Thursday, May 12, 2016

AMANAH Mahu Bertanding Di Kuala Kangsar - Nizar



Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar berlandaskan persefahaman yang di meterai bersama PKR dan DAP kata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu menegaskan ketetapan bahawa parti itu akan bertanding kerusi-kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh Pas dicapai menerusi mesyuarat presiden Pakatan Harapan, justeru harus di jadikan sandaran dalam pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar di Perak.

"Kalau ikut prinsip asal semasa mesyuarat Presiden Pakatan Harapan, mana-mana kerusi yang ditandingi Pas, oleh kerana Amanah menggantikan PAS, maka mana-mana kerusi yang Pas bertanding, automatik Amanah akan ambil tempat itu bertanding mewakili Pakatan Harapan," katanya kepada sebuah portal berita.

Kerusi parlimen Kuala Kangsar adakah kubu Umno dan secara lazimnya adalah saingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Namun dengan kemunculan Amanah, PRK Kuala Kangsar di jangka menyaksikan saingan tiga penjuru atau lebih di samping meletakkan PKR di dalam keadaan politik yang agak tersepit.

Ini kerana PKR mempunyai kerjasama politik dengan Amanah menerusi Pakatan Harapan dan pada masa sama masih menjalin permuafakatan dengan Pas.

Meskipun tewas di semua 13 kerusi yang ditandingi di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, Amanah meletakkan harapan tinggi pada PRK Kuala Kangsar memandangkan parti itu mempunyai penyokong agak ramai berbanding negeri lain.

Namun parti itu memerlukan sokongan kuat PKR untuk memberi cabaran kepada BN.

"(Kami) memang kuat di Perak, dan keduanya, hampir 30 peratus pengundi Kuala Kangsar adalah bukan Melayu. Dan orang bukan Melayu akan tolak Pas, itu berdasarkan pengalaman saya di Changkat Jering dan Bukit Gantang," kata Nizar.

Bagaimanapun Nizar yang juga Adun Changkat Jering itu berkata, keputusan muktamad akan diputuskan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan pada 15 Mei ini.

"Kena buat keputusan dulu sama ada yang mewakili Pakatan Harapan itu siapa dia. Kalau Pakatan Harapan setuju Amanah yang akan mewakili Pakatan Harapan, maka Amanah akan masuk bertanding dan bekerja kuat," kata Nizar.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lalu.

Selain Wan Mohammad Khair-il, turut terkorban dalam insiden itu adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, bersama empat penumpang lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan calon bebas.

Calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim memperoleh 447 undi.

BN juga mengekalkan kerusi parlimen Sungei Besar dengan Noriah memperoleh majoriti 399 undi, menewaskan calon Pas Mohammed Salleh M Husin laporMalaysiadateline

No comments:

Post a Comment