Tuesday, October 10, 2017

Kerjasama Umno-Pas Dilihat Beri Manfaat



(Bernama) – Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berpendapat kerjasama antara Pas dan Umno dilihat semakin cerah dan akan memberi manfaat kepada Malaysia sejajar dengan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.

 Menurutnya Pas dan Umno tidak perlu bergabung tetapi mengadakan kerjasama demi kestabilan politik dengan mengetepikan perbezaan masing-masing.

 “Saya optimis kerjasama tersebut dapat menyatupadukan orang Melayu dan rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang aman damai. Saya masih berpegang kepada kaedah kerjasama itu untuk berbincang dan merancang masa depan politik dan melihat sesuatu demi kepentingan negara,” katanya.

 Nasharudin yang merupakan Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta yang ingin tahu tahap wasatiyyah diamalkan Pas – Umno selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Gerakan Kesederhanaan Global: Membina Jambatan dan Menghapuskan Halangan Menerusi Kesederhanaan’ di Wisma Putra di sini, hari ini.

 Katanya, perkembangan hari ini menyaksikan Pas yang dipimpin oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awan memiliki nada yang berbeza dalam isu kerjasama Pas – Umno berbanding kepimpinan sebelumnya, yang sudi membuka jalan perbincangan kepada BN.

 “Pas tidak perlu sertai Umno dan sebaliknya. Tetapi apa yang penting kedua-dua parti perlu bekerjasama mencari formula terbaik demi kebaikan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Jamal sedia disaman guna wajah mirip Azmin di kotak aiskrim




Nizam Zain



Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos menaiki motosikal berkuasa tinggi membawa kotak aiskrim menggunakan wajah mirip menteri besar sempena Jelajah Dapat Aiskrim Percuma (DAP) sebagai simbolik bantahan pesta arak di perkarangan pusat membeli belah Ampang Point, Selangor.



AMPANG – Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos bersedia dikenakan tindakan kerana menggunakan gambar wajah mirip Datuk Mohamed Azmin Ali pada kotak aiskrim dalam kempennya.

Beliau berkata, penggunaan gambar tersebut sebagai simbolik menunjukkan sikap sebenar Menteri Besar Selangor itu dalam isu penganjuran secara terbuka pesta arak di Selangor.

“Rakan-rakan lain nak minum arak kami tiada halangan. Saya bersedia untuk menerima sebarang tindakan di atas apa yang saya lakukan. Saya tidak baling batu sembunyi tangan, ini adalah prinsip saya.

“Saya mengalu-alukan Azmin saman saya dan ambil tindakan ke atas saya supaya kita boleh dedahkan gambar tersebut adakah ia gambar beliau,” katanya kepada pemberita dalam siri Jelajah Dapat Aiskrim Percuma atau singkatannya DAP yang bermula di kompleks beli-belah Ampang Point, di sini, hari ini.



Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) memberi aiskrim kepada orang ramai sempena Jelajah Dapat Aiskrim Percuma (DAP) sebagai simbolik bantahan pesta arak di perkarangan pusat membeli belah Ampang Point, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu melakukan gimik membawa kotak aiskrim di atas motorsikal berkuasa tinggi beliau di luar pekarangan kompleks beli-belah Ampang Point, di sini.

Jamal yang memakai jaket kulit serba hitam kemudiannya mengedarkan aiskrim percuma kepada pengunjung yang berada di pusat beli-belah berkenaan hampir 10 minit tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.

Walaupun beliau dinasihatkan untuk membatalkan siri jelajah DAP itu dan pergerakannya diperhatikan pihak berkuasa, namun Jamal tetap meneruskan hasratnya mengedarkan aiskrim percuma.

“Saya lihat beratus-ratus orang penguatkuasa menunggu saya, saya tidak membuat perkara yang menyalahi undang-undang. Saya juga dinasihatkan membatalkan program hari ini.

“Bagi saya, adakah yang saya buat ini mencerminkan satu perkara yang tidak baik atau menyalahi undang-undang?” soalnya.

