Tuesday, October 10, 2017

Surat sokongan itu dari saya sebagai Ahli Parlimen – Dr. Hilmi


Manzaidi Mohd Amin
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Hilmi Yahaya bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian 4th HKL Burn Seminar 2017 di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR
 

SHAH ALAM – Sebagai wakil rakyat, adalah perkara biasa jika didatangi atau diminta oleh rakyat dalam kawasannya untuk mendapatkan surat sokongan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes seorang individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu secara haram, surat sokongannya itu terhenti di peringkat Pengarah Pergigian apabila dimaklumkan individu itu telah dihadapkan ke mahkamah.

“Saya ada dua jawatan sekarang iaitu Ahli Parlimen Balik Pulau dan Timbalan Menteri Kesihatan. Sebagai Ahli Parlimen, bila ada orang datang minta tolong, saya bagilah sokongan… buat surat ringkas dan sebagainya.

“Simple (mudah) saja… kes ini tak ada isu pun..memang saya ada buat surat (sokongan) dan memanjangkan permohonan itu kepada Pengarah Pergigian.

“(Tapi) Pengarah itu beritahu saya, kes ini telah pun sampai ke mahkamah. Jadi, berhenti di situ. Nak bantu apa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 4th HKL Burn Seminar 2017 di Hall 2, Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada seorang gadis, Nur Farahanis Ezatty Adli yang didapati bersalah oleh mahkamah di Melaka kerana menjalankan perniagaan pergigian tanpa kebenaran yang sah.

Sebelum ini, Nur Farahanis melalui laman sosialnya ada menyebut nama Dr Hilmi dan beberapa individu lain sedang membantunya dalam kes tersebut.

Semalam, Dr. Hilmi menafikan kementerian itu memberi sokongan dan bantuan kepada seorang individu yang menjalankan perkhidmatan perniagaan pendakap gigi palsu secara haram, seperti didakwa individu itu, baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya dan mana-mana anggota pentadbiran dalam kementerian berkenaan tidak pernah menyokong atau berkompromi dengan individu yang jelas melanggar peraturan negara, malah memberi kesan buruk kepada pelanggan.

Dr. Hilmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau berkata, soal orang lain bayar denda kepada individu berkenaan, itu cerita lain.

“Orang lain bayar denda itu lain cerita,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment