Tuesday, December 25, 2018

SIAP BERKANDA BERDINDA, NAK MENGGATAL KE APA TU?



Barangkali ramai yang sudah membaca surat terbuka Dr. Mujahid Yusof Rawa kepada Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru-baru ini meletakkan jawatan Naib Presiden PKR serta menolak perlantikan sebagai Pengerusi Pimpinan PKR Pulau Pinang.

Tidak dinafikan, rasanya ramai yang rasa meloya dan mencebikkan bibir membaca tulisan Dr. Mujahid itu, terutama kerana beliau kini adalah seorang menteri yang menjaga hal ehwal agama.

Kepada sesiapa yang masih belum membacanya, silalah buka Facebook Dr. Mujahid untuk menelitinya.

Siap berkanda berdinda dan menceritakan keadaannya yang sedang dalam perjalanan di bumi Sepanyol, ternampak macam mengalahkan anak muda yang tengah asyk mahsyuk bercinta, demikian kata beberapa rakan yang membaca surat itu.

Di media sosial, jangan ceritalah betapa ramai yang mengejek dan mentertawakan surat Dr. Mujahid itu.

Adakah Dr. Mujahid berkanda berdinda juga dengan isterinya sendiri atau dengan semua wanita muda lain yang dikenalinya?

Ataukah hanya dengan Nurul Izzah saja beliau berkanda berdinda itu?

Benarkah Dr. Mujahid tidak boleh tidur malam kerana keputusan Nurul Izzah tempoh hari?

Tetap, kenapa sampai demikian jadinya?

Mengapa beliau ternampak lebih emosi dengan keputusan Nurul Izzah meletakkan jawatan itu berbanding Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail sendiri?

Mengapa? Mengapa? Mengapa?

Sebenarnya tidaklah salah bagi Dr. Mujahid menulis surat kepada anak sulung Anwar yang pernah digelar Puteri Reformasi itu, tetapi beliau mesti sedar kedudukan dirinya sebagai menteri sekarang ini.

Kalau pun mahu memberikan nasihat dan mencurahkan simpati, apalagi dalam bentuk surat terbuka, sesuaikanlah dengan kedudukan dan jawatan yang disandangnya itu, tambahan lagi yang ditujukannya ialah Nurul Izzah, seorang wanita yang masih muda, cantik dan kini hidup seorang diri.

Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli pun ada menunjukkan simpati dengan keputusan Nurul Izzah itu, tetapi kedua-dua pemimpin muda UMNO dan PKR itu nampak jauh lebih matang dalam tindakan mereka.

Nasihat menasihati dan mengambil berat sesama rakan dalam politik atau dalam apa bidang sekali pun, meskipun baik dan digalakkan, tetapi mestilah dilakukan dengan cara yang sesuai, sederhana dan tidak berlebih-lebihan.

Yang penting, nasihat yang diberikan itu mampu memberi ketenangan dan meredakan jiwa seseorang yang resah, bukan dalam bentuk yang boleh menimbulkan tafsiran lain.

Lebih-lebih lagi jika yang menulis surat itu seorang lelaki  tua dan ditujukan kepada wanita muda serta siap dengan berkanda berdinda, tanggapan umum ialah, “ nak menggatal ke apa tu?" (ShahbudinHusin 26/12/2018)

Ucapan Krismas harus ikut garis panduan, kata Mufti Wilayah Persekutuan





MALAYSIADATE December 24, 2018 6:59 pm




Hukum kepada orang Islam mengucapkan selamat hari Krismas atau Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat kepada penganut Kristian sempena sambutan Krismas, adalah harus dengan mengikut garis panduan tertentu.

Antara garis panduan umum tersebut ialah sesuatu ucapan itu diberikan apabila wujud keperluan bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat selain tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007.


“Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar (terkenal) sebagaimana dilampirkan, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Kenyataan itu turut disertakan dengan pelbagai sebab dan alasan yang digunakan oleh beberapa tokoh Islam untuk mengharamkan dan mengharuskan sesuatu ucapan dibuat.

