Monday, July 10, 2017

Mukhriz arah peguam ambil tindakan terhadap Najib


 mukhriz-najib-razak
PETALING JAYA: Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengarahkan peguamnya bertindak ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan beliau cuba mempengaruhi keputusan mahkamah mengenai saman malunya terhadap perdana menteri itu melalui kenyataan yang dibuat setiausaha akhbarnya, Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

“Saya mendapati kenyataan itu sengaja dibuat oleh Najib untuk mengganggu perjalanan perbicaraan kerana beliau mengetahui dengan baik tuntutan saya terhadap Tengku Sariffuddin,” kata Mukhriz.

Bekas MB Kedah yang juga penyandang ahli dewan undangan (Adun) Ayer Hitam itu memfailkan saman ke atas 4 kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tengku Sariffuddin pada 15, 20, 23, dan 26 April.

Keempat-empat siaran akhbar itu ialah “Kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri mengenai pengesahan sumbangan oleh menteri luar Arab Saudi”, “Kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri mengenai wawancara Reuters dengan bekas DPM”, “Kenyataan Mukhriz Mahathir: Respon oleh setiausaha akhbar perdana menteri” dan “Kenyataan setiausaha akhbar perdana menteri terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir”.

Dalam tuntutan balas, Tengku Sariffuddin berkata beliau tidak pernah memfitnah Mukhriz dalam mana-mana kenyataan medianya tetapi cuba menjelaskan isu dan ketidakbenaran yang tersebar tentang Najib.

Tengku Sariffuddin berkata kenyataan itu disiarkan berdasarkan kelayakan keistimewaan dan tanpa niat jahat.

Jumaat lalu, Najib mengeluarkan kenyataan bertajuk “Mahathir’s latest U-turn demonstrates his RCI panic” (Pusingan-U terkini Mahathir didorong rasa khuatir pada Suruhanjaya Siasatan Diraja – RCI) .

Najib berkata Dr Mahathir “obses” untuk “menyelamatkan legasi keluarganya” dan menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, perdana menteri.

Mukhriz berkata beliau sangat kecewa apabila Najib sebagai seorang yang memegang jawatan tertinggi di Malaysia boleh merendahkan dirinya dengan kenyataan itu.

“Pada pendapat saya, ini adalah contoh paling jelas gangguan dan tekanan yang melanggar undang-undang ke atas perjalanan perbicaraan mahkamah,” katanya.

Sunday, July 9, 2017

Kemungkinan beban cukai naik, perancangan ekonomi Pemandu gagal?


A KADIR JASIN 9 JULAI 2017


Perancangan ekonomi Pemandu gagal?
PEMBATALAN cadangan memasukkan 60 jenis makanan ke dalam senarai cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah petunjuk kepada suasana yang tidak menentu dalam dasar dan prestasi percukaian kerajaan.

Di satu pihak kerajaan memerlukan pendapatan baru atau tambahan bagi menampung perbelanjaan yang meningkat dan mengimbangi kejatuhan hasil daripada sesetengah sumber.

Bagi yang kurang arif mengenai masalah fiskal dan kewangan yang sedang dihadapi oleh kerajaan sekarang, satu cara mudah bagi memahaminya adalah dengan melihat betapa cergasnya pihak-pihak penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan majlis tempatan membuat operasi serta mengeluarkan saman dan kompaun.

Manakala daripada sudut perbelanjaan pula, rakyat jelata boleh melihat atau merasa sendiri dengan meneliti potongan peruntukan untuk sektor kemasyarakatan utama seperti kesihatan dan pendidikan.


Mereka tentu telah melihat atau merasa bagaimana hospital dan klinik kesihatan kerajaan mengawal pemberian ubat dan pengurangan drastik bilangan biasiswa pengajian tinggi oleh agensi-agensi pendidikan.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh ketirisan yang berpunca daripada ketidakcekapan, salah guna kuasa dan rasuah.

Hal ini dilaporkan secara terperinci dan meluas oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya.

Di sini ada satu ironi yang hebat. Majoriti kakitangan awam dan agensi separuh kerajaan adalah Melayu dan beragama Islam. Tetapi daripada siasatan, tangkapan dan pertuduhan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), kita mendapat gambaran mengenai betapa korupnya perkhidmatan awam dan penggerak politik kita.

Berbalik kepada cadangan mengenakan GST ke atas 60 jenis bahan makanan yang dibatalkan itu, ia adalah keputusan politik.

Kerajaan memerlukan wang dan mengarah pihak-pihak yang memungut cukai supaya mencari sumber baharu.

Tetapi pada masa yang sama, kerajaan mengakui sebarang tambahan kepada senarai GST akan membebankan lagi pengguna dan ini tidak baik untuk politik.

Kita kena faham iaitu pegawai-pegawai kerajaan yang ditugaskan mencari dan memungut hasil seperti Ketua Pengarah Kastam, (Datuk Indera) Subromaniam Tholasy, tidak peduli sama ada tindakan mereka membebankan rakyat jelata atau tidak.

Tugas mereka adalah mencadangkan dan melaksanakan pungutan hasil, khususnya cukai, bagi pihak kerajaan.

Lagi banyak cukai yang dikutip, lagi baik buat mereka. Itulah petunjuk utama prestasi (KPI) mereka.

Bagi mereka, lagi banyak hasil yang dipungut, lagi tinggilah KPI mereka dan lagi cerahlah peluang kenaikan pangkat.

Kebajikan rakyat jelata bukan masalah mereka. Itu tanggungjawab kerajaan.

Di pihak kerajaan pula, aspek kebajikan mempunyai ciri-ciri selektif. Manakala di satu pihak matlamat fiskal kerajaan adalah memungut sebanyak mungkin hasil, di pihak yang lain pula ia perlu memikirkan apa yang akan berlaku di peti undi.

Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir dan persaingan bertambah hebat, aspek kedua dasar fiskal iaitu kebajikan rakyat jelata menjadi sangat penting.

Tindakan murah hati kerajaan menjelang PRU seperti bonus, sagu hati dan bayaran khas akan membebankan lagi kewangan negara yang sudah pun kritikal.

