Thursday, November 22, 2018

MCA TETAP TOLAK PAS



Wartawan Watan-Online





Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa mengkhianati semangat BN kerana cuba mempelawa PAS secara terbuka untuk bergabung dalam gerakan politik.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, sepatutnya Ahmad Zahid memegang semangat setia kawan dengan semua parti komponen dalam BN yang selama ini membantah kerjasama dengan PAS.

“Sudah berulang kali kami nyatakan nilai teras dan ideologi kita dengan PAS tidak sama, jadi tolonglah hormat MCA dan parti komponen lain dalam BN.

“Memanglah UMNO bebas untuk buat apa saja yang mereka mahu, tapi pada masa yang sama, kamu masih sebahagian daripada BN dan sepatutnya menjaga perasaan parti-parti komponen,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Isnin.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika berucap dalam Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak mempelawa PAS untuk bersama-sama mereka dalam gerakan politik.

Sementara itu, Presiden MIC, Tan Sri. S.A. Vigneswaran berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Pas demi survival BN walau bagaimanapun pendirian itu perlu diteliti selepas berbincang dengan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Kata beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, tidak menjadi sebarang masalah untuk BN bekerjasama dengan Pas kerana parti tersebut dilihat tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada agama lain.

“Jika DAP dahulu pembangkang dan sekarang menjadi kerajaan boleh kerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah), apa beza dengan PAS? PAS tidak pernah musnahkan mana-mana kuil,” katanya.

No comments:

Post a Comment