Garis panduan umum lain ialah penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar.

Selain itu, dilihat tiada keperluan dan tidak boleh dilakukan untuk memakai pakaian yang lazim dipakai semasa sambutan tersebut.


Garis Panduan Umum yang perlu difahami:

1.Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

2.Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.

3.Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang

4.Musyrik pakaian dan selainnya.” Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38. Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim di sini [http://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2653-al-kafi-838-hukum-menghadiahkan-arak-kepada-non-muslim]. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.

5.Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/ucapan-krismas-harus-ikut-garis-panduan-kata-mufti-wilayah-persekutuan/

Pas sedia terima bekas ahli Umno, kekal tidak bekerjasama






Pas bersedia menerima bekas ahli Umno ke dalam parti itu tetapi tidak untuk bekerjasama dengan Umno kerana dasar dua parti yang berlainan,kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Umno kini mengalami kebocoran bahtera yang tidak seharusnya dihampiri atau memasukinya untuk tidak tenggelam bersama parti yang bertunjangkan Melayu itu.

“Ini (Pas-Umno) masih tidak ada titik pertemuan hingga hari ini. Namun bila kerajaan terdesak, kita boleh kerjasama, sekadar dalam perkara yang baik. Di ambang pilihan raya Pas diajak sertai kerajaan, kita tolak.


“PH juga ajak kita sertai kerajaan, kita tolak kerana kita pernah kerjasama dengan mereka. Kita buat gagasan sendiri dan berjaya menguasai Kelantan, Terengganu dan menjadi parti paling besar di Kedah.

“Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama. Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah.

“Dan Umno ini ada penyakit dan masalah dia. Adapun mengata Umno di Alam Barzakh, maka tidak mudah. Parti Komunis yang diharamkan pun masih ada. Parti Hitler masih ada pengikut. Syaitan pun ada pengikut.

“Tuhan jadikan tak mati syaitan selagi tak berlaku Kiamat. Bukan saya kata dia syaitan, tidak. (Tetapi) Kita nak matikan kefahaman ini tidak mudah, akan ada warisan dia,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama hadirin warga Malaysia pada program “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland, kelmarin, seperti dipetik portal rasmi parti itu.


Tegasnya, Pas bukan fanatik perkauman, sebaliknya Nabi S.A.W telah mengajar dari Hadis “Pemimpin daripada Quraisy” bahawa dalam politik Islam kabilah dominan, mesti memimpin.

“Islam adalah syarat kaum yang mendominasi, ini sangat penting. Kerana pemimpin dipatuhi, mesti didukung oleh kaum yang paling kuat dalam kalangan orang Islam,” terang beliau.

Pas pernah bersama parti tersebut menuntut kemerdekaan dan dalam Kerajaan Campuran 1973 serta Barisan Nasional 1974 dengan bersyarat.



Justeru kata Ahli Parlimen Marang ini lagi, Pas akan mendukung mana-mana gabungan yang mendominasikan orang Islam dalam pemerintahan negara.

Kerana katanya, adalah tidak wajar bagi negara yang terdiri daripada 65 peratus orang Islam, tetapi pemerintahannya didominasi oleh bukan Islam di mana penguasaan seperti itu boleh menyebabkan pertembungan.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/pas-sedia-terima-bekas-ahli-umno-kekal-tidak-bekerjasama/

Dari Cordova ke Madrid… Mujahid sempat tulis surat terbuka untuk Nurul Izzah




MALAYSIADATELINE December 25, 2018 4:21 pm



Keputusan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar melepaskan dua jawatan kanannya sebagai Naib Presiden dan Pengerusi Negeri Pulau Pinang dalam PKR baru-baru ini mengundang rasa gundah gulana Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dr Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Naib Presiden AMANAH berkata, Puteri Reformasi itu yang melalui pelbagai cabaran selama dua dekad itu, adalah simbol kepada gelombang reformasi di era pembangkang sebelum berjaya menumbangkan kerajaan yang sudah enam dekad memerintah Malaysia sehingga tertubuhnya Pakatan Harapan yang kini menerajui Malaysia Baharu.