Jadi kita bolehlah menjangkakan iaitu walaupun senarai barang dan perkhidmatan yang kena GST tidak diperluas sekarang, ia mungkin laksanakan selepas PRU atau kerajaan memperkenalkan cukai baharu seperti Cukai Pelancongan.

Ini membawa kita kepada persoalan apakah fungsi kerajaan dalam situasi yang mencabar sekarang. Dalam pemikiran ekonomi, tugas kerajaan mudah saja.

Dalam suasana ekonomi baik, tugas kerajaan adalah memudahkan sektor perniagaan berkembang dan daripada pertumbuhan ekonomi ia mengutip hasil yang lebih banyak.

Manakala dalam suasana ekonomi yang lembap seperti sekarang, tugas kerajaan adalah membantu semua pihak yang menderita, khususnya golongan miskin dan yang berpendapatan rendah.

Maksudnya kerajaan buat duit masa ekonomi baik dan simpan sebahagiannya untuk masa ekonomi buruk. Kerajaan tidak boleh sekali-kali boros dan membazir apatah lagi berjoli. Wallahuaklam.

Lanjutan Ketua Hakim Tidak Berperlembagaan, Amanah Akan Failkan Semakan Kehakiman


1. Pengumuman terdesak Datuk Seri Najib Razk akan pelantikan Tan Sri Raus Sharif lewat malam sebagai "hakim tambahan" untuk kekal sebagai Ketua Hakim Negara dan juga Presiden Mahkamah Rayuan masing-masing untuk tempoh tiga tahun dan dua tahun lagi tidak pernah berlaku dan tidak berperlembagaan dan telah mengheret Malaysia sekali lagi ke dalam krisis Perlembagaan baru.
2. Tindakan Najib jelas tidak mengendahkan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana, menurut laporan, pelantikan itu dibuat di bawah perkara 122 ( 1A ) Perlembagaan Persekutuan ( "PP" ) dan ini menyebabkan pelantikan Tan Sri Raus adalah bercanggah dgn Perkara 125 ( 1 ) PP, sepertimana menurut pendapat mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Muhammad.
3. Tun Hamid secara terbuka menyatakan bahawa lanjutan selanjutnya kepada Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif selepas 66 tahun dan enam bulan adalah tidak berperlembagaan. Tun Hamid juga menegaskan bahawa lanjutan perkhidmatan melepasi tempoh 66 tahun dan enam bulan boleh menjejaskan kebebasan badan kehakiman.
4. Malah presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese melahirkan kebimbangan bahawa lantikan perpanjangan Ketua Hakim Negara bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi secara tidak adil juga memungkiri pejabat Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus dalam kontroversi, serta meletakkan ancaman kepada institusi Ketua Hakim Negara dan memberi kesan di sana bahawa tidak ada orang lain dalam badan kehakiman yang boleh mengambil jawatan itu.
5. Najib cuba untuk berselindung di bwh Perkara 122 ( 1A ) bagi mewajarkan pelantikan Tan Sri Raus. Ironinya, semua maklum bahawa sebelum ini kerajaan sudahpun melanjutkan pelantikan Tan Sri Raus sebagai Ketua Hakim Negara setelah umur beliau mencecah 66 tahun dan lanjutan itu hampir tamat tempoh, dan sekali lagi beliau dilanjutkan perkhidmatan.
6. Tambahan lagi, kerajaan juga menyebut pelantikan Tan Sri Raus bagi tempoh 3 tahun lagi dibuat di bawah Perkara 122 ( 1A ) sedangkan Perkara 122 ( 1A ) hanya memperuntukan kuasa Yang Di-pertuan Agung (YDPA) melantik hakim tambahan Mahkamah Persekutuan. Perdana Menteri juga seolah-olah merampas kuasa legislatif dengan meminda Perlembagaan Persekutuan secara arbitrari.
7. Justeru, selepas mengambil kira beberapa perkara penting dalam memastikan kesucian dan keluhuran Perlembagaan negara ini terus dipertahankan, Parti Amanah Negara (AMANAH) akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan lanjutan perlantikan kuasa tertinggi kehakiman larut malam.
Salahuddin Hj Ayub
Timbalan Presiden AMANAH
9 Julai 2017

ZAHID DAN HISHAMMUDDIN SAHKAN KUASA POLITIK UMNO PERLU DITAMATKAN.


https://coconuts.co/wp-content/uploads/2016/11/najibzahidhishamuddin.jpg
1. Hari ini Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein riuh dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian dengan mengugut akan melondehkan serta mendedahkan keburukan Tun Mahathir (Tun M) dalam tempoh 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno jika Tun M terus menyerang Najib dan kerajaan Umno Barisan Nasional sekarang.

2. Mereka membangkitkan kesalahan lampau Tun M ekoran kebimbangan Umno dengan pakatan politik Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bersama rakan parti pembangkang dari DAP dan Amanah yang mampu menghilangkan kuasa politik UmnoBN.Rakyat sedang melihat pakatan politik baru Tun M dan DSAI serta pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebagai suatu pengorbanan besar demi rakyat dan negara dengan mengenepikan perbezaan dan permusuhan politik masa lampau.

3. Sejarah telah membuktikan apabila negara dalam bahaya yang amat sangat dan rakyat begitu terancam, maka akan ada negarawan dan pihak yang bertentangan akan bersatu dan bersama berjuang menetang musuh besar negara dan rakyat sebagaimana yang berlaku antara Hamas dan Fatah apabila bersatu menentang Israel Zionis.Begitu juga di Indonesia berlaku banyak pihak yang bertentangan akhirnya bersatu menentang regim Suharto dan melakukan reformasi untuk Indonesia yang lebih demokratik.

DULU HANG 'SAPU' KAMI DIAM..LA NI PELUANG KAMI NAK 'SAPU' HANG PUN KENA DIAM.

