Thursday, May 12, 2016

‘Pecat Husam: Pengaruh Pas Kelantan merosot teruk’


Pemecatan Husam Musa daripada Pas bakal mengundang kemerosotan pengaruh yang lebih parah ke atas parti Islam itu.

Hal ini kerana ahli melihat layanan Pas terhadap Husam sangat berbeza berbanding sesetengah pemimpin yang tidak diambil tindakan meskipun berbuat pelbagai salah laku menurut perlembagaan parti.

Khasnya di Kelantan, ramai ahli Pas bakal mengalihkan sokongan mereka kepada kumpulan lain bila mana Husam telah dipecat. Sesungguhnya sumbangan Husam kepada pemodenan Pas Kelantan amat besar dan bermakna.

Tanpa bela diri

Amatlah malang sekiranya pemimpin Pas baru atau yang telah pencen menghina Husam serta memburukkan peribadi beliau. Bukan bermakna Husam itu maksum tetapi ketika hayatnya, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat tidak pernah ‘mengata’ Husam sama ada dalam hal politik atau peribadi.

Impak perpecahan dalam kalangan Pas Kelantan sebelum Husam dipecat telah pun jelas kelihatan, inikan pula selepas Daeng Sanusi Daeng Mariok sebagai pengerusi Jawatankuasa Disiplin mengumumkan pemecatan Husam.

Pemecatan tanpa membuka ruang perbicaraan dan memanggil Husam membela diri memperlihatkan seolah-olah Pas sangat gelojoh dan tidak sabar-sabar hendak memuaskan nafsu sesetengah pimpinan parti itu yang mahu menguasai sepenuhnya hirarki parti.

Kesan buruk kepada pemecatan Husam tentulah tidak boleh dielakkan pada pilihan raya akan datang. Kedudukan kerusi yang dimenangi Pas diramal menjunam kerana pengundi Kelantan adalah pengundi yang mengenang budi.

Untung Amanah

Kemunculan parti baru yang berhasrat meneruskan legasi Nik Aziz dan Fadzil Nor serta dipimpin oleh bekas-bekas aktivis Pas profesional yang membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) pasti akan mendapat sambutan di Kelantan. Hal ini kerana pengundi di Kelantan sangat berani untuk berubah.

Amanah dijangka mampu mengugat penguasaan Pas yang bertapak di negeri itu sejak tahun 1990an.

Secara umumnya, diramalkan 10 DUN Kelantan akan terlepas dari kawalan Pas. Perubahan ini bukan kerana pengundi beralih kepada Umno BN tetapi hilang kepercayaan kepada Pas yang sering bergolak dan tidak jelas perjuangannya menentang BN.

Catatan: Penulis merupakan rakan rapat bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Dato’ Harun Taib. Penulis bimbang dengan tindakan golongan muda Pas daripada Dewan Penyelidikan Pas Pusat hingga kepada penasihat Presiden Hj Hadi yang jauh terpesong daripada kaedah perjuangan Tok Guru Nik Aziz dan ustaz Fadzil Noor.

No comments:

Post a Comment