Justeru Dr Mujahid berpandangan anak sulung kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ini milik generasi baharu yang akan mencorakkan Malaysia Baharu. Mereka perlukan ‘puteri’ mereka terus memimpin langkah awal ke arah apa yang dicitakan oleh pengasas gelombang reformasi itu.


Ikuti luahan rasa Dr Mujahid melalui surat terbukanya kepada Nurul Izzah.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

WARKAH DARI CORDOVA UNTUK NURUL IZZAH

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله وبركاته
Ke hadapan Adinda Nurul Izzah yang dikasihi,

Kekanda kini dalam perjalanan darat 3 jam dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari. Semoga adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku ‘Puteri Reformasi’.


Gelaran itu bukanlah mudah untuk dikalungkan kepada sesiapa walaupun ramai wanita muda era reformasi bangkit bersama, ini adalah kerana adinda ialah lambangnya dan simbol yang sinonim dengan gelombang reformasi. Kekanda amat bangga dengan gelaran itu malah kekanda sering menjadikannya inspirasi kepada anak-anak dan golongan muda lain agar mencontohi susuk tubuh ‘puteri’ ini.

Adinda,
Kekanda pernah menasihati adinda bahawa jalan untuk adinda masih panjang dan jauh dan pastinya adinda akan sampai jua dihujungnya. Kekanda cuba menyelami perasaan anak muda seperta adinda dalam politik kepartian yang penuh dengan persaingan individu dan kekelompokan. Percayalah, kekanda telah melaluinya sehingga kekanda terpaksa membuat tindakan yang sukar lagi berisiko, semuanya gara-gara tabiat politik kepartian. Kekanda tidak mahu adinda tumpas dengan medan politik dalaman yang kadang-kadang tidak berhati perut. Beberapa kali kekanda menangis sendirian antara meneruskan atau pasrah sahaja malah ada ketika mahu sahaja kekanda mengucapkan selamat tinggal kepada politik kepartian. Kekanda pernah dinasihati sifu-sifu parti agar senantiasa fokus dan buktikan nilai diri kita kepada perjuangan parti.

Sehingga kini, di telinga kekanda masih teriang kata-kata penuh hikmah ayahanda kekanda Tuan Haji Yusof Rawa ketika kekanda mengadu padanya tentang persaingan dalam kepimpinan semasa kekanda dalam Pemuda PAS satu ketika dahulu. Ayahanda yang sudah agak uzur ketika itu tersenyum sambil berkata: “anakandaku Mujahid, di mana kamu berada bukan masalah kamu, jika Allah kehendaki kamu akan sampai di kemuncak, sampailah kamu, walaupun ramai tangan manusia yang menyekat kamu, tapi ingat jika belum sampai masanya dan Allah belum menetapkan, walaupun seribu tangan manusia ingin membawamu ke sana kamu tak akan sampai.”

Haji Yusof Rawa terus berpesan dengan penuh kebaikan: “…buktikan dengan kerja kamu, buatlah kebaikan kerana Allah, bersabar dan biarkan yang lain di tanganNya”

Sudilah apa kiranya dikongsikan nasihat ini untuk adinda jua semoga dipanjangkan kebaikan nasihat ayahanda Haji Yusof Rawa yang amat dikasihi oleh ayahanda Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Adindaku Nurul Izzah,
Nama adinda adalah cahaya (Nur) yang penuh dengan kemuliaan (Izzah). Ayahanda adinda tinggi peradabannya malah kekanda yakin setiap nama yang diberikan kepada zuriat yang dikasihi adalah doa agar kekal nama itu sepadan dengan tuannya.

Kita dilahirkan dalam rumah yang tidak terpisah dengan kerjaya ayahanda kita iaitu ahli dan tokoh siyasah (politik). Sememangnya benar kata pepatah orang tua-tua kita : “kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?”