4.Tun M dan DSAI serta pimpinan utama PH adalah negarawan ulung. Mereka mampu mengenepikan perbezaan pendapat dan permusuhan politik mereka demi untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kebobrokan regim MO1,Isteri MO1,Jho Taek Low dan UmnoBN.Kenyataan Zahid,Hishammudin dan pimpinan kanan UmnoBN yang mahukan Tun M 'menjaga mulut ' serta mendiamkan diri dari terus menyerang Najib dan kerajaan UmnoBN kerana menurut mereka Tun M sendiri sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri juga melakukan banyak kesilapan.Tetapi pimpinan Umno dan kerajaan pada waktu itu menutup demi menghormati dan melindungi Tun M.

5. Mereka mendakwa jika dahulu mereka boleh menutup kesalahan Tun M sewajarnya Tun M juga menutup kesalahan Najib dan kerajaan sekarang.Bagi saya ini bermakna mereka mengesahkan segala dakwaan pembangkang terhadap penyelewengan Najib dan kerajaan sekarang.Kenyataan yang mereka keluarkan sedemikian menunjukan budaya UmnoBN ialah menjadikan kewajipan untuk mereka 'menipu rakyat' dengan menutup dan melindungi kesalahan boss (ketua) kerana mereka akan sama-sama mendapat habuan.Budaya terkini UmnoBN ialah "kalau dulu hang buat,la ni bagi peluang untuk kami buat pulak" apabila kesalahan Tun M yang mereka lindungi sebelum ini menjadi lesen untuk menghalalkan kejahatan dan dosa jenayah yang mereka lakukan sekarang.

6. Rakyat perlu bangkit membuat perubahan untuk tidak membiarkan UmnoBN berterusan memerintah Malaysia tercinta.Kuasa politik UmnoBN mesti ditamatkan dan budaya baru politik Malaysia mesti dibentuk segera.Tiada keperluan untuk mana-mana pemimpin negara yang melakukan kejahatan dan jenayah perlu dilindungi.Politik 'bodek boss' mesti dihentikan dan tindakan mesti diambil walaupun seseorang itu masih berkuasa untuk menghalang keburukan dan kerosakan yang lebih dahsyat pada negara dan rakyat.Saya berpendapat bahawa apa yang disuarakan oleh Tun M sekarang adalah kerana beliau tidak mahu budaya dizamannya berulang dengan pemimpin kanan dan rakyat menjadi 'yes man' dan patuh membuta tuli.Bagi saya rakyat tidak harus berterusan menjadi mangsa pemimpin sepanjang zaman dengan budaya "masa hang 'sapu' kami boleh diam,sekarang zaman kami nak 'sapu' hang pun kena duk diam lah".

Kuasa Rakyat merubah masa depan negara..Reformasi membina semula Malaysia tercinta.

#BersamaTamatkanKuasaUmnoBn
#MertabatkanKuasaRakyat
#SelamatkanMalaysia
#RakyatHakimNegara
#KakiBodekPerosakNegara

Dato' Hj Mahfuz Hj Omar
Ahli Parlimen Pokok Sena
2pm Kuala Lumpur
9 Julai 2017/15 Syawal 1438H

TMJ sindir pemimpin paksa kerajaan guna wang rakyat bayar jet peribadi



DALAM tulisan terbaru yang menjadi viral di laman sosial, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turut menyentuh tentang pemimpin yang memaksa kerajaan menggunakan wang rakyat untuk membayar jet peribadi mereka.

"Pemimpin yang berpura-pura dengan apa yang mereka pakai, tetapi di sebaliknya, memaksa kerajaan menggunakan wang rakyat untuk membayar jet pribadi mereka." Tulis TMJ, yang disiarkan di halaman facebook Johore Southern Tiger.


Dalam tulisan yang bertajuk "Saya akan sentiasa berdoa untuk kestabilan anda, Malaysia" itu, TMJ mempersoalkan apa yang sudah terjadi kepada Malaysia.

"Apa yang telah berlaku kepada negara yang saya hormati? Sebuah negara yang dahulunya saya bangga untuk memanggilnya sebagai rumah saya. Sebuah negara yang saya berdoa untuk kestabilan. Apa yang telah berlaku kepada sahabat kesayangan ku Malaysia? Saya berharap suatu hari nanti, anda akan kembali pulih semula," tulis TMJ.

Baginda turut meluahkan rasa kecewa, apabila rasuah sudah menjadi budaya di Malaysia manakala media pula melindungi rasuah dan menjadikan orang-orang yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk menjual cerita. Selain itu orang-orang yang kurang berpendidikan sentiasa ditipu, dimanipulasi oleh sistem dan diperas.

"Pada hari ini saya berada di sebuah negara di mana rasuah telah menjadi sebuah budaya. Sebuah negara di mana media melindungi rasuah dan menjadikan orang-orang yang tidak bersalah sebagai mangsa untuk menjual cerita. Orang yang kurang berpendidikan sentiasa ditipu, dimanipulasi oleh sistem dan diperas. Ia telah menjadi tempat di mana orang kaya semakin kaya manakala orang miskin semakin miskin." tulisnya.

Ikuti tulisan lanjut TMJ — Johore Southern Tiger


Read more: http://www.milosuam.net/2017/07/tmj-sindir-pemimpin-paksa-kerajaan-guna.html#ixzz4mOVHVv4v

Tuesday, July 4, 2017

Selesaikan 1MDB Dengan Al-Quran Memandu Perubahan




 
Oleh ABDUL HADI AWANG

Ramai yang tertanya-tanya seolah-olah saya tidak berminat untuk membuat perubahan kerana 1MDB. Apabila banyak pihak menjadikan isu ini senjata besar untuk melakukan perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

Saya tidak termasuk dalam kalangan Melayu yang mudah lupa terhadap isu yang wajib berlaku di setiap zaman Perdana Menteri bermula sejak tahun 80-an. Semuanya ditinggalkan tanpa penyelesaian, bahkan dilupakan khususnya kepada Melayu yang mudah lupa.

