Tuesday, December 25, 2018

Bersatu Bahagian Merbok gagal kemuka dokumen RoS?





MALAYSIADATELINE December 25, 2018 5:04 pm



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Merbok bakal berdepan tindakan pembubaran sementara berikutan surat Perintah Mengemukakan Maklumat mengikut Sekyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966 dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 10 Disember lalu.

Parti itu didakwa gagal mengemukakan maklumat dan dokumen yang diminta RoS dalam tempoh tujuh hari yang diberikan daripada tarikh surat dikeluarkan.

Sumber yang dipetik bharian online hari ini, mendakwa, tindakan ROS terhadap parti itu adalah susulan daripada beberapa laporan berkaitan salah laku Ketua Bahagiannya, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid, membabitkan dua insiden di bahagian berkenaan.


“Pada 10 Julai 2017, beliau didakwa bertindak memecat Ketua Srikandi Bahagian, Noorzemi Osman, tanpa mengikut perlembagaan parti.

“Selain itu, pada 27 Julai lalu, lima Ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU Bahagian Merbok dihalang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bahagian.

“Dua kejadian ini jelas menunjukkan beliau melanggar perlembagaan parti, sekali gus menafikan hak AJK berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, aduan sudah dibuat ke peringkat Lembaga Disiplin, bagaimanapun tiada sebarang tindakan diambil terhadap Anuar sehingga kini.

Sementara itu, Anuar ketika dihubungi mengesahkan menerima surat daripada ROS, namun menafikan dakwaan terhadap dirinya yang disifatkan sebagai tidak berasas.


“Biasalah kita parti baharu, banyak yang masuk kita tak kenal, ada yang baik ada yang untuk kepentingan peribadi kerana nak kejar jawatan dan macam-macam.

“Setiap laporan berkaitan salah laku disiplin termasuk kejadian yang dikatakan sudah dihantar kepada Lembaga Disiplin, jadi biar mereka putuskan sekiranya benar dikatakan saya bersalah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Kedah, berkata ROS membenarkan tempoh mengemukakan maklumat yang diminta dilanjutkan dan pihaknya akan bertemu jabatan itu pada minggu depan.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/berssatu-bahagian-merbok-gagal-kemuka-dokumen-ros/

No comments:

Post a Comment