Adinda mewarisi ketokohan siyasah itu sama ada dengan pilihan atau warisan. Memang sukar untuk selalu diperbandingkan kita dengan ayahanda-ayahanda kita oleh manusia yang memerhatikan kita. Kekanda selalu berkias tidak layak perbandingan tersebut dengan berkata, kuku pun tak sama dengan ayahanda kekanda, apatah lagi ketokohannya. Namun kita juga harus berbangga bahawa ayahanda kita mendidik kita sebaiknya untuk kita menabur bakti, berbuat baik tanpa syarat dan mementingkan perjuangan daripada diri sendiri. Kekanda yakin adinda telahpun menghadamnya sejak bergelumang di alam politik.

Adindaku,
Sejak kekanda mengenali adinda, adinda masih remaja dan amatlah kekanda bersedih dan bersimpati betapa remaja seperti adinda terpaksa melalui saat-saat duka menanggung kepedihan fitnah ke atas ayahanda yang dikasihi. Bukan mudah penderitaan tersebut, terpaksa menanggung kata keji manusia yang memfitnah sedangkan kita ada kawan, sekolah dan masa depan yang kita harus tempuhi. Bukan calang-calang manusia yang mampu berhadapan dengannya apatah lagi sebagai anak sulung, adinda terpaksa membebani jua penderitaan adik-adik yang masih kebingungan.

Kekanda ada melihat wajah adinda semasa dalam salah satu siri ceramah di Melaka hujung tahun 90an. Kekanda berada di atas pentas ketika itu, betapa hati kekanda berbisik : “Ya Allah, mengapakah anak ini harus menanggung semua ini? Lihatlah wajahnya masih remaja dan mentah terpaksa berada di atas pentas membela ayahnya yang difitnah dan diaibkan, Ya Allah kukuhkan jiwa anak ini.” Itulah bisikan doa kekanda waktu itu. Alhamdulillah era reformasi hujung 90an membawa kekanda berada di atas pentas politik sehingga kekanda memutuskan untuk bertanding pada PRU 1999.

Alhamdulillah juga kita diketemukan usai PRU 2008 sebagai ahli parlimen hingga kini. Anak ‘remaja mentah’ yang kekanda pernah doakan agar jiwanya cekal kini menjadi rakan seperjuangan kekanda yang kental, sama-sama melalui detik suka dan duka demi harga sebuah perjuangan, demi Malaysia Baru. Kekanda amat menghargai persahabatan kita disimpulkan dengan satu cita-cita dan satu harapan.

Adinda Nurul Izzah,


Kekanda amat yakin kebolehan adinda bukanlah kerana ‘menumpang’ nama besar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pepatah Arab ada mengatakan: “bukanlah anak muda hebat itu yang berbangga tentang kegemilangan ayahnya tetapi anak muda hebat ialah yang berkata aku adalah aku”. Kekanda akan berkata, “adinda adalah adinda dari sudut kehebatan dan kemampuan”.

Manusia akan terus berkata, janganlah adinda menjangkakan manusia akan diam dengan kebolehan kita dan kemampuan kita. Sehebat manapun seseorang, dia akan lebih hebat jika manusia terus mempertikaikannya maka terserlah lagi kehebatannya. Para ulama dan ilmuwan yang namanya terukir dibibir orang yang membaca pandangannya tidak dihargai pandangannya begitu sahaja, mereka dikritik malah dicerca dan dicaci sebagai ‘sesat’ dan sebagainya. Lihat siapa mereka hari ini, dimana pencacinya berakhir? Pencaci dan pencacai akan hilang ditelan zaman, yang terserlah ialah kehebatan kepada yang dicaci dan dikritik.

