(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa menemui Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi ‘menyelamatkan’ Umno daripada terus berkubur.
Pertemuan itu dikatakan dibuat ketika minggu kedua sidang parlimen yang lalu di mana Mohamed Nazri telah membuat empat permintaan.
Memetik laporan Malaysiakini, Umno kini berdepan krisis besar selepas usaha perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berpihak kepada parti itu.
Dalam mesyuarat dengan Umno Selangor semalam, Mohamed Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas berkata Anwar telah menyatakan persetujuan dengan perkara yang disampaikannya.
Permintaan pertama adalah agar Umno tidak dibubarkan.
"Anwar kata, 'Nazri, saya tak akan bubar Umno. Kita kena sporting dalam politik, macam mana nak lawan kalau seteru dibubarkan? Kita perlu gentleman'," katanya.
Permintaan kedua agar Anwar tidak menganiaya (harass) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri nanti.
"Saya beritahu dia (Anwar), apa sekalipun kesalahan (Najib), dakwalah. Tapi jangan harass dia, jangan aibkan dan menyusahkan...dengan kenakan ikat jamin banyak kali.
"Anwar kata, 'saya sudah lalui perkara ini (dakwaan di mahkamah dan hukuman penjara) dua puluh tahun dan saya tak mahu seteru saya lalui perkara sama, apatah lagi kawan saya. Najib dulu timbalan saya (dalam Pemuda Umno), Zahid dulu 'macai' saya'," dakwa Nazri lagi.
Najib kini berdepan sejumlah dakwaan berkenaan skandal 1MDB dan SRC International, manakala Zahid pula dihadapkan dengan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Permintaan ketiga Nazri adalah agar Anwar mengembalikan semula sistem ketua kampung dan permintaan keempat pula ialah agar ahli parlimen Umno menerima peruntukan yang sama dengan anggota parlimen kerajaan untuk kebaikan rakyat.
Dakwa Mohamed Nazri lagi, sebagai pertukaran untuk empat permintaan itu, ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri dalam masa satu setengah tahun akan datang.
Bagaimanapun, Mohamed Nazri menegaskan wakil rakyat Umno hanya akan menjadi mesra kerajaan, bukan sebahagian dalam pentadbiran.
No comments:
Post a Comment