Sunday, May 15, 2016

Bila Pakatan Harapan terpaksa bergantung pada PAS...


Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Reaksi rasmi presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap isu kononnnya PKR mempelawa PAS kembali pada gabungan pembangkang menyerlahkan dinamika politik parti-parti musuh Umno-BN hari ini.
 
Pertama sekali, Wan Azizah mengesahkan bahawa pelawaan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali tidak mewakili partinya kerana itu hanyalah inisiatif peribadi. 
 
Kedua, reaksi itu juga menggambarkan bahawa PKR masih akur pada protokol politik Pakatan Harapan di mana setiap langkah politik harus diatur dan dipersetujui bersama. 
 
Lantas, ia membawa mesej perbalahan berhubung pembahagian kerusi dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak awal Mei lalu, bukanlah sesuatu yang boleh dianggap "rasmi" dan ada kemungkinan ia juga bersifat inisiatif peribadi.
 
Kemungkinan ketiga ialah, penjelasan Wan Azizah ini boleh dibaca sebagai ada masalah komunikasi dalam PKR di mana timbalannya dilihat  membuat keputusan yang tidak dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat parti. 
 
"Ia bukan pelawaan daripada kami, ia adalah daripada menteri besar (Azmin)," kata Wan Azizah.
 
Apabila diminta komen beliau mengenai syor PAS supaya PKR menyertai blok pembangkang dianggotai PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Wan Azizah berkata ia adalah reaksi PAS terhadap jemputan Azmin.
 
"Biar saya jelaskan bahawa ia bukan satu langkah perdamaian (PAS). Ia hanya reaksi kepada jemputan oleh menteri besar," kata Presiden PKR itu.
 
Isnin lalu, Azmin menggesa parti-parti pembangkang  'bermuhasabah' dan sekali lagi berjuang dalam pilihanraya umum akan datang sebagai satu pakatan.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Mohammad Amar Abdullah sebaliknya mencadangkan PKR perlu menyertai 'kuasa ketiga' mereka bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
 
Keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak menginsafkan banyak pihak terutamanya Pakatan Harapan bahawa pertelagahan sesama sendiri hanya menguntungkan Barisan Nasional. 
 
Malangnya, PH tiada pemimpin berkarisma untuk merapatkan kembali hubungan kerjasama politik sesama mereka sendiri. 
 
Dalam hubungan ini, PAS sudah awal-awal lagi membuat "tempahan politik" bahawa ia pasti meletakkan calonnya dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. 
 
Kemuncak iltizam PAS ini ialah apabila Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran bahawa PAS tidak akan berganjak daripada keputusan untuk meletakkan calon bagi kedua-dua PRK berkenaan. 
 
Beliau juga mengingatkan bahawa jika pembangkang tidak mahu kedua-dua kerusi PRK itu terlepas ke tangan Umno-BN maka "janganlah menganggap bahawa PRK berkenaan adalah tempat menguji populariti" sahaja.
 
Umum tahu amaran itu bulat ditujukan kepada Parti Amanah Negara (PAN). Dalam PRN Sarawak PAN meletakkan 13 calon, dua lebih daripada PAS. Ini membuktikan bahawa PAN memang menganggap PAS adalah musuh hakikinya. 
 
PAN kelihatan tidak sabar mempamerkan kekuatan politiknya. Selepas merasakan nikmat berkongsi kuasa dengan DAP, PKR dan PAS di Selangor, PAN  jelas mengidamkan kedudukan politik lebih besar dan berpengaruh. 
 
"Jika mereka berprinsip, PAS sepatutnya keluar dari Selangor," bidas Setiausaha Agung PAN, Haji Anuar Tahir yang kurang senang PAS hanya mahu berunding dengan PKR dalam isu membabitkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
"PAS sepatutnya sudah lama keluar dari (kerajaan negeri) Selangor. Tinggalkan kerusi mereka selepas menjalin kerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menubuhkan blok pembangkang baru. 
 
"Itulah sikap PAS pentingkan diri sendiri…sebab itu mereka berpecah (dari Pakatan Harapan) dan bentuk blok Ketiga bersama Ikatan pula. Kononnya mahu letak PAS dalam kelas tersendiri, realitinya mereka pentingkan diri.
 
"PAS fikir ini pilihanraya Selangor agaknya, sebab itu mereka hanya mahu bincang dengan PKR. Sudah pasti ajakan kepada PKR mempunyai kepentingan sendiri, terutama kepentingan mereka dalam negeri Selangor," katanya.
 
PAN kelihatan tidak sabar kerana tidak selesa membayangkan PAS menjadi rakan kongsi dalam blok pembangkang. Ia khuatir PAS mengambil keputusan memperbaharui tahaluf siyasinya dengan DAP dan PKR.
 
Bagaimanapun sebagai sebuah parti sekular lagi pragmatik, DAP juga mungkin masih menyesali akibat bertelagah dengan PKR di dalam PRN Sarawak. Persaingan dengan PKR dan PAS adalah satu pengalaman perit. 
 
Jika ia tidak ramah dalam dialog dengan PAS, ada kemungkinan keadaan akan bertambah kusut dan ia akan kehilangan rakan dalam bentuk PKR pula. Justeru ia pasti terpaksa bersikap terbuka dan berbaik dengan PAS.
 
Ada dua persoalan yang timbul di sini. Adakah DAP akan bersetuju PAS bertanding dalam kedua-dua PRK? Jika ia, bagaimana pendiriannya sebelum ini bahawa ia hanya menganggap PAN sahaja sahabatnya?
 
Sehubungan itu, jika bulat keputusan untuk mengizinkan PAS sahaja mewakili pembangkang dalam kedua-dua PRK, adakah DAP tergamak untuk berkempen supaya penyokong-penyokongnya di Kuala Kangsar dan Sungai Besar mengundi PAS?
 
DAP sudah menganggap PAS sebagai parti "pariah" dan secara unilateral memfasakhkannya dari Pakatan Rakyat dan kemudian tidak membuka pintu Pakatan Harapan pada PAS.
 
Ini semua berlaku dalam tempoh setahun lalu dan kemuncaknya ialah apabila PAS bertindak balas dengan memutuskan tahaluf siyasinya dengan DAP dalam muktamarnya tahun lalu. 
 
Kini muktamar PAS akan diadakan dua minggu lagi sementara tarikh penamaan calon adalah sehari selepas PAS bersidang. Jika PAS terus tegas dalam muktamar tidak mahu tarik diri dari bertanding di kedua-dua PRK berkenaan, apa PH boleh buat?
 
Adakah PH, terutama DAP bersedia membuat pengakuan terbuka akan menyokong calon PAS demi menafikan kemenangan untuk Umno-BN? Jika demikian bagaimana dengan rengekan PAN yang mahu membuktikan potensi politiknya besar?
 
PH tidak mempunyai banyak masa. Sebelum muktamar PAS isu kerjasama dengan PAS, mesti diselesaikan. Jika tidak PAS sukar dipersalahkan jika muktamarnya mengambil keputusan mengutamakan kepentingannya sahaja.
 
Jika tidak, Umno BN akan menang lagi…

No comments:

Post a Comment