Kekanda tidak tahu tentang adinda tetapi kekanda yakin dengan ‘sunnah’ ini selagi ada kekuatan hujah dan kejelasan pemikiran apa yang kita perjuangkan. Biarkan pengkritik lakukan apa yang mereka pakar lakukan, kita lakukan apa yang kita perlu lakukan iaitu membawa gelombang Malaysia Baru! Kekanda perlukan adinda bersama memimpin gelombang besar ini…

Bukan mudah berada dalam parti yang dikatakan kononnya ‘parti anak beranak’. Mereka juga menggunakan istilah yang lebih sofistikated seperti ‘nepotism’. Kekanda tidak pandai guna istilah-istilah ini, apa yang kekanda tahu ialah abaikan semua itu (persetankan, maaf bahasa kasar) kerana adinda bukan apa yang diperkatakan, adinda ada kelayakan tersendiri, amat tidak adil untuk kelayakan ini ‘dimandulkan’ hanya kerana kata-kata sinis seorang, dua. Tiada yang lebih baik dibuat kayu pengukur melainkan dengan istilah al-Quran iaitu ‘al-qawwi’ ‘al-amin’.

Adindaku,
Kekanda pernah bertanya pada sifu-sifu kekanda dalam politik. Anehnya sifu-sifu kekanda bukan semuanya dari mana-mana parti tertentu tetapi sebahagian mereka hanya pemerhati yang mengamati sepanjang pengalaman hidupnya bagaimana potensi digilap dan potensi ‘dimalap’.


Hanya satu pesanan sifu-sifu ini:
“…dalam perjuangan tak boleh ‘merajuk’ dan kecil hati sebab musuh kita akan melihat itu satu kekalahan awal, mereka akan lebih berani ke hadapan hendak menjatuhkan kita”.

Namun satu kata nasihat yang kekanda tak akan lupa dari seorang sifu kekanda yang telah pun meninggalkan dunia fana ini. Sifu dari Pulau Pinang ini memetik dari kata-kata semangat seorang pemimpin besar di Barat: “Jangan salahkan musuh kamu kerana menjatuhkan kamu, salahkan diri kamu sendiri kenapa kamu enggan berdiri semula”.

Kekanda pernah dijemput ke rumah seorang sifu satu ketika di Kelantan. Waktu itu kekanda berumur 30-an dan penuh semangat anak muda. Sifu ini yang sekian lama berdiam diri setelah pernah menjadi manusia yang digelar ‘paling bekeng’ dalam politik Kelantan. Beliau jadi juara ‘gedebe’ setelah menewaskan dalam satu pergaduhan dengan ‘ketua gangsta’ paling digeruni, sejak itu gelaran kepada beliau sebagai tokoh gedebe tidak pernah dipertikai dan disangsikan. Dengan latarbelakang sifu ini, kekanda menjangkakan nasihatnya ‘keras’ dan ‘tegas’ namun kata nasihatnya penuh kesufian dan kelembutan. Katanya: “Mujahid akan muncul jadi pemimpin satu hari nanti, lagi tinggi Mujahid naik, mesti lebih kukuh asas tempat bertapak, jika tidak, pasti akan bergoyang di atas nanti, bina tapak dari sekarang pasti Mujahid akan memerlukannya”. Dua puluh tahun lebih berlalu, kenyataan kata-kata nasihat dari sifu paling ‘gedebe’ ini kanda ingin kongsikan dengan dinda. Sudilah apa kiranya adinda mendengarnya buat bekalan perjalanan panjang kita.

Adinda Nurul Izzah,
Kekanda hanya mahukan kebaikan untuk masa depan politik adinda, maaf kerana warkah ini ditulis cara terbuka tetapi kekanda rasa adinda adalah ‘Puteri Reformasi’ milik generasi baru yang akan mencorakkan Malaysia Baru. Mereka perlukan ‘puteri’ mereka terus memimpin langkah awal ke arah apa yang dicitakan oleh pengasas gelombang reformasi. Para pengkritik juga ingin menguji apakah kekentalan ‘Puteri Reformasi’ masih utuh? Jangan biarkan ujian ini menjadi satu kebenaran dan jangan biarkan mereka yang tidak ada bersama kita sebelumnya menentukan nasib Malaysia Baru, kita perlu tentukannya bersama.

