Oleh : Shuhaimi Al-Maniri
Ketika menulis kolum Kalam Perantau ini, saya tak sempat lagi meneliti secara terperinci keputusan-keputusan pilihanraya negeri Sarawak kali ke-11 pada 7hb Mei, 2016 yang baru diumumkan pada hari tersebut. Sebagaimana yang dijangka, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang tidak sehaluan pada kali ini.
Gelombang demam Adnan menyebabkan BN berjaya menang 72 daripada 82 kerusi atau 87.8 peratus berbanding BN hanya mendapat 55 daripada 70 kerusi (78.6 peratus) pada PRN 2011. Ini mengulangi kejayaan 2006 apabila BN menguasai 88.6 Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihanraya Negeri Sarawak pada 7hb Mei lalu, parti-parti pembangkang peringkat federal terdiri dari PKR-DAP-PAN yang membentuk Pakatan Harapan dan PAS telah mundur setapak ke belakang berbanding pada pilihanraya negeri Sarawak 2011.
Sama ada disedari atau tidak, rakyat Sarawak tidak memberikan harapan pada mereka untuk memerintan malah untuk menang pun sukar bila PKR dan DAP bertembung sesama sendiri sebanyak 6 kerusi menyebabkan DAP dan PKR tewas kepada BN di semua kawasan bertindih. Kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Ngemah, Mambong, Simanggang, Murum dan Mulu.
Bukan sahaja impian DAP menembusi kawasan bumiputera juga gagal, malah turut hilang 5 kerusi DUN majoriti Cina yang dimenangi sebelum ini. Selepas mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan lima kerusinya pada pilihan raya Sarawak Ke-11, DAP hari ini mengakui bahawa sokongan masyarakat Cina kembali beralih kepada BN.
Lebih parah 63 calon telah hilang wang deposit dimana PKR (10 calon), PAN (9 calon), DAP (7 calon), PAS (7 calon), STAR (7 calon), PBDS (5 calon) dan 18 calon Bebas dimana 35 kawasan memperlihatkan pertarungan satu lawan satu, 28 (tiga penjuru) 12 (empat penjuru) dan lima (lima penjuru).
Dalam pilihanraya kali ini, DAP menang 7 kerusi sahaja dan PKR pula hanya mampu kekal 3 DUN yang dimenangi sebelum ini. Ketiga-tiga kerusi itu adalah N11 Batu Lintang, N39 Krian dan N81 Ba’kelalan. Manakala DAP pula hanya mengekalkan tujuh kerusinya iaitu Pelawan, Pujut, Bukit Assek, Padungan, Kota Sentosa, Pending dan Tanjong Batu.
PAS dan parti serpihannya, PAN bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka. PAS bertanding 11 kerusi manakala PAN pula 13. Lebih menyedihkan PAN menentang PAS di 5 kerusi DUN. PAN telah hilang deposit pada kerusi DUN yang ditandingi menentang PAS, Samariang (Nani Shahari, 389 undi), Muara Tuang (Abang Abdul Halili Abang naili, 765 undi), Sadong Jaya (Othman Mustafa, 157 undi), Sebuyau (Andrew Jain, 164 undi)) dan Beting Maro (Andri Zulkarnain Hamden, 103 undi).
Walaupun calon parti Islam berjaya mendapat serba sedikit sokongan dibeberapa tempat, amat jelas sekali dalam pertembungan kedua-dua parti ini, undi yang di raih PAS adalah lebih besar, walaupun terjejas oleh kehadiran parti PAN.
Akibatnya, calon PAS juga turut hilang deposit di DUN Sadong Jaya dan Muara Tuang pada kali ini berbanding dengan PRN 2011. Lima lagi DUN yang pertama kali PAS bertanding pada PRN2016, iaitu Pujut, Lambir, Jepak, Samalaju dan Kakus juga turut hilang deposit. Malah PAS juga gagal dapat kerusi sulung yang dicita-citakan di Beting Maro, malah BN menambah majoriti di situ.
Sementara itu, dua parti negeri sarawak, STAR dan PBDS (baru) gagal memberikan saingan pada pilihanraya kali ini berbanding dengan parti pembangkang peringkat nasional. Sesungguhnya keputusan positif BN di kawasan-kawasan kaum Cina ini mengambarkan populariti Tan Seri Adenan Satem yang luar biasa yang mampu meningkatkan sokongan semua kaum kepada BN.
Barisan Nasional
Kesemua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) dengan PBB dan PRS mencatat kemenangan 100 peratus. Malah 11 daripada 13 calon langsung BN juga telah menang pada kali ini termasuk dua Presiden bekas parti TERAS dan UPP, serpihan kepada SPDP dan SUPP.
Parti Cina di Sarawak – SUPP – pula menang tujuh daripada 13 kerusi yang ditandinginya dan mendapat nafas baru apabila presidennya, Senator Dr Sim Kui Hian berjaya merampas kerusi DUN Batu Kawah daripada DAP selepas menewaskan penyandangnya Christina Chiew Wang See dengan majoriti undi 2,085. Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian di Batu Kawah meraih 6,414 undi, mengalahkan penyandang Christina Chiew Wang See daripada DAP yang memperoleh 4,329 undi. Manakala Calon Bebas Liu Thian Leong, bekas pengerusi UPP Batu Kawah, hanya mendapat 1,109 undi, telah hilang deposit.
Manakala Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing memperoleh 5,272 undi mengekalkan kerusi Baleh yang disandangnya sejak 1983, apabila mengalahkan calon DAP Agop Linsong yang hanya 479 undi dengan majoriti 4,793 undi telah hilang deposit dalam pertandingan satu lawan satu itu.
Sementara Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Tan Sri Adenan Satem, Presiden PBB dan Ketua Menteri terus kekal sebagai ADUN untuk penggal ke-10 setelah memenangi kerusi Tanjong Datu mendapat 6,360 undi berbanding calon PKR, Jazolkipli Numan meraih 468 undi dengan majoriti 5,892 undi.
Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, selepas menerajui Sarawak kira-kira 33 tahun. Ini kali pertama Adenan, selaku Ketua Menteri, mengetuai BN negeri pada pilihan raya negeri.
Cukup setakat ini dulu dalam catatan ringkas pemerhatian saya berhubung dengan PRN11.
No comments:
Post a Comment