Beliau juga mengulangi pendiriannya siri Jelajah DAP itu tidak akan dihentikan sehinggalah Azmin membuat pendirian jelas dengan membatal dan tidak mempromosikan lagi pesta memabukkan itu.

“Tujuan kami adalah untuk mendesak menteri besar menghenti, mengharamkan atau tidak mempromosikan pesta arak ini. Kempen ini kami akan buat setiap hari dalam Selangor.

“Ia berterusan sehingga kami mendengar Azmin Ali dengan jelas pendiriannya tidak membenarkan pesta arak yang membawa kepada kemudaratan dalam kalangan anak-anak muda dalam negara kita ini.

“Jadi kami akan menghentikan pesta arak dengan mempromosikan kempen aiskrim ini,” katanya.

Katanya, selepas ini beliau akan membuat kempen DAP itu di Gombak yang juga kawasan menteri besar sendiri.

“Lepas di Ampang Point ini, saya mungkin akan turun ke Gombak dan membawa tong-tong aiskrim ini ke kedai-kedai mamak dan sebagainya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Guan Eng dakwa arahan ROS mahu menyusahkan DAP



MALAYSIA GAZETTE


Lim Guan Eng mendakwa arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu juga hanya akan menjejaskan persediaan parti berkenaan yang kini rancak membuat persiapan serta persediaan bagi berdepan PRU-14.



PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa arahan supaya parti itu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sengaja bertujuan menyusahkan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut beliau, arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itu juga hanya akan menjejaskan persediaan parti berkenaan yang kini rancak membuat persiapan serta persediaan bagi berdepan PRU-14.

Begitupun, kata beliau, DAP akan tetap mematuhi arahan ROS itu bagi membuktikan parti berkenaan tidak takut untuk berdepan pemilihan semula CEC.

“Dalam keadaan sekarang, kita berasakan arahan supaya mengadakan pemilihan semula ini bukan secara kebetulan, tetapi sengaja untuk menyusahkan dalam keadaan kita sedang rancak membuat persiapan dan persediaan menghadapi PRU-14.

“Namun kita bersedia mengadakan pemilihan semula parti itu berdasarkan senarai nama perwakilan 2012,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam sidang akhbar semalam, Guan Eng mengumumkan parti itu akan mematuhi arahan ROS supaya mengadakan semula pemilihan CEC yang akan dibuat pada 12 November ini di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor.

Pemilihan itu perlu diadakan semula selepas ROS tidak mengiktiraf pemilihan CEC yang dibuat DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, pihaknya memutuskan pemilihan semula CEC perlu diadakan bagi mengelak DAP diharamkan dan dibatalkan pendaftaran yang boleh menyebabkan parti tersebut tidak dapat bertanding pada PRU-14.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua perwakilan DAP seperti senarai pada 2012 dapat menghadiri pemilihan semula berkenaan sekali gus memastikan parti berkenaan kekal bertanding. – MalaysiaGazette

SAYANGI MALAYSIA HAPUS KLEPTOKRASI


Sayangi Malaysia, 14 Oktober, pagi sertai Hari Sukan Negara,petang kita beri sokongan kepada himpunan rakyat untuk bantah rasuah dan salahguna kuasa dan salah urus negara.




PRU-14: Kelantan milik UMNO jika berlaku tiga penjuru



Muhammad Azizul Osman
Setiausaha Agung UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat bercakap semasa temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Kota Bharu, Kelantan. foto FAREEZ FADZIL


KOTA BHARU – Perebutan kerusi antara Pas dan Parti Amanah Negara (PAN) di Kelantan dilihat memberi peluang kepada UMNO negeri itu untuk meraih kedudukan selesa pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, UMNO Kelantan hanya memerlukan peningkatan undi sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi memastikan peluang merebut pentadbiran kerajaan negeri menjadi kenyataan.

“Saya yakin 28 kerusi dalam genggaman BN disebabkan perpecahan Pas dan PAN.

“Kalau satu lawan satu, BN akan kerja lebih keras untuk dapatkan undi daripada golongan muda khususnya,” katanya dalam satu temubual khas bersama Malaysia Gazette hari ini.


