Thursday, November 22, 2018

Audit forensik ke atas semua projek bermasalah, terbengkalai LKIM








Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil hari ini mencadangkan audit forensik dijalankan ke atas projek-projek LKIM yang bermasalah dan terbengkalai.

Beliau berkata, audit forensik perlu dilakukan bagi meneliti kelemahan dan kepincangan dalam pelaksanaan projek-projek tersebut di samping mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Antara projek terbengkalai dan bermasalah yang disebutkan adalah Kompleks Pendaratan Ikan di Tok Bali dan di Kuala Selangor juga di beberapa projek LKIM yang lain.


“Sewaktu saya melawat di Jeti Tumpat dua hari yang lalu, saya amat malu dengan para nelayan apabila melihat projek Slipway yang terbengkalai di hadapan mata saya.

“Oleh itu, saya mencadangkan untuk mengadakan audit forensik terhadap semua projek LKIM yang terbengkalai dan bermasalah bagi mengenal pasti kelemahan yang wujud terhadap projek-projek tersebut.” ujarnya ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti LKIM 2018 di Wisma LKIM, Pulau Meranti Selangor hari ini.


Beliau juga turut membangkitkan isu kerugian yang ditanggung oleh anak syarikat LKIM iaitu Majuikan Sdn. Bhd. yang menanggung kerugian lebih RM100 juta hasil daripada kelemahan urus tadbir syarikat tersebut seperti dalam Laporan Audit LKIM 2016.

Beliau mahu isu yang melibatkan Majuikan Sdn. Bhd. ini dijadikan pengajaran oleh semua pihak khususnya warga LKIM agar perkara yang sama tidak lagi berlaku pada masa akan datang. Isu yang melibatkan Majuikan Sdn. Bhd.

“Ini ternyata telah menjejaskan reputasi dan integriti LKIM kerana isu ini hangat diperkatakan oleh ramai pihak di seluruh negara. Ketirisan yang berlaku ini ternyata telah memberikan kesan yang buruk khususnya kepada para nelayan yang merupakan pemegang taruh utama LKIM,” ujarnya.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir berkata, walaupun isu-isu yang melanda memberikan imej buruk kepada LKIM, namun beliau berazam untuk memulihkan semula imej dan keyakinan masyarakat terhadap LKIM melalui tadbir urus yang lebih baik dan cekap serta bebas ketirisan di masa akan datang.



Berita penuh https://malaysiadateline.com/audit-forensik-ke-atas-semua-projek-bermasalah-terbengkalai-lkim/

No comments:

Post a Comment