Adinda tidak perlu bimbang banjiran mereka yang mahu berada dalam Pakatan kita, kita punya kerangka besar yang mereka harus berada dalamnya biar apa parti pun yang mereka pilih di kalangan kita. Kita ada Malaysia Baru yang kita perjuangkan bersama, Puteri Reformasi perlu perkukuhkan Malaysia Baru bagi menjawab kebimbangan ini. Janganlah berundur setelah beribu tapak perjalanan kita, jalan kita masih jauh, Malaysia Baru memerlukan adinda.


Adinda Nurul Izzah,
Akhir kalam terimalah salam kekanda dari hati yang merindui Malaysia Baru tanpa kebencian kaum dan agama, Malaysia Baru yang melimpahkan kekayaannya buat golongan mustadafin dan Malaysia Baru yang melahirkan generasi baru yang progresif dan inklusif. Alangkah bahagianya saat Malaysia Baru jadi kenyataan ketika itu.

Kekanda tidak tahu apakah kekanda akan berada di situ nanti tetapi sekurangnya adinda Nurul Izzah mesti teruskan perjalanan ini. Kekanda menghormati keputusan adinda namun kekanda harap adinda membaca warkah ini sehingga habis bukan untuk mengubah pendirian adinda kerana kekanda tahu kekentalan adinda sukar dilenturkan, tetapi untuk menyatakan kepada adinda bahawa perjuangan kita lebih besar dari perasaan dan emosi kita terhadap apa sahaja yang berlaku di hadapan kita. Siapalah kita hanya zarrah kecil membentuk harapan manusia ke arah Malaysia dengan dunia yang lebih baik.

Kenderaan kami menghampiri Toledo, dan kekanda akan berhenti di sini dahulu untuk menikmati keindahan pemandangan dari kawasan tinggi di sini. Adios…

Sekian,

Yang Benar,


Kekanda Mujahid Yusof Rawa
(Perjalanan darat dari Cordova ke Madrid)



Berita penuh https://malaysiadateline.com/dari-cordova-ke-madrid-mujahid-sempat-tulis-surat-terbuka-untuk-nurul-izzah/#at_pco=smlrebh-1.0&at_si=5c22e9d41fa8348f&at_ab=per-2&at_pos=3&at_tot=7

Bersatu Bahagian Merbok gagal kemuka dokumen RoS?





MALAYSIADATELINE December 25, 2018 5:04 pm



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Merbok bakal berdepan tindakan pembubaran sementara berikutan surat Perintah Mengemukakan Maklumat mengikut Sekyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 10 Disember lalu.

Parti itu didakwa gagal mengemukakan maklumat dan dokumen yang diminta RoS dalam tempoh tujuh hari yang diberikan daripada tarikh surat dikeluarkan.

Sumber yang dipetik bharian online hari ini, mendakwa, tindakan ROS terhadap parti itu adalah susulan daripada beberapa laporan berkaitan salah laku Ketua Bahagiannya, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, membabitkan dua insiden di bahagian berkenaan.


“Pada 10 Julai 2017, beliau didakwa bertindak memecat Ketua Srikandi Bahagian, Noorzemi Osman, tanpa mengikut perlembagaan parti.

“Selain itu, pada 27 Julai lalu, lima Ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU Bahagian Merbok dihalang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bahagian.

“Dua kejadian ini jelas menunjukkan beliau melanggar perlembagaan parti, sekali gus menafikan hak AJK berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, aduan sudah dibuat ke peringkat Lembaga Disiplin, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil terhadap Anuar sehingga kini.

Sementara itu, Anuar ketika dihubungi mengesahkan menerima surat daripada ROS, namun menafikan dakwaan terhadap dirinya yang disifatkan sebagai tidak berasas.


“Biasalah kita parti baharu, banyak yang masuk kita tak kenal, ada yang baik ada yang untuk kepentingan peribadi kerana nak kejar jawatan dan macam-macam.