Untuk itu, UMNO Kelantan akan lebih mendekati golongan muda di negeri itu yang mewakili 35 hingga 44 peratus pengundi di Kelantan.

“Untuk memenangi Kelantan, kita kena beri fahaman kepada orang muda. Yang totok kepada Pas, akan berubah sedikit kepada BN,” jelas Hanafi lagi.

Ditanya mengenai desas desus DAP akan meletakan calon di DUN Kota Lama, Hanafi berkata sekiranya dakwaan itu benar, maka UMNO Kelantan tidak boleh menganggap DAP suatu isu kecil.

Katanya, UMNO harus berusaha keras bagi memastikan impian untuk DAP bertapak di Kelantan tidak direalisasikan.

“Kalau DAP menang di DUN Kota Lama, memang UMNO tidak akan faham bagaimana ini boleh terjadi. Sekarang beri undi kepada Pas pun kita tidak faham.

Bagaimanapun katanya, laluan untuk DAP bertapak di Kelantan akan menjadi mudah sekiranya masyarakat Melayu di kawasan itu masih memberikan undi mereka kepada pembangkang dan Pas.

“Tidak ada masalah kalau DAP nak bertanding di DUN Kota Lama, sebab masyarakat Cina sudah tentu undi DAP. Tapi untuk DAP menang DUN Kota Lama tidak akan menjadi mudah.

“Orang Melayu memang tidak akan undi DAP, cuma masyarakat Cina sahaja akan undi kerana Pas sudah tidak bersama Pakatan Harapan. Saya rasa kalau orang Melayu undi DAP tidak sampai 5 peratus,” katanya lagi.

Pada PRU-13 lalu, UMNO Kelantan hanya menguasai 12 kerusi DUN manakala Pas 31 kerusi sementara PAN satu kerusi di Salor, dan PKR juga satu kerusi di DUN Guchil. -MalaysiaGazette.

Aduan SPRM terhadap Najib beri RM5 juta kepada Yayasan Prihatin SPRM – Khairuddin Hassan


Saya sedang berada di Kompleks Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12 tengahari untuk buat satu laporan ke atas Najib Tun Razak yang cuba menyogok ‘Yayasan Prihatin SPRM’ berhubung peruntukan segera RM5 juta.

Kenyataan Najib Tun Razak ini telah dibuat pada 1 oktober 2017 ketika beliau merasmikan majlis ulang tahun BPR/SPRM ke-50 tahun serta perasmian kompleks ibu pejabat baru SPRM di Putrajaya.

SPRM adalah sebuah badan yang bebas di dalam memikul tanggungjawab memerangi rasuah di negara kita tidak boleh menerima ‘monetary reward’ dari mana-mana sumber kerana SPRM adalah sebuah badan yang sepatutnya bebas sama sekali dari amalan ini.

SPRM harus menolak tawaran peruntukan ini untuk menunjukkan mutu integriti yang tinggi pada kacamata keseluruhan rakyat Malaysia.

Badan SPRM harus benar-benar bersih dari menerima sebarang bentuk sumbangan kewangan samada dari pihak kerajaan ataupun orang awam.

Namun, ianya tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dana tambahan yang diterima dari pihak kerajaan itu adalah melalui peruntukan yang termaktub dalam ‘budget’ tahun 2018.

Tindakan Najib Tun Razak ini akan meninggalkan pelbagai persepsi negatif di kalangan keseluruhan rakyat malaysia khususnya bila yayasan prihatin SPRM menerima tawaran peruntukan segera itu!

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
3 September 2017

Melangkah ke himpunan ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ – Tarmizi Mohd Jam


KENYATAAN MEDIA

Perhimpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” pada 14 Oktober 2017 tidak lama lagi akan menjadi lebih mendesak dan perlu untuk rakyat tahu betapa pentingnya menukar Kerajaan BN yang ada kepada Pakatan Harapan dalam PRU14.

