Ramai Rakyat Malaysia 'Sangat Tidak Mampu' Untuk Membeli Rumah Rupanya...
Kalau Kerajaan yang ada tidak berusaha untuk mengawal atau mengekang kenaikkan harga rumah yang semakin menggila diseluruh Malaysia ini.. tak mustahil di masa akan datang kita akan menyaksikan ramai rakyat Malaysia yang menjadikan bawah jambatan dan jejambat sebagai tempat tinggal mereka.. percayalah..
The Malaysian Insider melaporkan..
Antara rumah paling mahal di Malaysia ialah di Sabah, menurut satu badan pemikir, yang mendapati purata harga rumah di negeri Borneo itu 11 kali lebih tinggi berbanding median pendapatan tahunan keluarga iaitu RM34,320.
Ini disusuli Sarawak dan Kuala Lumpur, kata Institut Rakyat, menggunakan data suku keempat 2012 yang dibekalkan sumber rasmi.
Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong berkata, pada amnya, rumah di Sabah dua kali lebih mahal daripada median kebangsaan harga rumah, iaitu RM251,731.
Di Sarawak, purata harga rumah adalah RM330,594 sedangkan purata pendapatan isi rumah tahunan hanya RM36,564. "Sabah dan Sarawak dibelenggu pendapatan isi rumah yang rendah serta harga rumah yang jauh lebih tinggi daripada purata nasional, dengan purata harga yang boleh menandingi Selangor," kata Yin dalam satu kenyataan hari ini.
Purata harga rumah di Kuala Lumpur adalah RM576,991 tetapi median pendapatan isi rumah tahunan di bandaraya itu hanya RM70,164 atau RM5,847 sebulan.
Badan pemikir yang berkait dengan PKR itu membuat rumusan, rumah di ketiga-tiga negeri itu jauh di luar kemampuan berdasarkan Indeks Kemampuan Perumahan, selepas mengambil kira data sumber rasmi dan membuat perbandingan purata pendapatan isi rumah di peringkat negeri dengan median harga rumah setiap negeri pada akhir 2012.
Ketiga-tiga negeri itu disusuli Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, iaitu negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).
"Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ditempatkan di tangga keempat, kelima dan keenam sebagai negeri di mana rumah paling di luar kemampuan.
"Negeri ini mempunyai peluang membezakan mereka daripada kerajaan pusat dengan menjadikan pemilikan rumah dalam kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana," kata Yin.
Harga rumah di Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis dan Johor pula dikatergorikan sebagai "terlalu di luar kemampuan". Hanya Negeri Sembilan dan Melaka, dikategorikan sebagai "di luar kemampuan tahap sederhana".
"Bagaimanapun, purata harga rumah di negeri ini masih menjangkau 3 kali ganda median pendapatan isi rumah tahunan masing-masing," katanya.
Harga rumah 3 kali ganda median pendapatan isi rumah tahunan disifatkan sebagai tidak mampu milik.
Pada 2012, median pendapatan isi rumah tahunan adalah RM43,512.
Yin berkata, menjelang akhir 2012, purata harga rumah adalah 5.79 kali pendapatan tahunan median isi rumah di Malaysia.
Menjelang suku pertama 2014, Index Kemampuan Perumahan kebangsaan bertambah baik kepada 5.52, tetapi Yin berkata ia masih meletakkan rumah di Malaysia jauh di luar kemampuan jika menurut piawai antarabangsa.
Masalah golongan berpendapatan sederhana
Berdasarkan data sama, Yin berkata median pendapatan isi rumah pada enam bulan pertama tahun ini ialah RM4,258 sebulan.
Katanya, sebuah rumah mampu milik bagi keluarga berpendapatan sederhana sepatutnya berharga RM153,000 ke bawah.
Ia mestilah sekurang-kurangnya 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, tetapi Yin berkata rumah sebegini amat sedikit bilangannya.
Katanya, purata harga rumah meningkat lebih dua kali ganda dari tahun 2000 sehingga awal tahun ini, dan sementara ia merupakan berita baik bagi pemilik rumah yang sekarang mendapat nilai lebih tinggi bagi hartanah mereka, masih ada 27.2% daripada rakyat Malaysia yang tidak memiliki rumah.
"Kerajaan mengadakan beberapa skim bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah. Bagaimanapun, pilihan yang diwujudkan bagi golongan pertengahan bermutu rendah," katanya.
Beliau membandingkan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) oleh Putrajaya dengan skim Rumah Selangorku, dan mendapati program Selangor itu lebih "mampu milik."
Dalam menentukan kriteria rumah mampu milik PR1MA berada dalam lingkungan tiga kali ganda pendapatan tahunan, Institut Rakyat mendapati, sesebuah isi rumah dengan pendapatan RM2,500 sebulan perlu membayar RM90,000 ke bawah bagi sebuah rumah mampu milik, manakala mereka yang berpendapatan RM10,000 sebulan perlu bayar RM360,000.
"Oleh itu, kami dapati harga rumah PR1MA lebih tinggi sekurang-kurangnya 11%," katanya.
PR1MA diwujudkan pada 2012 bagi memberi peluang pemilikan rumah kepada isi rumah berpendapatan sederhana antara RM2,500 dan RM10,000 sebulan. Harga hartanahnya ialah antara RM100,000 dan RM400,000.
Putrajaya bagaimanapun terpaksa mengubah kriteria kelayakan daripada pendapatan minima RM7,500 kepada RM10,000 seperti diumumkan Bajet 2015, yang menurut Yin menunjukkan Putrajaya mengakui harga rumah kelas atas PR1MA terlalu tinggi.
Sebaliknya, Yin berkata skim Rumah Selangorku di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) lebih mampu dimiliki pada harga RM250,000 bagi mereka yang berpendapatan RM8,000 sebulan pada hanya 2.6 kali pendapatan isi rumah tahunan.
Sistem penggajian lebih baik
Yin berkata kemampuan perumahan ialah faktor yang menentukan kedua-dua harga rumah dan kuasa membeli isi rumah.
Sementara kebanyakan tumpuan Putrajaya ialah terhadap usaha mengawal harga rumah, hasilnya setakat ini bercampur-campur dan usaha menambah pendapatan 'tidak bermaya.'
Beliau membuat perbandingan dengan Thailand dan Korea Selatan di mana gajinya meliputi lebih 60% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bermakna pekerja menyumbang lebih banyak kepada kekayaan negara.
"Pertumbuhan gaji tidak memberangsangkan. Pada 1971, gaji meliputi 33.8% daripada KDNK, tidak jauh beza dengan hari ini. Sebaliknya, peratusan KDNK dibawa pulang sektor korporat meningkat daripada 51.7% pada 1971 kepada 64.2% pada 2013," katanya.
Beliau berkata gaji orang perseorangan tidak bertambah sejajar dengan kenaikan harga rumah. Pada masa purata harga rumah naik 11.8% antara 2011 dan 2012, gaji median pula hanya tumbuh 7.7%.
"Sementara kerajaan pusat dan negeri perlu terus memberi tekanan supaya harga rumah terus turun, kerajaan persekutuan perlu berusaha menaikkan gaji bagi menutup jurang antara keadaan pasaran dan keinginan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri."
No comments:
Post a Comment