“Setiap laporan berkaitan salah laku disiplin termasuk kejadian yang dikatakan sudah dihantar kepada Lembaga Disiplin, jadi biar mereka putuskan sekiranya benar dikatakan saya bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Kedah, berkata ROS membenarkan tempoh mengemukakan maklumat yang diminta dilanjutkan dan pihaknya akan bertemu jabatan itu pada minggu depan.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/berssatu-bahagian-merbok-gagal-kemuka-dokumen-ros/

Friday, December 14, 2018

Apa empat permintaan Nazri kepada Anwar?


Nazri Anwar
Nazri dan Anwar
 (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa menemui Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi ‘menyelamatkan’ Umno daripada terus berkubur.
Pertemuan itu dikatakan dibuat ketika minggu kedua sidang parlimen yang lalu di mana Mohamed Nazri telah membuat empat permintaan.
Memetik laporan Malaysiakini, Umno kini berdepan krisis besar selepas usaha perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berpihak kepada parti itu.
Dalam mesyuarat dengan Umno Selangor semalam, Mohamed Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata Anwar telah menyatakan persetujuan dengan perkara yang disampaikannya.
Permintaan pertama adalah agar Umno tidak dibubarkan.
"Anwar kata, 'Nazri, saya tak akan bubar Umno. Kita kena sporting dalam politik, macam mana nak lawan kalau seteru dibubarkan? Kita perlu gentleman'," katanya.
Permintaan kedua agar Anwar tidak menganiaya (harass) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri nanti.
"Saya beritahu dia (Anwar), apa sekalipun kesalahan (Najib), dakwalah. Tapi jangan harass dia, jangan aibkan dan menyusahkan...dengan kenakan ikat jamin banyak kali.
"Anwar kata, 'saya sudah lalui perkara ini (dakwaan di mahkamah dan hukuman penjara) dua puluh tahun dan saya tak mahu seteru saya lalui perkara sama, apatah lagi kawan saya. Najib dulu timbalan saya (dalam Pemuda Umno), Zahid dulu 'macai' saya'," dakwa Nazri lagi.
Najib kini berdepan sejumlah dakwaan berkenaan skandal 1MDB dan SRC International, manakala Zahid pula dihadapkan dengan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Permintaan ketiga Nazri adalah agar Anwar mengembalikan semula sistem ketua kampung dan permintaan keempat pula ialah agar ahli parlimen Umno menerima peruntukan yang sama dengan anggota parlimen kerajaan untuk kebaikan rakyat.
Dakwa Mohamed Nazri lagi, sebagai pertukaran untuk empat permintaan itu, ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri dalam masa satu setengah tahun akan datang.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri menegaskan wakil rakyat Umno hanya akan menjadi mesra kerajaan, bukan sebahagian dalam pentadbiran.

