Thursday, November 22, 2018

'Zahid enggan ulas, Annuar tak nafikan ...'




MUHAMMAD SHAMSUL ABD GAHNI


Zahid Hamidi, Annuar Musa



KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas lanjut berhubung pendedahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai punca kelewatan keputusan PRU14 lalu, disebabkan wujudnya komplot memujuk pemimpin Melayu-Islam daripada PH untuk membentuk kerajaan bersama Umno-Pas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata, isu itu perlu dirujuk terus kepada Dr Mahathir.


"Tanya beliau (Dr Mahathir)," katanya ringkas berulang kali kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Dr Mahathir.


[ARTIKEL BERKAITAN: Ini puncanya kelewatan PH diumum menang PRU14 lalu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tun M kata Harapan sudah menang]

Kelmarin Perdana Menteri dalam wawancara bersama Mekong Review di Kemboja, dipetik berkata, Umno-Pas mahukan kelebihan kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan sambil memainkan sentimen mengatakan PH tidak akan mampu mempertahankan kedudukan Islam seperti BN.

Bagaimanapun kata Dr Mahathir mereka dinasihati agar tidak berbuat demikian.

Beliau berkata, disebabkan itulah, berlaku kelewatan pengisytiharan kemenangan PH.

Katanya lagi, peralihan kuasa yang berlaku pada PRU14 itu ‘tidak selancar’ seperti dilihat dari luar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa pula sebaliknya tidak menafikan bahawa wujudnya sesi memujuk pemimpin Melayu-Islam daripada PH untuk membentuk kerajaan bersama Umno-Pas.

Katanya, perkara itu biasa berlaku dalam mana-mana sistem politik dunia.

"Saya fikir ia berlaku dalam mana-mana PRU di mana-mana negara.

"Saya fikir ia adalah perkara biasa.Jadi saya tidak nafikan," katanya.

No comments:

Post a Comment