Sunday, May 15, 2016

KU LI HARUS PERTIMBANG TARIK BALIK SOKONGAN TERHADAP NAJIB


shahbudindotcom


GAMBARAN SALAH OLEH JAWATANKUASA KIRA-KIRA WANG NEGARA

Adalah dilaporkan bahawa kenyataan tertentu di dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk dibentangkan dalam Parlimen telah dipadam. Ini merupakan perkara penting yang penuh kontroversi. Ia juga berkaitan dengan pemindahan wang yang kononnya dipinjam daripada peminjam antarabangsa dengan cara di luar batasan undang-undang.

2. Saya risau mengenai perkara ini kerana kita semestinya mempertahankan integriti dan kedudukan Dewan Rakyat sebagai sebuah badan di mana Ahli-Ahli Dewan seharusnya bertindak dengan penuh tanggungjawab dan jujur tanpa mengelirukan rakyat.

3. Dengan adanya pemadaman ini, saya risau sama ada Laporan yang akan dibawa ke Dewan Rakyat itu merupakan laporan yang boleh dipertahankan memandangkan ia berkaitan dengan pinjaman wang oleh 1MDB yang kononnya dibuat bagi pihak negara. Pemadaman tersebut sebenarnya bukan sahaja di luar batasan undang-undang tetapi merupakan juga pemesongan serius terhadap Seksyen 9(i), (j) dan (n)(iii) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

4. Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 adalah bermaksud untuk melindungi dan mempertahankan integriti serta nama baik Dewan Rakyat demi memastikan keyakinan rakyat terhadap Parlimen sebagai badan perlembagaan untuk menjamin kepentingan mereka.  Pemesongan terhadap Seksyen di dalam Akta yang saya sebutkan itu merangkumi pengubahan, salah pembentangan dan penipuan terhadap dokumen yang dibentang di Dewan Rakyat. Ini merupakan kesalahan mengikut peruntukan di dalam   Akta ini. Ini juga bermakna apa jua pemadaman yang dibuat boleh mendatangkan keraguan di kalangan rakyat mengenai sama ada Laporan tersebut mencerminkan atau tidak akan  kebenaran keseluruhan kenyataan mengenai isu 1MDB.

5. Oleh itu, atas sebab-sebab yang disebut saya sekali lagi menyeru agar Laporan Ketua Audit Negara, yang diklasifikasi sebagai "Rahsia Rasmi",  diubah  kepada "untuk tatapan umum". Saya juga membuat seruan ini kerana mengikut Perlembagaan, Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebenarnya berhak mendapat Laporan Ketua Audit Negara sebelum Parlimen bersidang pada 16hb Mei, 2016. Isu-isu yang dibangkitkan itu amat penting kepada rakyat dan tidak ada sebab kenapa Laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi. Saya mengulangi juga keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato' Sri Najib supaya Ketua Audit Negara menyiasat isu 1MDB dan menyerahkan hasil penyiasatan tersebut sebagai laporan untuk pertimbangan Dewan Rakyat. Dalam membuat keputusan tersebut, Y.A.B. Perdana Menteri memberi gambaran bahawa tidak ada apa yang hendak diselindungkan.

Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur,
14 Mei 2016 bersamaan
7 Syaaban 1437H.


Di atas adalah kenyataan akhbar oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang secara kesimpulannya mahukan kerajaan segera menarik balik label Akta Rahsia Rasmi atau OSA terhadap Laporan Audit mengenai 1MDB, sebaliknya diubah untuk tatapan umum berikutan wujudnya pelbagai kesangsian terhadap Laporan PAC dibentangkan di Parlimen kerana terdapat beberapa ayat dalam laporan itu didapati telah dipadamkan.

Ini adalah permintaan kali kedua oleh Tengku Razaleigh terhadap pembebasan Laporan Audit 1MDB daripada OSA di mana kali pertama beliau berbuat demikian pada 23 April lalu iaitu selepas bersama-sama Najib menghadiri majlis memperingati 10 tahun pemergian Tun Ghafar Baba di Melaka.

Dengan sudah dua kali berbuat demikian dalam tempoh yang singkat, sekurang-kurangnya menggambarkan keprihatinan Tengku Razaleigh terhadap masalah 1MDB yang menjadi perbualan seluruh rakyat, lebih-lebih lagi sesi Parlimen akan memulakan sidangnya pada Isnin, 16 Mei ini.

Maka, jika Najib benar-benar jujur, ikhlas dan tiada apa yang cuba diselindungkannya, beliau seharusnya segera membenarkan Laporan Audit 1MDB itu bebas untuk ditatap, dibaca dan dianalisa oleh Ahli-Ahli Parlimen dan sesiapa saja menjelang sesinya yang akan datang ini.

Kepada Tengku Razaleigh pula, jika Najib terus buat "selamba" dan "keras kepala"  dengan tidak mengendahkan sama sekali dua kali desakannya ini, ada baiknya jika beliau segera bertindak menarik balik sokongan yang pernah diberikan sebelum ini kepada Perdana Menteri melalui kesediaan menandatangani Deklarasi Kelantan.

Hakikatnya jika Najib seolah-olah masih mahu melindungkan sesuatu berkaitan 1MDB, tidak guna sama sekali beliau terus diberikan sokongan, tambahan pula Deklarasi Rakyat sudah pun mendapat 1,271,997 tandatangan dan akan terus bertambah dari semasa ke semasa.

Bertindaklah, Ku....

No comments:

Post a Comment