Sekiranya kita kembali kepada Al-Quran dengan kajian politik (kecuali mereka yang menolak adanya politik di dalam Al-Quran), Al-Quran mengulang beberapa kali ayat yang menyebut perubahan tehadap sesuatu kaum dalam negaranya. Di antaranya, firman Allah:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ لَمۡ يَكُ مُغَيِّرٗا نِّعۡمَةً أَنۡعَمَهَا عَلَىٰ قَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٞ ٥٣ الأنفال.

“(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Anfal: 53)

Firman Allah:

لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ
لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١ الرعد

“Bagi setiap orang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawasi dan menjaganya (dalam segala tindakannya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d: 11)

Al-Quran menegaskan kepada perubahan sikap, perangai atau akhlak, bukannya mengubah tokoh atau orang-orangnya sahaja. Islam mengekalkan sesiapa yang bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Kalau hanya sekadar mengubah orangnya sahaja sedangkan perangainya sama, maka perubahannya juga membawa rebah yang sama.

Al-Quran juga melaporkan, dakwah semua para Rasul A.S. adalah seruan kepada perubahan aqidah yang benar, hukum syariat yang adil dan akhlak yang mulia tanpa meminta-minta jawatan. Akhirnya menerima perubahan, sama ada bertaubat kembali kepada kebenaran atau dijatuhkan jahiliyah di dalam dirinya dan ditegakkan Islam, bukannya sekadar mengubah pemimpin yang sama juga sifatnya atau lebih buruk keadaannya.

1MDB adalah mata rantai masalah yang belum diselesaikan secara adil dan menjadi salah satu daripada mata-mata rantai isu yang tiada penyelesaian. Dahulunya BMF, PERWAJA, KWSP, PETRONAS, Tabung Haji, pertukaran wang asing, Skyhawk, Maika Holdings dan PKFZ. Kini muncul 1MDB dan rumah banglo di Pulau Pinang dan mungkin lain-lain lagi. Semuanya dalam tuduhan tanpa tindakan yang seadil-adilnya.

Puncanya adalah ideologi bertuhankan kebendaan dalam segala urusan hidup yang mencipta banyak lagi penyakit yang wajib dihapuskan seperti salah laku, salah urus dan rasuah yang menjadi wabak di seluruh dunia sehingga mencetuskan peperangan sesama keluarga, bukan sahaja dalam satu bangsa, bahkan satu kemanusiaan dalam satu negara. Kebendaan menjadi matlamat kehidupan di dunia tanpa wawasan akhirat. Hidupnya untuk makan, bukan makan untuk hidup dan menunaikan amanah Allah.

Saya tetap tidak bersetuju dijemput campur tangan asing terhadap penyelesaian dalaman kita kerana mengundang akibat yang lebih buruk dan tiada keikhlasan kuasa asing dalam dunia hari ini.

Langkahnya laksana menebuk kapal untuk mendapatkan air secara mudah.

Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang, mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya.

Kita juga tidak boleh menunggu apa yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al-Quran tentang bagaimana semua penyangak di dunia ini akan mengutuk sesama sendiri di Hari Akhirat.
Firman Allah:

قَالَ ٱدۡخُلُواْ فِيٓ أُمَمٖ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِكُم مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ فِي ٱلنَّارِۖ كُلَّمَا دَخَلَتۡ أُمَّةٞ لَّعَنَتۡ أُخۡتَهَاۖ حَتَّىٰٓ إِذَا ٱدَّارَكُواْ فِيهَا جَمِيعٗا قَالَتۡ أُخۡرَىٰهُمۡ لِأُولَىٰهُمۡ رَبَّنَا هَٰٓؤُلَآءِ أَضَلُّونَا فََٔاتِهِمۡ عَذَابٗا ضِعۡفٗا مِّنَ ٱلنَّارِۖ قَالَ لِكُلّٖ ضِعۡفٞ وَلَٰكِن لَّا تَعۡلَمُونَ ٣٨ وَقَالَتۡ أُولَىٰهُمۡ لِأُخۡرَىٰهُمۡ فَمَا كَانَ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلٖ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡسِبُونَ ٣٩ الأعراف

“Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) Neraka. Allah berfirman: Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui. (38) Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir: (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. (Allah berfirman): Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan (39) (Surah Al-A’araf: 38-39)

Ayat-ayat ini menyatakan tentang peristiwa di Hari Akhirat sekiranya tidak diselesaikan atau tidak bertaubat di alam dunia ini. Akhirat adalah kehakiman Allah, tidak ada lagi kehakiman dalam negara atau luar negara atau mahkamah antarabangsa seperti di alam dunia ini. Namun, Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya, sehingga nyawa sampai ke kerongkong dan matahari naik dari arah barat. Seterusnya menggalakkan taubat dan melakukan islah lebih baik daripada dibawa ke mahkamah.

PAS tidak boleh menjadi gerabak kereta api yang disangkut kepada kepala yang menuju ke arah yang salah, sekadar membawa perubahan pemimpin yang berkonsep ‘2 x 2’ atau ‘2 + 2’, di mana jawapannya sama.

PAS tidak boleh mengikut sunnah mereka yang melahirkan saudara-saudara 1MDB dan saudara maranya yang akan lahir selepas ini kerana sunnah yang sama acuannya.

PAS tetap tegas dan teguh beristiqamah mengikut penyelesaian Islam daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. walaupun banyak liku dan jauh perjalanannya. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:

مَنْ سَنَّ في الإسلامِ سنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أجْرُهَا، وَأجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ،مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورهمْ شَيءٌ،وَمَنْ سَنَّ في الإسْلامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيهِ وِزْرُهَا ، وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ ، مِنْ غَيرِ أنْ يَنْقُصَ مِنْ أوْزَارِهمْ شَيءٌ (رواه مسلم).

