Minyak: Rakyat Pula Kena Beri Subsidi Kepada Kerajaan RM274 Juta
Rakyat bayar harga lebih untuk RON95
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata pengguna terpaksa menanggung harga tinggi untuk petrol RON95, sedangkan harga purata bagi 15 hari pertama Disember 2014 jatuh ke paras kurang dari RM2 seliter.
Menurutnya, formula yang diumumkan oleh kerajaan BN sebelum ini menunjukkan harga RON95 kini telah jatuh ke paras RM1.98 liter tanpa subsidi.
Malah, jika subsidi 30 sen seliter dikembalikan, maka harga RON95 bagi dua minggu pertama bulan ini secara purata telah jatuh ke paras RM1.68 seliter, katanya.
"Sehingga kini, tidak ada seorang pemimpin BN pun yang berani menafikan kenyataan saya sebelum ini bahawa rakyat telah terlebih bayar harga minyak yang lebih tinggi yang dianggarkan RM274 juta dalam tempoh 45 hari sejak 1 November 2014.
"Mengikut amalan biasa, jumlah ini dikembalikan oleh syarikat-syarikat minyak kepada kerajaan sebagai cukai tersembunyi," katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan pengiraan itu, beliau mendesak kerajaan BN agar tidak berdolak dalih dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.90 serta merta.
Rafizi berkata, jika harga RON95 yang akan diumumkan pada 31 Disember ini lebih tinggi dari RM1.90 seliter, ia bermakna BN terus memanipulasi harga RON95 dan diesel untuk mendapatkan keuntungan melalui cukai minyak secara tersembunyi.
"Selagi BN tidak menafikan perkara ini dan menjelaskan mekanisme sebenar, siapa yang menyimpan jumlah RM274 juta yang dibayar lebih oleh rakyat ini, selagi itulah rakyat akan terus beranggapan bahawa mereka dicukai secara tersembunyi melalui harga RON95 dan diesel yang lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam laporan Bernama semalam menyebut, harga runcit RON95 dan diesel dijangka diturunkan di bawah paras RM2 seliter mulai 1 Jan ini, sekiranya harga minyak dunia kekal mengalami penurunan.
"Sekiranya harga minyak dunia terus mengalami penurunan selama tempoh 10 hari akan datang ini, saya yakin harga runcit RON95 dan diesel boleh ditetapkan pada harga di bawah RM2 seliter," katanya.
Harga runcit semasa bagi RON95 dan diesel pada ketika ini masing-masing RM2.26 dan RM2.23 seliter. -mk
No comments:
Post a Comment