhkan, sementara PAS Kedah tidak lagi sekuat dulu.
Azman berkata ramalannya berdasarkan keputusan simulasi dan kajian senario berbeza pilihan raya dan sentimen pengundi di Kedah.
Penganalisis politik berkata, lebih separuh daripada 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen boleh menyaksikan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.
Barisan Nasional (BN) Kedah baru-baru ini berkata ia tidak bimbang dengan PPBM dan akan menang di negeri itu dengan majoriti 2/3.
Umno kini memegang 18 kerusi negeri, dan MCA 2. PAS mempunyai 8, PKR 4, DAP 2, manakala PPBM dan Amanah masing-masing 1.
“Daripada kaji selidik kami, tidak mungkin ada kerusi selamat untuk PAS lagi, walaupun ia mungkin mempunyai kubu kuat di Tokai dan Sungai Limau.
“Politik PAS dan politik Umno masih berdasarkan agama dan bangsa. Mereka bersaing dalam kumpulan pengundi yang sama,” kata Azman.
Beliau berkata PAS sama ada harus sedar dan melihat risiko bertanding sendirian atau ia boleh terus berjuang seperti tidak tahu apa-apa.
“Terpulang kepada Hadi untuk membuat keputusan,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Dalam 2 bulan atau lebih, PPBM akan menjadi lebih kuat dan pertandingan 3 penjuru ini akan berpihak kepada Pakatan dan PPBM.”
Beliau berkata BN mungkin berharap PAS akan memecahkan undi pembangkang seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lepas.
Bagaimanapun, Azman berkata ia harapan palsu, dan menambah BN perlu mengambil kira populariti PPBM dan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Terdapat kemarahan orang Melayu semasa pilihan raya kecil, tetapi ia tidak terlalu jelas. Suara Dr Mahathir tidak begitu lantang ketika itu dan belum ada PPBM lagi.”
Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew bersetuju pertandingan 3 penjuru boleh menguntungkan pakatan pembangkang.
Adun Derga itu berkata Pakatan ditolak sebelum ini apabila mula berganding dengan PPBM.
“Kini kami boleh pergi ke mana-mana sahaja kubu kuat Umno,” katanya.
“Pertandingan 3 penjuru akan menguntungkan kami, dan itu penyebab Umno merasa terancam.
“BN bimbang. Jika tidak, ia tidak akan memberi tumpuan begitu banyak untuk menyerang Dr Mahathir dan DAP, sebaliknya menumpukan ekonomi dan pembangunan.”
Penyelaras PPBM negeri, Anuar Abdul Hamid berkata parti itu diterima baik rakyat Kedah semua peringkat umur kerana menghormati Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas menteri besar.
Anuar mendakwa PPBM paling berjaya di Kedah dalam kempen menambah keahliannya.
Menurutnya, sentimen pengundi terjejas disebabkan pergolakan politik di Kedah yang mengakibatkan penyingkiran Mukhriz.
“Ramai yang kecewa. Terdapat penyokong Umno dan Perkasa mengalih sokongan terhadap Pakatan.”
Pengarah Pilihan Raya Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata rakyat Kedah, seperti kebanyakan rakyat Malaysia, terjejas akibat kos sara hidup yang meningkat dan kejatuhan nilai ringgit.
“Ramai rakyat Kedah pergi ke Thailand untuk membeli-belah,” katanya.
“Mereka terkesan akibat kesan penurunan ringgit. Banyak sayur-sayuran dari Thailand yang mahal.”
Azman dan Phahrolrazi berkata parti Pakatan Harapan mengenal pasti kerusi yang mereka mahu tetapi perbincangan dengan PPBM masih berjalan.
“Kami masih dalam perbincangan; jadi kami tidak boleh memberi butiran mengenai pengagihan kerusi,” katanya, sambil menambah Pakatan Harapan mengandaikan PAS tidak akan bekerjasama dengannya.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi memberitahu FMT, parti itu tidak mempunyai hubungan politik dengan Umno dan tidak akan bekerjasama dengan BN.
“Umno adalah saingan PAS dalam pilihan raya,” katanya.
“Kami tidak mempunyai hubungan dengan Pakatan, kecuali jika PKR Kedah masih mahu mempunyai hubungan politik dengan PAS Kedah.”
Beliau berkata PAS tidak menolak kerjasama dengan PPBM di bawah gabungan Gagasan Sejahtera yang dianggotai sebuah parti kecil dipimpin bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.
Beliau berkata, pihaknya mengakui Dr Mahathir mempunyai “aura sendiri dalam politik Kedah” dan PAS perlu menanganinya “dengan bijaksana”.
“PAS mempunyai pengalaman pergi ke pilihan raya secara sendirian dan dalam blok. Kami bersedia dan mampu menghadapi BN atau Pakatan. Jentera kami di semua peringkat sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.”
Beliau berkata PAS Kedah merancang bertanding di 24 negeri dan 8 kawasan Parlimen, sambil menambah ianya tertakluk kepada persetujuan kepimpinan bahagian pusat.