“Sesiapa yang menunjukkan bersama Islam ajaran yang baik nescaya dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengikut contuh baiknya tanpa dikurangkan pahalanya sedikit pun dan sesiapa yang menunjukkan bersama Islam ajaran yang jahat nescaya dia memikul dosanya dan dosa orang mengambil teladannya selepasnya tanpa dikurangkan dosanya sedikit pun” (Hadis riwayat Muslim)

1MDB adalah ciptaan tema “Kepimpinan Melalui Teladan”. Apakah teladannya? Lakukan muhasabah politik dan ekonomi sebelum ini dan kembali ke pangkal jalan. Saya tidak menafikan adanya perkembangan positif dalam negara di sepanjang perjalanannya sehingga diberi gelaran Harimau Asia, tetapi tiba-tiba bertukar menjadi kucing kurap yang dibejati penyakit-penyakit.

Khalifah Umar R.A. menegaskan: “Sesungguhya kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan”

Ahli-ahli dan pemimpin PAS, jangan ikut menari bersama mereka yang memalu gendang dan meniup serunai lagu lama, yang hanya mengubah senikata dan rentaknya sahaja, sehingga lalai dalam khayalan atau menerkam secara leka tanpa hidayah yang betul. Tidakkah kita berpandukan Al-Quran yang benar daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya?

Ingatlah firman Allah SWT yang menceritakan tentang ucapan Nabi Syuib A.S. yang menghadapi kaumnya yang rosak aqidah dan secara khusus melaksanakan sistem ekonomi yang diharamkan oleh Allah:

إِنۡ أُرِيدُ إِلَّا ٱلۡإِصۡلَٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ وَمَا تَوۡفِيقِيٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ ٨٨ هود.

“Aku hanya bertujuan hendak melakukan islah (memperbaiki) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali” (Surah Hud: 88)

“Sejahtera Bersama Islam”

*ABDUL HADI AWANG, Presiden PAS

Kerja kerajaan maka wajib undi kerajaan? Ini jawapan Ustaz Azhar Idrus



"TOLONGLAH jadi cerdik, jangan jadi bodoh," itu kata pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam salah satu ceramahnya di Melaka yang disiarkan di YouTube berhubung pendapat segelintir pihak yang mengatakan "Orang bekerja dengan kerajaan wajib undi kerajaan dalam pilihanraya,"


Menjawab soalan penonton, kata UAI, dalam pilihanraya kerajaan tidak masuk bertanding, hanya parti-parti politik yang perlu diundi oleh rakyat, mana-mana parti yang menerima undi paling banyak itulah yang akan jadi kerajaan.

"(Parti) yang masuk bertanding tadi kerajaan tak masuk, masuk bertanding dalam pilihanraya kerajaan masuk dok? Tak masuk, parti-parti je bertanding, kerajaan tak bertanding, kerajaan jadi SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) jaga je," kata UAI dalam rakaman video itu.

Kata UAI lagi, semasa pilihanraya kerajaan sedia ada sudah dibubarkan, maka hanya parti-parti politik sahaja yang bertanding untuk menerima undi majoriti bagi membentuk kerajaan.

"Ada orang kata tak boleh, mu (kamu) wajib undi kerajaan dalam pilihanraya, kita kata nak undi guane (macam mana) kerajaan tak masuk bertanding, kalau nak bertanding pun dok (tak) boleh (kerajaan) bubar dah, faham tak? Yang bertanding parti-parti politik, kerajaan dok bertanding," kata UAI.

UAI dalam rakaman itu, sambil berseloroh turut mengibaratkan orang yang tetap memilih pemerintah korup dan rasuah seperti orang yang tetap memilih juruwang (casher) kedai walaupun sudah diketahui terbukti berpuluh tahun mencuri duit syarikat.

"Macam kita buka kedailah, kita lantik seorang cashier (juruwang) jaga duit, 30 tahun dah rupanya dia ambil duit syarikat kita, nampak CCTV, ada orang cerita, habis bukti ada sokmo, 

"Lepas tu ada orang kata (cadang), ambil hok (orang) barulah, nanti bangkrap kamu, kita kata ambil baru karang, sama macam hak ni juga, ambik hok lamalah biar bangkrap pun bangkraplah," kata beliau lagi disambut dengan gelak ketawa hadirin yang hadir.


Read more: http://www.milosuam.net/2017/07/kerja-kerajaan-maka-wajib-undi-kerajaan.html#ixzz4lqRIRoUj

Orang Najib Hina Zahid Hamidi?





Orang Najib Hina Zahid Hamidi? Kenyataan setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Tengku Sarifuddin yang membayangkan pengharaman DAP menjelang pilihan raya umum ke-14 adalah satu bentuk penghinaan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kata Amanah.


“Taktik terdesak yang diumumkan Sariffuddin jelas menunjukkan pelan tersembunyi Najib untuk PRU14, tetapi sebagai setiausaha akhbar kepada perdana menteri, beliau secara terbuka telah menunjukkan penghinaan terhadap Menteri Dalam Negeri,” kata Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr Hatta Ramli.


Orang Najib Hina Zahid Hamidi? Hatta berkata soal pendaftaran pertubuhan adalah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Zahid.


“Ini menunjukkan penghinaan kakitangan Najib kepada timbalan perdana menteri sebagai orang nombor 2 dalam kerajaan,” katanya.


Hatta berkata demikian selepas Sarifuddin mencetuskan isu status DAP menjelang PRU akan datang, dengan berkata calonnya mungkin terpaksa bertanding tanpa menggunakan logo roketnya.


Sarifuddin berkata ia kerana JPPM masih tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP sekarang yang dipilih 4 tahun lalu.


Orang Najib Hina Zahid Hamidi?


Bagaimanapun, Zahid semalam menolak spekulasi mengenainya, dan berkata beliau masih menunggu jawapan JPPM.


“Perkara ini dikaji secara terperinci oleh JPPM dan mereka bukan sahaja mengkaji dari segi aspek perundangan tetapi JPPM juga berperanan untuk menjaga kepentingan mana–mana pertubuhan yang berdaftar dengannya,” katanya dipetik Bernama.


Ia bagaimanapun disusuli dengan satu lagi kenyataan Sarifuddin, yang berkata DAP perlu menyalahkan ahlinya sendiri yang membuat aduan kepada JPPM.


“Anggota DAP sendiri yang membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung ketidakteraturan yang serius dan layanan tidak adil dalam pemilihan parti,” katanya.