2. Dengan pendedahan terbaharu oleh Bank Negara (BNM) yang telah mendenda syarikat pelaburan milik Kementerian Kewangan, maka makin terserlah bahawa telah berlaku penyelewengan besar-besaran dalam 1MDB yang cuba dinafikan dengan pelbagai kenyataan putar belit memperdaya rakyat.

3. Pakatan Harapan telah mendedahkan sepucuk surat daripada BNM yang menyatakan 1MDB telah didenda sejumlah RM115.8 juta kerana tidak mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Ini bermakna banyak undang-undang telah dicabuli oleh syarikat kontroversi ini.

4. Oleh itu, Himpunan “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” anjuran Pakatan Harapan pada 14 Oktober ini cukup penting untuk parti-parti gabungan memberikan penerangan yang jelas dan menuntut supaya rakyat di negara ini melakukan perubahan nekad pada pilihan raya tidak lama lagi.

5. Terang sekali pencabulan undang-undang ini dibuat mengikut arahan “seseorang” kerana 1MDB bukan sejenis makhluk yang boleh bertindak sendiri. Dan akhirnya dunia mengecam Malaysia sebagai sebuah negara kleptokrasi.

6. Himpunan yang mensasarkan 100,000 peserta ini akan diadakan di Padang Timur MBPJ, Petaling Jaya, Selangor bermula jam 4.00 petang. Seluruh pemimpin Pakatan Harapan akan bersama-sama menjayakan himpunan aman ini.

7. Orang ramai, ahli-ahli parti dan penyokong Pakatan Harapan khususnya di Wilayah Persekutuan dinasihatkan mematuhi segala arahan pihak penganjur dan sentiasa menjaga tatatertib sepanjang berlangsungnya perhimpunan bagi mengelakan parkara-perkara yang tidak diingini.

Amanah. Progresif. Peduli.

TARMIZI MOHD JAM
Timbalan Pengerusi & Pengarah Komunikasi
AMANAH Wilayah Persekutuan
3 Oktober 2017

Pemuda AMANAH Kedah dakwa kerajaan negeri berbohong kepada rakyat untuk pertahan kuasa


October 10, 2017

ALOR SETAR: Ketakutan yang teramat sangat oleh kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah memaksa mereka untuk melakukan pelbagai provokasi bagi mengaburi mata rakyat.

Hasutan demi hasutan begitu giat dilakukan oleh mereka dalam situasi yang amat terdesak.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Kedah, Abdullah Suady Ramadhan Mohd Nasir, masa yang sedia ada telah digunakan semaksima mungkin oleh ‘cybertrooper’ Umno.

Lebih mengecewakan katanya, pimpinan tertinggi Exco Kerajaan Negeri Kedah turut menjadikan platform kerajaan atau agensi sebagai pentas untuk menipu daya rakyat.

Malah katanya yang terbaru di Langkawi, apabila Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya Negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mendakwa Pakatan Harapan (PH) bakal memansuhkan bantuan kepada rakyat sekiranya memerintah kelak.

“Dakwaan ini merupakan muslihat dan tipu daya kerajaan negeri untuk mempertahankan kuasa mereka yang semakin singkat.

“Lebih malang apabila ia dihasut oleh Exco Agama Negeri di hadapan peserta Amanah Ikhtiar yang terdiri daripada golongan usahawan wanita.

“Seharusnya beliau sedar bahawa PH tidaklah senaif yang didakwa,”jelasnya lagi.

Abdullah yang juga merupakan Ketua Pemuda Amanah Sungai Petani turut berkata, dalam ceramah mahupun forum serta diskusi jawatankuasa tawaran peringkat negeri Kedah, PH amat rasional dan realistik dalam membela hak serta membantu rakyat.

Katanya lagi, semua ini jelas dan berada dalam pengetahuan umum termasuklah anak muda yang lebih mahir di alam sesawang dan maya.

“Tidak pernah ada satu pun kenyataan dari PH sebelum ini akan memansuhkan apa jua bantuan modal kepada usahawan sepertimana tipu daya Umno dan BN tersebut.

