Thursday, November 22, 2018

MOORTHY ‘DIBELASAH’ SECARA ‘BERJAMAAH’ DI PARLIMEN




Wartawan Watan-Online





Dewan Rakyat hari ini ‘panas’ apabila ahli Parlimen pembangkang secara ‘berjamaah’ mengambil peluang ‘membelasah’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat kementerian.

Malah, turut bergema laungan ‘rasis’ dilemparkan terhadap pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF).

Laungan yang datang daripada blok pembangkang itu berikutan rasa tidak berpuas hati dengan penularan kembali video wawancara Waytha Moorty kira-kira 10 tahun lalu di Belanda yang dilihat banyak pihak telah memanipulasi beberapa perkara berkaitan layanan terhadap masyarakat India di negara ini.

Video wawancara itu didakwa dibuat selepas demonstrasi HINDRAF dijalankan pada November 2007 di mana beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap malah beliau sendiri turut ditangkap dan mendakwa telah diseksa.

Selain itu, tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang itu juga rentetan penjelasan diberikan Waytha Moorty berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) ketika menggulung perbahasan yang didakwa sebagai tidak jujur dan memutar-belit.

Waytha Moorty dilihat berseorangan menerima kritikan daripada blok pembangkang apabila tidak kelihatan wakil-wakil rakyat penyokong kerajaan bangun mempertahankan beliau.

Situasi itu menyaksikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusoff beberapa kali terpaksa menutup sistem pembesar suara untuk meredakan keadaan, namun tidak berhasil.

Waytha Moorty yang menerima tekanan apabila cuba ‘menegakkan benang yang basah’ dengan mempertahankan kenyataan dibuat 10 tahun lalu itu adalah kerana layanan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini langsung tidak membantu meredakan ketegangan dalam dewan.

Ditambah pula apabila Waytha Moorty sekeras-kerasnya menafikan pernah membuat kenyataan kerajaan bakal meratifikasi ICERD yang telah menimbulkan polemik hari ini.

Mungkin tidak tahan dengan desakan yang diterima, Waytha Moorthy memaklumkan kepada Mohamad Ariff beliau akan mengemukakan jawapan bertulis kepada persoalan yang belum terjawab di dalam perbahasannya.

No comments:

Post a Comment