Pada 2012, beberapa ahli DAP mengadu mengenai ketelusan dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berikutan wujud perubahan mendadak dalam keputusan pemilihan kononnya disebabkan kesilapan pengiraan, selain dakwaan lebih 700 perwakilan dinafikan hak mengundi.


Orang Najib Hina Zahid Hamidi?


Susulan itu, DAP menganjurkan pemilihan semula pada September 2013. Barisan kepimpinan baharu itu bagaimanapun belum disahkan JPPM.


Hatta berkata kenyataan Sarifuddin yang menyentuh bidang kuasa JPPM “membayangkan kekusutan dan kekecohan dalam pentadbiran Najib”.


“Kenyataan Sariffuddin adalah tanda kuat bahawa lingkaran dalaman Najib serius mempertimbangkan pembatalan pendaftaran DAP dan pengharaman penggunaan logo roket pada PRU ke-14, walaupun ini dikatakan masih tertakluk kepada beberapa faktor termasuk perletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan persaraan YB Lim Kit Siang dari politik Malaysia,” katanya.


Kit Siang dalam kenyataan hari ini menyatakan kesediaannya bersara sekiranya ia dapat menyelamatkan DAP daripada diharamkan.


Orang Najib Hina Zahid Hamidi? “Katakan saja sekiranya persaraan saya adalah syarat untuk menamatkan konspirasi Umno/BN mengharamkan DAP, saya akan mempertimbangkannya,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu. - fmt

Sunday, July 2, 2017

PENDIRIAN PRESIDEN PAS YANG KONSISTEN DALAM ISU 1MDB




Kenyataan Media Setiausaha Akhbar Presiden PAS

PENDIRIAN PRESIDEN PAS YANG KONSISTEN DALAM ISU 1MDB

1. Sehingga kini masih berlegar di media massa, persepsi buruk dengan niat jahat yang dimainkan oleh musuh politik untuk menggambarkan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS menyokong bahkan mempertahankan salah urus tadbir 1MDB. Sedangkan umum mengetahui bahawa sudah puluhan tahun, Presiden PAS tegar melawan kezaliman yang zahir atau tersembunyi disebalik wayang kulit yang dipentaskan, tidak kira UMNO-BN atau parti yang sama sifatnya. 

2. Bahkan sejarah perlawanan UMNO dan PAS dalam pilihanraya, hanya sekali sahaja PAS tidak menentang UMNO ketika PAS bersama-sama dalam Barisan Nasional (BN), selebihnya 12 kali pilihanraya PAS berlawan dikerusi yang ditandingi UMNO termasuklah PRU14 akan datang. Malahan Tuan Guru Presiden tidak pernah menjadi ahli UMNO, sedangkan sebahagian pimpinan parti pembangkang lain adalah bekas pimpinan dan ahli UMNO. 

3. Suka untuk saya menjelaskan kekeliruan yang dimainkan, agar yang gelap dicerahkan, yang cerah tersebar serata alam. 

4. Sejak isu 1MDB menggegarkan panggung politik tanah air, Tuan Guru Presiden mengikuti secara dekat dan memandang jauh sama ada tersurat atau tersirat disebalik respon dan tindakan kerajaan atau pembangkang. 

5. Pada 9 Mei 2015, Tuan Guru telah memberi respon dan mendesak kerajaan untuk membentangkan hasil bedah siasatan kepada ahli Parlimen dan menyatakan kekecewaan beliau terhadap tindakan kerajaan yang gagal memulihkan kepercayaan rakyat serta menggesa kerajaan mengemukakan penyelesaian yang berkesan. 

“Perdana Menteri sendiri harus menjelaskan kepada semua Ahli Parlimen dan hendaklah membentangkan hasil bedah siasat terperinci terhadap audit kewangan 1MDB. Kita tidak mahu rakyat tertipu lagi dengan isu 1MDB ini serta terus menanggung beban pelbagai salah urus tadbir kewangan yang pernah berlaku sebelum ini. 

Langkah sumbang Tabung Haji dan 1MDB ini bakal mengundang malapetaka besar bagi negara lantaran ketidakpedulian kerajaan terhadap teguran-teguran Jabatan Audit Negara selama ini. Apatah lagi yang terpalit dalam isu ini ialah anak syarikat Tabung Haji di mana selama ini diyakini rakyat jelata untuk tabungan khas mereka. Amat malang andai institusi ini digunakan oleh pihak kerajaan bagi urusan lain yang bukan menjadi tujuan penubuhan Tabung Haji.

Kita juga kecewa apabila kerajaan juga hingga ke hari ini gagal memberi penjelasan meyakinkan berhubung segala isu yang membelengu 1MDB, termasuk penyelesaian segera terhadapnya. Sebaliknya, condong dilihat menyelamatkan kroni sedangkan pada waktu yang sama, rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang meningkat dan menderita dengan tindakan baru kerajaan yang mengenakan GST kepada semua lapisan rakyat tidak kira miskin dan kaya.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/167-peringkat-pusat/kolum-pimpinan/presiden/kenyataan-presiden-pas-sesi-2013-2015/4999-jangan-salah-guna-tabungan-rakyat ) 

6. Dalam kenyataan lain pada 8 Julai 2015 di Kota Bharu, Tuan Guru mengingatkan supaya isu 1MDB tidak memperjudikan nasib rakyat.

