Sunday, May 8, 2016

AMANAH Wajar Wakili PH Di Kuala Kangsar Dan Sungai Besar





Elak kepartian sempit, teruskan berjuang- Wan Azizah

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa agar parti-parti komponen pembangkang supaya mengatasi isu kepartian sempit demi perpaduan nasional.

Ini kerana pihaknya menghadapi pelbagai cabaran dan halangan yang sekali gus menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini pilihan raya yang paling sukar bagi PKR.


“Pelbagai cabaran dan halangan mengingatkan kami untuk terus istiqamah dalam perjuangan mendesak pilihan raya yang lebih bebas dan adil sebelum pilihanraya umum yang akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah akan terus mengangkat suara rakyat tanpa rasa takut kerana percaya masih banyak yang perlu diusahakan demi membina masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Kami berjanji untuk terus berkhidmat dan mempertahankan kepentingan rakyat Sarawak, sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen,” katanya lagi.

Sementara itu, DAP dijangka melakukan ‘post-mortem’ selepas mengalami kehilangan lima kerusinya kepada BN.

“Parti akan menjalankan post-mortem dan tunggu laporan penuh daripada pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen. Ia termasuk kegagalan membawa sebarang kemajuan di kerusi luar bandar,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga bertekad untuk bekerjasama dengan parti PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pakatan Harapan.

“Terdapat keperluan untuk mengukuhkan mekanisme dalaman Pakatan Harapan supaya perjanjian yang dibuat dihormati selain dipertahankan. Pakatan perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan kita,” jelas beliau lagi.

PKR tewas di 37 kerusi namun mengekalkan kesemua kerusi dimenanginya pada pilihan raya Sarawak 2011 iaitu di Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan.

DAP yang bertanding di 31 kerusi hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu. -FMT



Azmin ajak PAS bersama Pakatan Harapan
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengajak PAS untuk kembali bersama DAP dan PKR sebagai satu pasukan bagi menghadapi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak semalam, yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

"Justeru, Amanah (Parti Amanah Negara) dan PAS haruslah terus mara bersama PKR dan DAP. Kita perlu bergerak ke hadapan secara bersama bagi menghadapi PRU-14 sebagai satu pasukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Keputusan PRN Sarawak ke-11 menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri termasuk dua kerusi yang dimenangi tanpa bertanding.

DAP yang sebelum ini menguasai 12 kerusi hanya menang di tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya manakala PKR hanya menang tiga daripada 41 kerusi yang ditandingi. PAS dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.

"Pencapaian kita mungkin lebih baik jika sejak awal lagi kita bersatu hati dan bekerjasama seperti kelaziman kita.

"Kita harus akur yang rakan-rakan sekutu kita akan terus berbeza pendapat dalam isu tertentu pada masa hadapan namun keyakinan yang didorong semangat kebersamaan selama ini akan terus membantu kita melangkaui perbezaan ini," kata Azmin.

PAS sebelum ini memutuskan untuk tidak lagi bersama pakatan pembangkang.

Beberapa bekas pemimpin kanan PAS turut menubuhkan Amanah dan bekerjasama dengan DAP dan PKR, manakala PAS pula menubuhkan satu lagi pakatan pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan). -Bernama

ULASAN GB

Dua PRK menunggu di hadapan. Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Penyandangnya kedua-dua kerusi itu adalah ialah BN setelah BN menewas PAS dengan majoriti yang agak tipis.

Di P067 Kuala kangsar BN mengalahkan PAS dengan majoriti 1082 undi dan di P93 Sungai Besar BN mengalahkan PAS juga dengan majoriti 399 undi.

Sekarang ini PAS sudah keluar dari Pakatan, dan PAS juga telah mengisytiharkan DAP dan AMANAH sebagai musuhnya.

PAS sudah menjadi parti perkauman, sama seperti UMNO. PAS bersama parti serpihan UMNO, IKATAN membentuk pakatan baharu bernama PASIK. Apabila menyedari IKATAN cuma ada 79 ahli, lalu kini ada ura-ura untuk memancing NGO mesra UMNO, ISMA untuk bersama mereka.

Di dalam PRN Sarawak PAS bertempik sorak di sana sini berbangga dengan pencapaiannya dengan mengatakan tanpa bantuan PH mereka mampu mendapat undi yang lebih besar dari AMANAH.

Tetapi mereka meluapakan fakta bahawa PAS sudah 60 tahun ditubuhkan sedangkan AMANAH baharu 6 bulan. AMANAH belum sempat pun membuka cawangan-cawangannya di Sarawak. Kita lihat perbandingan undi popula di Sarawak:

PECAHAN UNDI POPULAR PRN SARAWAK 2016

Barisan Nasional : 63.72%
DAP : 18.21%
PKR : 9.29%
PAS : 1.70%
AMANAH : 1.24%

Melihat angka di atas, jelas sekali bahawa AMANAH sekalipun baru berusia 6 bulan sudah berjaya memeperolehi undi popular yang hampir dengan PAS yang telah berusia 60 tahun (1.24% berbanding 1.70%)

Untuk menumbangkan BN hanya ada satu jalan - semua parti pembangkang bergabung. Tetapi apakah PAS bersedia menghapuskan ego dan angkuh mereka seperti yang diminta oleh presiden PKR, Wan Azizah supaya parti pembangkang supaya mengatasi isu kepartian sempit demi perpaduan nasional? Begitu juga dengan seruan Azmin Ali supaya PAS kembali bersama Pakatan Harapan?

GB tidak nampak PAS akan bersetuju sebab pendirian PAS sudah jelas - mereka menolak untuk bersama Pakatan Harapan. Mereka hanya berkata mereka menang dulu pun kerana kekuatan mereka bukan bantuan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat walaupun di Selangor mereka akur bahawa mereka menang kerana adanya DAP dan PKR semata-mata untuk mengekalkan kedudukan mereka di dalam kerajaan negeri Selangor.

Di atas sebab itu, AMANAH yang menggantikan tempat PAS di dalam Pakatan, perlu menggalas tanggungjawab dan diberi laluan untuk bertanding di dalam PRK-PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar mewakili Pakatan Harapan. Manakala DAP dan PKR wajar memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan di PRK-PRK berkenaan.

No comments:

Post a Comment