Thursday, November 22, 2018

Najib akui Umno sekat bakat baharu




TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN


Najib Tun Razak)




SHAH ALAM - Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui parti itu menyekat bakat baharu yang wujud dalam Umno.

Menurutnya, ia adalah antara salah satu kelemahan Umno yang perlu diperbaiki.


"Salah satu kelemahan, kita menyekat bakat- bakat baharu dalam Umno," katanya.

Sehubungan itu katanya, sudah tiba masanya Umno membuka pintu dan menerima golongan itu.


"Kita kena buka pintu dan bina semula bahtera bersama," katanya dalam program Sinar Live Eksklusif oleh Sinar Harian hari ini.

Meskipun dianggap sebagai bahtera yang hampir karam, Najib optimis Umno mampu kembali berada di puncak.

"Kita mesti yakin bahawa mesti ada masa depan untuk Umno kembali semula seperti sedia kala dengan syarat semua mesti bersatu, sayang dan menunjukkan komitmen parti.

"Pokoknya sekarang perlu ada hala tuju jelas," katanya.

Menurutnya, Umno mesti berani menjadi pembangkang yang efektif dan konstruktif dalam sistem demokrasi berparlimen.

"Kita tidak mahu menjadi pembangkang sembrono. Perlu ada fakta dan cara kita kerana Umno adalah parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Berbekalkan dengan pengalaman menerajui parti selama sembilan tahun, Najib berkata beliau meneruskan khidmatnya dengan membantu Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk memperkukuhkan parti.

"Itu adalah peranan saya. Saya harap tiada siapa yang khuatir kerana saya bukan ancaman kepada sesiapa.

"Saya cuma tawarkan diri sebagai pemimpin berdasarkan pengalaman," katanya yang menjawab soalan Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali.

Beliau berharap ahli Umno terus bersatu memberi sokongan dan komitmen dalam usaha mengembalikan kedudukan parti.

"Saya tidak boleh melakukan keseorangan, saya harap rakan- rakan dapat membantu secara kolektif," katanya.

No comments:

Post a Comment