“PH akan bersungguh-sungguh bagi mengembalikan hak termasuklah subsidi yang telah dimansuhkan oleh Kerajaan Pusat pimpinan Najib.

“Selain itu, anak muda amat yakin dan percaya akan segala usaha yang dirangka oleh PH bagi memansuhkan cukai yang membebankan rakyat seperti GST, ” tegasnya.

Beliau juga berkata, pemansuhan cukai ini tidak mampu dilakukan oleh Umno dan BN, sebaliknya ia akan dinaikkan lagi sekiranya mereka berjaya menang dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya lagi, negara ini mampu dipulihkan dengan kaedah penjimatan yang rasional seperti direncanakan oleh PH.

“Mengekang rasuah dan tabiat pemberian projek kepada kroni serta budaya ‘makan atas angin’ dapat menjimatkan jutaan wang rakyat.

“Tatkala itu, bukan sahaja bantuan modal dapat diteruskan, malah skim-skim pembangunan fasa kedua usahawan dan biasiswa kepada pelajar dapat dicambahkan demi memajukan kehidupan warga intelek.

“Rakyat akan menikmati bantuan ‘one-off’ melalui pelbagai program sepertimana yang sedang dipraktikkan di Selangor dan Pulau Pinang, ” tambahnya lagi.

Rentetan itu katanya, anak muda mesti berani untuk membuat perubahan dan bangkit untuk menolak pimpinan Umno dan BN yang dapat diumpamakan bagai kerusi-kerusi usang yang semakin mereput dan dimakan anai-anai.

Tegasnya lagi, keberanian yang bakal dibuat oleh rakyat khususnya di negeri Kedah menjelang pilihan raya yang akan datang mampu membawa perubahan yang besar kepada nasib rakyat negeri ini yang tidak dibela dan dipedulikan kerajaan Umno dan BN secara serius.

Surat sokongan itu dari saya sebagai Ahli Parlimen – Dr. Hilmi


Manzaidi Mohd Amin
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Hilmi Yahaya bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian 4th HKL Burn Seminar 2017 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR
 

SHAH ALAM – Sebagai wakil rakyat, adalah perkara biasa jika didatangi atau diminta oleh rakyat dalam kawasannya untuk mendapatkan surat sokongan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes seorang individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu secara haram, surat sokongannya itu terhenti di peringkat Pengarah Pergigian apabila dimaklumkan individu itu telah dihadapkan ke mahkamah.

“Saya ada dua jawatan sekarang iaitu Ahli Parlimen Balik Pulau dan Timbalan Menteri Kesihatan. Sebagai Ahli Parlimen, bila ada orang datang minta tolong, saya bagilah sokongan… buat surat ringkas dan sebagainya.

“Simple (mudah) saja… kes ini tak ada isu pun..memang saya ada buat surat (sokongan) dan memanjangkan permohonan itu kepada Pengarah Pergigian.

“(Tapi) Pengarah itu beritahu saya, kes ini telah pun sampai ke mahkamah. Jadi, berhenti di situ. Nak bantu apa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 4th HKL Burn Seminar 2017 di Hall 2, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada seorang gadis, Nur Farahanis Ezatty Adli yang didapati bersalah oleh mahkamah di Melaka kerana menjalankan perniagaan pergigian tanpa kebenaran yang sah.

Sebelum ini, Nur Farahanis melalui laman sosialnya ada menyebut nama Dr Hilmi dan beberapa individu lain sedang membantunya dalam kes tersebut.

Semalam, Dr. Hilmi menafikan kementerian itu memberi sokongan dan bantuan kepada seorang individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu secara haram, seperti didakwa individu itu, baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya dan mana-mana anggota pentadbiran dalam kementerian berkenaan tidak pernah menyokong atau berkompromi dengan individu yang jelas melanggar peraturan negara, malah memberi kesan buruk kepada pelanggan.

Dr. Hilmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau berkata, soal orang lain bayar denda kepada individu berkenaan, itu cerita lain.

“Orang lain bayar denda itu lain cerita,” katanya. – MalaysiaGazette