Tutuplah...tutup semua, kata Najib


Tutuplah...tutup semua, kata Najib
 (Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membidas keputusan kerajaan mahu menutup beberapa Klinik 1Malaysia, mendakwa klinik berkenaan berdepan dengan masalah kos tidak efektif.
Menurutnya, perkhidmatan kerajaan untuk rakyat tidak sepatutnya mengambil kira untung rugi sebaliknya memikirkan kebajikan dan keperluan rakyat.
“Siapa pernah pergi Klinik 1Malaysia? Kerajaan sekarang nak tutup Klinik 1Malaysia. Katanya sebab kos tidak efektif.
Maknanya kerajaan rugi sebab Klinik 1Malaysia. Boleh terima alasan ini? Mereka ingat ini bisnes atau apa?,” soalnya dalam laman Facebook beliau, sebentar tadi.
Secara sinis, Ahli Parlimen Pekan itu menggesa kerajaan menutup klinik bergerak, balai polis, balai bomba, lampu jalan dan perkhidmatan kerajaan lain terutamanya di kawasan pedalaman.
“Semuanya tidak kos efektif. Buat apa kita nak buka lagi? Tutup saja lah semuanya.
“Perkhidmatan kerajaan untuk rakyat tidak sepatutnya mengambil kira untung rugi. Kita fikirkan kebajikan dan keperluan rakyat,” ujarnya.
Beliau juga mempersoalkan adakah beliau melakukan kesalahan dengan mewujudkan Klinik 1Malaysia, bertujuan memberi perkhidmatan kesihatan yang lebih dekat kepada rakyat.
Bahkan, katanya, beliau juga mempertimbangkan kos sara hidup rakyat pada masa itu dan enggan rakyat terbeban dengan kos perubatan sektor swasta yang kadangkala mencecah RM100.
“Salahkah apa yang saya buat dulu? Sepatutnya kerajaan hari ini mampu buat lebih banyak berbanding masa saya sebab sudah menjarah berpuluh bilion dari rizab Petronas.
“Malah ada yang dengan bangganya umumkan bahawa peruntukan RM29 bilion dalam Belanjawan 2019 adalah yang tertinggi pernah diterima Kementerian Kesihatan sepanjang sejarah belanjawan negara.
“Jadi mengapa ini berlaku? Tutuplah. Tutup semua,” ujarnya.

Bersatu Kelantan pelawa Ikhmal Hisham sertai PH?


Bersatu Kelantan pelawa Ikhmal Hisham sertai PH?
SAZMI
 (Ubah saiz teks)
MACHANG - Bersatu Kelantan akan menilai dan menyerahkan keputusan kepada pimpinan pusat sekiranya Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berminat dan memohon bagi menyertai mereka.
Sebentar tadi, Ikhmal Hisham mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Tanah Merah dan keluar dari parti itu dalam satu majlis pertemuan ringkas di  Dewan Umno Gual Ipoh, Tanah Merah.
Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan baharu melibatkan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang bertindak keluar parti.
"Kita mengucapkan tahniah kepada mereka yang mengambil keputusan untuk keluar daripada Umno. Ini bermakna mereka telah mula sedar bahawa parti itu hanya tinggal nama dan tidak dapat membantu orang Melayu sebagaimana didakwa. Sekalipun agak terlewat tetapi ia adalah keputusan yang terbaik.
"Kami mengalu-alukan mereka menyertai mana-mana parti dalan PH termasuk Bersatu. Namun, dalam masa yang sama,  pemimpin-pemimpin tertinggi  yang ingin menyertai parti komponen PH hendaklah bersih dan tidak terlibat dengan amalan tidak sihat serta tidak terlibat dengan siasatan atau tuduhan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Khairy gesa Umno adakan pemilihan parti



Khairy gesa Umno adakan pemilihan parti
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, hari ini menggesa Umno mengadakan pemilihan parti secepat mungkin ketika seorang demi seorang pemimpin Umno meninggalkan parti itu.
“Setuju. Pemilihan parti diadakan serta-merta,” katanya membalas tweet, @SyedRifqi99 yang berpendapat semua sayap Umno dan anggota majlis tertinggi parti itu perlu menuntut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden parti.
“Selain itu, Umno mesti mengadakan mesyuarat agung serta merta bagi membolehkan parti memilih pemimpin baharu.
“Hanya anggota UMNO yang boleh selamatkan UMNO. BERSATU, Anwar dan PAS tak boleh,” kata Khairy menerusi akaun Twitter.
Kenyataan Khairy itu dikeluarkan beberapa jam selepas Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, disahkan keluar dari parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hari ini, Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz, pula mengumumkan meninggalkan Umno.
Khairy sebelum ini sudah beberapa kali menunjukkan rasa tidak setujunya terhadap pendekatan Umno di bawah pimpinan Ahmad Zahid, termasuk kerja sama dengan PAS.
Ahmad Zahid pula hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah membabitkan dana sebanyak RM10 juta.
Sebelum ini, Presiden Umno itu dikenakan 45 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah sebanyak 46 tuduhan.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/khairy-gesa-umno-adakan-pemilihan-parti/