“Kita lihat apa yang akan dibincang nanti, kita tidak mahu ia (1MDB) boleh menyusahkan rakyat, tidak mahu rakyat menjadi beban.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/5190-kita-lihat-apa-akan-dibincang-nanti-presiden-pas)

7. Tuan Guru Presiden turut menyifatkan beberapa siri korupsi dan salah urus tadbir kewangan negara berlaku akibat menjadikan politik sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan peribadi, kroni atau kumpulan, bukannya menunaikan tanggungjawab dan amanah. Peringatan ini disampaikan dalam ceramah Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK 11) di Tangkak, Johor pada 5 September 2015 dengan menyebut:

“Hanya dengan melaksanakan Islam sahaja akan mampu menyelesaikan segala kemelut yang melanda negara mutakhir ini. Terjadinya isu kewangan RM2.6 billion, 1MDB, KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan Maika Holdings yang merunsingkan rakyat negara ini adalah natijah apabila politik dianggap sebagai satu peluang dan bukannya amanah.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/6281-apabila-politik-dianggap-peluang-presiden-pas )

8. Teguran Tuan Guru semakin keras, apabila menyeru seluruh rakyat rehatkan UMNO dalam pilihanraya akan datang bagi menyelesaikan kemelut 1MDB dan krisis negara, hal ini disebut dalam Ceramah Perasmian Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.2) di Pulau Serai, Dungun, Terengganu pada 18 September 2015:
“Beri UMNO berehat, tengok PAS memerintah negara ini macam mana. Dengan tokoh-tokoh politik, ekonomi yang ada macam-macam ini, tengok macam mana kita nak memerintah dengan Islam. Barulah tak timbul kapal terbang hilang, tak timbul 1MDB, tak timbul Perwaja yang kilang besi itu, sedar-sedar besi tak ada, duit pun tak ada juga. Tidak timbul bermacam-macam penyelewengan. Kerana apa? Kerana kita yang berpegang dengan Islam ini ada perhitungan dosa pahala.” (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/6359-rehatkan-umno-beri-pas-perintah-dengan-islam )

9. Dalam perbahasan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 26 Oktober 2015, Tuan Guru sebagai Ahli Parlimen Marang mengambil peluang untuk mengkritik dan menegur kelemahan tatakelola pentadbiran kewangan negara dan kelemahan undang-undang negara serta penguatkuasaannya dalam menyelesaikan masalah 1MDB yang mengulangi siri-siri kleptokrasi negara. 

“Muhasabah sahaja terhadap bajet tidak mencukupi. Kita juga memerlukan pembetulan terhadap kesilapan dan tindakan yang adil terhadap penyelewengan. Seringkali berlakunya kehilangan wang negara dengan berbagai-bagai peristiwa yang ditinggalkan zaman tanpa penyelesaian dan ditutup puncanya dibawah karpet untuk dilupakan sehingga tidak menjadi iktibar. 

Undang-undang dan penguatkuasaannya laksana sarang labah-labah yang hanya memerangkap nyamuk dan lalat, meloloskan helang dan jerung yang besar. Peristiwa terkini yang diwar-warkan 1MDB hanyalah mengulangi drama BMF, PERWAJA, KPFZ, Maika Holding dan lain-lain.” (http://m.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/38095-bajet-2016-bertaubat-dan-maaf-tidak-menghukum ) 

10. Kenyataan beliau konsisten sejak dulu lagi, dalam ucapan Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 pada 7 April 2014 di Dewan Rakyat, beliau menyatakan kelemahan penguatkuasaan undang-undang negara: 

“Kami tidak lupa dengan isu MIF, isu PERWAJA, KWSP, Tabung Haji, Kapal Terbang Skyhawk, kapal selam dan lain-lain lagi. Tidak ada apa-apa tindakan, tindakannya terhadap ikan-ikan bilis yang kecil, yang besar tidak ada tindakan. Yang kena tindakan ialah pegawai-pegawai kerajaan. Orang-orang politik tidak ada tindakan. Menteri tidak ada tindakan. Yang kenanya pegawai-pegawai. Pegawai yang kena.” (Rujuk Hansard Parlimen 7 April 2014, muka surat 38) 

11. Seterusnya kita dapat melihat, Tuan Guru menganalisa sesuatu isu dan krisis yang berlaku dengan mengemukakan penyelesaian kepada punca permasalahan sebenar. Beliau menyarankan pada 4 Mac 2016 supaya kemelut 1MDB diselesaikan dengan kembali kepada Islam dan menukar sistem dan dasar negara, bukan semata-mata menukar individu atau pemimpin semata-mata. 

“Bukan nama tokoh pemimpin tertentu atau menukarnya sahaja silih berganti, adapun acuan, dasar dan konsepnya sama. Penyelesaiannya, ialah kembali kepada Islam yang sempurna, Islam wajib menjadi petunjuk yang diimani dalam semua urusan. Siapa pun yang dipecat atau diganti tanpa Islam dalam dirinya, tetap mengulangi perkara kesalahan yang sama. Dahulunya peristiwa BMF, KWSP, PETRONAS dan lain-lain lagi. Kemudiannya, SRI ISKANDAR, MAIKA, PKFZ dan selain itu. Terkini hangat, isu 1MDB dan seterusnya, lantik siapa sahaja dan melakukan apa sahaja.

Penyelesaiannya juga, pemimpin yang wajib mengubah minda, kefahaman, dasar matlamat dan mencari penasihat yang baik. Rakyat juga hendaklah sedar harga diri dan maruah manusia, yang harganya terlalu mahal, bukan politik pangkat, takhta, wanita dan harta. Atau berdegil sehingga tiba ajalnya tanpa berani membuat perubahan.”( http://m.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/40234-akibat-pisahkan-politik-daripada-agama ) 

12. Tambahan lagi, pada 13 Jun 2016 ketika membalas tohmahan Tun Dr. Mahathir kepada PAS, Tuan Guru menyebut agar diselesaikan masalah negara dengan mengubah perangai dan sikap kerajaan dan pembangkang kerana 1MDB adalah rantaian daripada isu-isu yang melanda sebelum ini lagi dan Tun M juga tidak terlepas.

"Kerana PAS tidak terpengaruh dengan dedaklah maka PAS boleh terus melangsungkan perjuangan. Tiada politik wang, politik BR1M, siapa yang ajar? Kes 1MDB mula dengan apa? KWSP, Perwaja, Tabung Haji, itu adalah rantaian daripada awal. Selagi tak mengubah pendekatan, tak ubah perangai selagi itulah perkara ini akan berlaku," (https://www.pas.org.my/kenyataan-berita/8793-pas-tidak-terpengaruh-dedak-umno )

13. Malah, Tuan Guru Presiden telah membangkitkan beberapa kali tentang isu 1MDB dalam ucapan perbahasan dan soalan-soalan beliau di Dewan Rakyat. Ini dapat diikuti pada 17 Mei 2016, Soalan No. 137, Tuan Guru mempersoalkan tindakan kerajaan terhadap cadangan PAC dan Laporan Audit Negara. 

“Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah tindakan Kerajaan terhadap cadangan yang telah dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bilakah Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan isu 1MDB akan didedahkan kepada umum.” 

14. Selain itu, Tuan Guru juga mempersoalkan tentang kertas siasatan SRC pada 14 Mac 2017, Soalan No. 47: 

“Dato' Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah alasan Kerajaan tidak membawa kertas siasatan SRC International (SRC) yang telah dikemukakan oleh SPRM ke mahkamah.”

15. Disamping itu, Soalan Lisan Ahli Parlimen Marang itu juga menyasarkan kepada isu-isu yang berkait dengan 1MDB secara langsung atau tidak langsung seperti kebebasan Jabatan Peguam Negara dalam mendakwa kes rasuah berprofil tinggi (7 Mac 2017, Soalan No. 75), pengisytiharan aset Menteri Kabinet kepada SPRM (21 Mac 2017, Soalan No. 28), usaha kerajaan untuk memastikan SPRM dapat bertindak secara bebas, telus dan professional (24 Oktober 2016, Soalan No. 45), usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan protokol dan keraian yang melibatkan elaun, kos perjalanan luar negara dan penganjuran program para menteri (8 Mac 2017, Soalan. No. 36) dan dana pembiayaan parti politik melalui cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (16 Mei 2016, Soalan No. 50).

16. Beberapa Soalan Bertulis juga menyentuh isu sama yang berkaitan; jumlah ketirisan dalam agensi kerajaan dan jumlah kes rasuah yang melibatkan pemimpin parti politik, individu berprofil tinggi dan penjawat awam.

17. Terkini, Tuan Guru mengutus surat terbuka kepada parti politik pada 24 Jun 2017 dengan menasihati supaya tidak mengundang campur tangan asing bagi menyelesaikan masalah dalaman negara.

“Jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, PERWAJA, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.

Apa pun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.

Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.” ( http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/53-presiden/1941-surat-terbuka-kepada-parti-politik-malaysia ) 

18. Tambahan lagi, Tuan Guru mengingatkan agar kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku di Asia Barat yang disifatkan musim bunga yang tidak berbuah dan berhati-hati dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa:

“Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.” 

19. Perkara sama disebut lebih awal dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 9 Mac 2016 di Dewan Rakyat: 
“Kita kena sabar membetulkan pemimpin, di mana pendekatan dalam negara sendiri, Arab Spring, apa jadi dengan Arab Spring. Arab Spring menjadi musim bunga yang tidak berbuah. Meletakkan berlaku campur tangan asing yang menghuru-harakan negara. Walaupun saya tidak setuju dengan kerajaan, tetapi kita sabar. PAS menyertai arena politik negara sejak sebelum merdeka sehingga hari ini. Parti-parti lain ini banyak yang baru ditubuhkan kemudian. Kita sabar, kita menang, kita kalah, kita rebah, kita bangun, kita banyak kerusi, tidak ada kerusi langsung, tidak kisah. Apa yang penting ialah jangan mengacau rakyat. Ini yang kita perlu jaga betul-betul.” (Rujuk Hansard Parlimen 9 Mac 2016, muka surat 47)

20. Dalam keghairahan pelbagai pihak mahu menjatuhkan pemimpin zalim, Tuan Guru Presiden mengajar cara berhikmah dalam Fiqh Taghyir (Fiqh Perubahan) dan Fiqh Amar Maaruf Nahi Mungkar yang diadun dengan Fiqh Siasah. Langkah PAS bukan langkah keluar mulut buaya, masuk mulut harimau. Menjatuhkan kezaliman bukan dengan membina kezaliman yang lain. Langkah PAS menukar kerajaan melalui pilihanraya secara aman, bukan mengundang campur tangan asing atau melalui jalanan. Inilah yang membezakan pendekatan PAS dengan parti-parti yang lain. 

21. Kesimpulannya, jelaslah bahawa pendirian Tuan Guru Presiden sejak dari awal sangat konsisten dalam menyelesaikan masalah 1MDB dengan mendesak hasil bedah siasatan yang telus dilakukan diperingkat dalaman negara tanpa melibatkan campur tangan asing, melakukan reformasi kepada sistem perundangan negara, pengasingan kuasa dan kebebasan kepada Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Polis daripada cengkaman kuasa kabinet. 

22. Laporan Jabatan Audit Negara juga perlu didedahkan dan dibebaskan daripada sekatan Akta Rahsia Rasmi (OSA), bertindak aktif terhadap cadangan yang dikemukakan oleh PAC dalam Laporan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dan membawa kertas siasatan SRC International (SRC) yang dikemukakan oleh SPRM ke mahkamah. Sehinggalah kini, pendirian PAS mendesak kerajaan dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pihak yang terbabit. 

23. Kita sedar dengan tindakan kerajaan meletakkan Laporan Audit 1MDB dibawah OSA dan menangguhkan penubuhan RCI adalah tindakan meragukan semua pihak dan mengundang ketidakyakinan terhadap ketelusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB. Justeru itu, Tuan Guru Presiden berpendirian, lakukan segera reformasi undang-undang negara dan ketelusan dalam siasatan dan pendakwaan dalam menyelesaikan masalah 1MDB tanpa melibatkan campur tangan kuasa asing. Segala pendirian Tuan Guru Presiden dijelaskan lebih terperinci oleh Timbalan Presiden dan pimpinan-pimpinan PAS. 

24. Kepada musuh politik, sila belajar mengeja dan membaca sebelum mencari di mana perkataan yang menyebut Tuan Guru Presiden PAS menyokong salah urus tadbir 1MDB. 

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL MALIK AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Bertarikh: 9 Syawal 1438H / 3 Julai 2017M