JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK
Baru-baru ini Malaysia dan Bangladesh telah bersedia untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi dengan perjanjian yang ditandatangani dalam empat bidang kerjasama. Antara bidang kerjasama berkenaan ialah mengenai pengecualian visa untuk pegawai dan pemegang pasport diplomatik, dua memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, serta protokol untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh di Sarawak. Dalam sidang itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata protokol untuk memudahkan pengambilan pekerja Bangladesh itu akan melihat penambahan 12,000 pekerja negara berkenaan tiba di Sarawak pada awal tahun hadapan untuk menampung keperluan 62,000 pekerja yang diperlukan bagi sektor peladangan. Kata beliau: Sekiranya mereka dapat menyesuaikan diri, maka boleh pertimbangkan penambahan pekerja-pekerja Bangladesh pada masa akan datang. Menurut Perdana Menteri pada masa ini, terdapat kira-kira 299,000 pekerja Bangladesh secara sah, khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan di Malaysia.
Mengapa perlu mengambil terlalu ramai pekerja asing masuk ke Sarawak pada tahun hadapan? Sekiranya terlalu ramai pekerja asing datang dan bekerja dalam sektor perladangan dan pembinaan maka penduduk tempatan akan sukar untuk mendapatkan kerja dalam bidang tersebut. Walaupun tujuan kerajaan untuk mengambil pekerja asing sebagai memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor peladangan, sektor pembinaan dan pembuatan tapi penduduk tempatan juga perlu diberi peluang yang sama dengan memberi sedikit kelebihan agar penduduk tempatan berminat untuk bekerja dalam sektor tersebut. Kalau terlalu ramai pekerja asing bekerja dalam sektor tersebut, ini secara tidak langsung boleh mengancam pendapatan penduduk tempatan sebab apabila ramai pekerja asing menguasai dalam sektor tersebut lama-kelamaan penduduk tempatan akan terpinggir dan juga sukar mendapatkan pekerjaan. Bukan saja dalam sektor peladangan dan pembinaan bahkan terdapat juga pekerja asing yang datang ke negara ini mengambil kesempatan menjual barangan mereka secara terbuka sehingga menjejaskan peniagaan penduduk tempatan. Kami juga menerima aduan dari penduduk tempatan yang tidak mahu namanya disebut mengatakan ada pekerja asing Muslim yang bekerja dengan non Muslim di restoran yang tidak memiliki sijil halal.
Menurut pengadu lagi, ada juga di antara mereka ini terpaksa bekerja di restoran dan kedai makanan yang tidak memiliki sijil halal dengan pakaian bertudung seolah-olah restoran tersebut memiliki sijil halal. Perkara ini boleh mengelirukan umat Muslim yang hendak makan di restoran atau kedai makan tersebut sebab mereka mungkin menyangka yang restoran tersebut menyediakan makanan Islam. Kebanyakan umat Muslim yang makan di restoran tersebut datang dari luar disebabkan mereka menyangka pelayan Muslim yang bekerja di situ sudah pasti makanan yang dihidang adalah halal. Kita harap perkara ini mendapat perhatian dari pihak berkuasa agar pekerja Muslim dari negara jiran tidak dipaksa bekerja di tempat kerja yang bercanggah dengan amalan agama masing-masing. Pihak berkuasa jangan memandang remeh masalah ini kerana ianya melibatkan akidah pekerja asing Muslim yang terpaksa mencari makan di negara ini.
Masalah sosial dan juga masalah penempatan pekerja asing akan menyebabkan sewa dan harga rumah akan meningkat naik tanpa kawalan sebab untuk menampung keperluan kebanjiran pekerja asing yang terlalu ramai datang ke negara ini. Mungkin dari segi ekonomi yang ianya baik untuk merancakkan pembangunan negara tetapi apabila ianya tidak dikawal maka ianya boleh mengancam keselamatan negara. Kita tidak mahu pekerja asing ini disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab seperti apa yang berlaku di Sabah di mana mereka ini digunakan untuk tujuan tertentu yang boleh mengancam keselamatan negara.
Kita menggesa pihak berkuasa sentiasa memantau pekerja asing yang datang ke negara ini agar ianya tidak menyalahgunakan permit mereka untuk bekerja di tempat yang bukan sepatutnya atau berniaga tanpa kebenaran dari pihak berkuasa tempatan. Kerjasama dengan pihak berkuasa mengatasi masalah kebanjiran pekerja asing tanpa kawalan yang boleh mengancam penduduk tempatan dan keselamatan negara ini amat dihargai.
No comments:
Post a Comment