Jarang ahli politik menulis surat panjang lebar dengan penggunaan bahasa indah berhias puisi-puisi penyair terkenal seluruh dunia.
Tetapi di sebalik pemilihan kata-kata, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan banyak pihak dengan surat lapan halaman daripada penjara yang lantang mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Deklarasi Rakyat.
Anwar menyentuh pelbagai isu, daripada masalah keteguhan perjuangan dalam PKR kepada kelicikan dalam politik Malaysia.
Selain Mahathir, Tun Daim Zainuddin yang dilihat 'orang kanan' perdana menteri keempat itu serta Tengku Razaleigh Hamzah tidak terlepas daripada kritikan Anwar.
Bagaimanapun, surat panjang itu mungkin sedikit sukar difahami gaya penulisan itu. Berikut inti pati amanat Anwar itu yang disusun semula oleh Malaysiakini:
(1) Terdapat pemimpin PKR bersekongkol dengan Mahathir dan Tun Daim melalui Deklarasi Rakyat. Strategi itu menggugat perjuangan PKR dan pemimpinnya harus menghindari permainan elit penguasa untuk mengekalkan sistem usang. Mahathir dan Daim agresif mempertahankan sistem kroni kapitalisme.
(2) Tengku Razaleigh Hamzah licik mempergunakan akuan bersumpah (SD) anggota parlimen yang tidak menyokong kepimpinan Najib, walaupun menafikannya. Tengku Razaleigh atau Ku Li meletakkan diri sebagai calon kompromi di tengah-tengah pertembungan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
(3) Anwar menetapkan jarak daripada awal dengan “kelompok Deklarasi Rakyat”. Agenda perubahan harus selaras dengan gagasan reformasi.
(4) Deklarasi Rakyat menafikan kepentingan moral untuk “reformasi terhadap demokrasi yang beramanah”. Pelancarannya seolah-olah ditetapkan tanpa boleh dirunding. Malah, pandangan PKR dimasukkan di saat-saat akhir dan sekadar mencantikkan deklarasi. “Dokumen Tun M” itu cacat dan tidak selari dengan pandangan reformasi.
(5) Deklarasi Rakyat hanya menumpukan kepada pengunduran Najib dan jauh terpesong daripada asas perjuangan PKR untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang dan melawan salah guna kuasa serta rasuah.
(6) Mahathir pemimpin zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan. Bagaimanapun terdapat pemimpin PKR terpegun dan merendah diri dengannya seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal.
(7) Mahathir tidak pernah menghargai sifat berlapang dada padanya, bahkan menunjukkan sifat terkutuk meneruskan serangan peribadi. Anwar dan Azizah merasakan keperluan membantah sebagai prinsip mempertahankan maruah.
(8) Kumpulan elit penguasa hanya berusaha menyelamatkan Umno. Memetik penyair Inggeris William Shakespeare, Anwar berkata “ular yang dulu mematuk kini memakai mahkota”.
(9) Anwar mengutuk sikap tidak peka yang mendesak presiden, dan khususnya Nurul Izzah (anaknya) membuat kunjungan hormat terhadap Mahathir. Hasrat mengambil hati Mahathir dengan menuntut pengorbanan keluarganya, terutamanya selepas cemuhan bekas perdana menteri itu, sangat tidak berhati perut.
(10) Dakwaan Najib menghantar Zahid bertemunya di Hospital Kuala Lumpur ketika beliau dimasukkan ke wad baru-baru ini adalah fitnah untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan.
(11) Anwar berasa sugul. Derita di penjara tidak sekusut perkembangan terkini PKR apabila idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Memetik penyair terkenal Indonesia Tawfiq Ismail, Anwar mengetengahkan sajak yang mengingatkan wujudnya golongan pengkhianat, penjilat dan pahlawan jadi-jadian dalam perjuangan ~ Malaysiakini
No comments:
Post a Comment