Tuesday, December 25, 2018

Pas sedia terima bekas ahli Umno, kekal tidak bekerjasama






Pas bersedia menerima bekas ahli Umno ke dalam parti itu tetapi tidak untuk bekerjasama dengan Umno kerana dasar dua parti yang berlainan,kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Umno kini mengalami kebocoran bahtera yang tidak seharusnya dihampiri atau memasukinya untuk tidak tenggelam bersama parti yang bertunjangkan Melayu itu.

“Ini (Pas-Umno) masih tidak ada titik pertemuan hingga hari ini. Namun bila kerajaan terdesak, kita boleh kerjasama, sekadar dalam perkara yang baik. Di ambang pilihan raya Pas diajak sertai kerajaan, kita tolak.


“PH juga ajak kita sertai kerajaan, kita tolak kerana kita pernah kerjasama dengan mereka. Kita buat gagasan sendiri dan berjaya menguasai Kelantan, Terengganu dan menjadi parti paling besar di Kedah.

“Umno sekarang mengalami kebocoran bahtera. Kaedah kita orang pergi laut, kalau bahtera bocor kita pergi dekat, bahtera kita pun boleh tenggelam sama. Nak gabung dengan parti bocor ini satu benda yang sulit dan payah.

“Dan Umno ini ada penyakit dan masalah dia. Adapun mengata Umno di Alam Barzakh, maka tidak mudah. Parti Komunis yang diharamkan pun masih ada. Parti Hitler masih ada pengikut. Syaitan pun ada pengikut.

“Tuhan jadikan tak mati syaitan selagi tak berlaku Kiamat. Bukan saya kata dia syaitan, tidak. (Tetapi) Kita nak matikan kefahaman ini tidak mudah, akan ada warisan dia,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama hadirin warga Malaysia pada program “An Evening With Tuan Guru Abdul Hadi Awang” di Dublin, Ireland, kelmarin, seperti dipetik portal rasmi parti itu.


Tegasnya, Pas bukan fanatik perkauman, sebaliknya Nabi S.A.W telah mengajar dari Hadis “Pemimpin daripada Quraisy” bahawa dalam politik Islam kabilah dominan, mesti memimpin.

“Islam adalah syarat kaum yang mendominasi, ini sangat penting. Kerana pemimpin dipatuhi, mesti didukung oleh kaum yang paling kuat dalam kalangan orang Islam,” terang beliau.

Pas pernah bersama parti tersebut menuntut kemerdekaan dan dalam Kerajaan Campuran 1973 serta Barisan Nasional 1974 dengan bersyarat.



Justeru kata Ahli Parlimen Marang ini lagi, Pas akan mendukung mana-mana gabungan yang mendominasikan orang Islam dalam pemerintahan negara.

Kerana katanya, adalah tidak wajar bagi negara yang terdiri daripada 65 peratus orang Islam, tetapi pemerintahannya didominasi oleh bukan Islam di mana penguasaan seperti itu boleh menyebabkan pertembungan.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/pas-sedia-terima-bekas-ahli-umno-kekal-tidak-bekerjasama/

No comments:

Post a Comment