Thursday, December 18, 2014

BLOGGER UMNO : KAMI "BANGANG" BUKAN PANDAI ...


Article ini saja saya abadikan dalam blog: Ikut ‘pandai’ Umnolah


Najib vs Muhyiddin: Siapa yang menang akhirnya? DR DZULKEFLY AHMAD 

PENULISAN ini adalah cubaan menziarahi kembali Perhimpunan Agung Umno (PAU) serta membaca politik Umno; khasnya tentang kepemimpinan Presiden dan Timbalannya, dalam cita-cita untuk mengemudi seterusnya perjuangan yang semakin getir seumpama sedang melalui lautan penuh gelora.

Ucapan yang kurang enak serta menghampiri ‘lucah’ seperti ‘membakar coli’ dan ‘minyak pelincir’ kurang sangat nilai ilmiahnya termasuk juga cakap-cakap macam ‘ustaz dan ustazah ekspres’ yang tebal dengan prejudis tidak wajar dilanjutkan. Cakap terbuang namanya.

Kalau boleh saya cadangkan kepada warga besar Umno kedua-dua pimpinan Wanita Umno ini wajar ditolak segera oleh Umno kalau Umno nak ‘survive’. Akan tetapi kalau mereka dikekalkan bahkan diangkat lebih tinggi lagi, bagus sangat untuk pembangkang di negara ini. Itu semua saya tak mahu campur. Ikut ‘pandai’ Umnolah.

Walau macam mana pun gegak-gempita ucapan perwakilan lain, di mana-mana perhimpunan parti politik di muka bumi ini, hanya ucapan orang nombor satu dan dua sahaja yang wajar diberikan tumpuan.

Yang lain itu sekadar menambah rempah ratus, sesudu dua ajinamoto sahaja. Dengan kekangan ruang, maaf tidak wajar saya melanjutkan untuk memberi laluan kepada yang lain, walaupun ada dikatakan menarik.

Saya tumpukan dulu ucapan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sejak bermain peranan ‘second-fiddle’, peribadi ini memang diakui umum tidak pernah menyerlah.

Berucap atau tidak, tidak sangat jadi pertikaian ahli apatah lagi pihak awam atau media. Jarang-jarang mungkin kadang-kadang sangat yang menyerlah dan selalunya tidak dipeduli. Lazimnya hambar.

Tidak begitu dalam PAU yang baru ini. Berkebetulan saya berada di hadapan set TV ketika itu. Saya tonton dan dengari seluruh ucapan beliau. Bukan sahaja punya ‘wow faktornya’ tapi sangat berlainan dan berbisa.

Lebih penting bagi saya selaku penganalisis politik yang memimpin sebuah think-tank parti adalah untuk membaca semuanya dengan beberapa lapis bacaan. Saya mahu lanjutkan naratif dan pengamatan ini.

Tentangan Terbuka Menyimpang sedikit, tentangan terhadap Presiden Umno bukan lagi satu rahsia. Ia telah menjadi satu ‘open-secret’ atau rahsia terbuka. Wujud ketidakselesaan terhadap dasar serta kecenderungan kepemimpinan Presiden parti.

Penentangan terhadap dasar-dasar ‘liberalisasi’ ekonomi dan kewangannya telah lama dinyatakan oleh ‘warlords’ parti yang sangat tebal doktrin ‘Kemelayuan’nya. Kesemua dasar ‘liberalisasi’ ini ditanggapi kelompok ini sebagai menggugat kepentingan Melayu.

Pun begitu ‘warlords’ beserta sebahagian besar ahli parti menyatakan tidak persetujuan mereka apabila Presiden Umno menamatkan undang-undang drakonian Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA dan Kanun Darurat peninggalan penjajah British.

Nah, apakah ini ‘backdrop’ politik yang melatari ucapan Timbalan Presiden Umno ini? Pastinya kalau perhitungan tentang janji Presiden mereka untuk memansuhkan satu lagi akta peninggalan penjajah yang sangat besar manfaat dan kegunaan untuk parti pemerintah di negara ini yakni Akta Hasutan 1948.

Perhatikan kembali ucapan Muhyiddin dan kita tekuni ma’ani atau maksud-maksud yang sarat dalam bait-bait ucapan beliau tempoh hari. Mungkin ada beberapa perkara yang wajar saya tonjolkan tentang ucapan beliau yang sangat besar maknanya.

Sayugia diingat ucapan ini dibuat Muhyiddin pada perasmian Perhimpunan Wanita dan Pemuda. Saya memerhatikan kritikan beliau tentang ekonomi khususnya kesenjangan atau jurang antara kaya-miskin dan antara kaum Melayu-Bumiputera dan Bukan Bumiputera adalah sangat bertepatan. Sandaran statistiknya sangat tepat dan relevan. Beberapa contoh boleh saya ulangi di sini.

“Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676.”

“Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera.

Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.” (point 13) “Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita.

Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka.”

“Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera.

Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran.” Kesemua ini akhirnya saya perhatikan tersimpul dan terangkum maksudnya dalam ayat ini:

“Saya ingin mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju”.

“Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi.

"Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan.”

Nah... pada pengamatan saya Najib di'checkmated' oleh Muhyiddin. Hampir sahaja Muhyiddin mahu isytiharkan bahawa bosnya telah gagal. Dalam politik “timing” atau “kejituan waktu” adalah segala-galanya dalam perlaksanaan strategi. Punyalah banyak program-program GTP, ETP, NKRA dan NKEA dengan segala KPI dan SRInya, tetiba sahaja Muhyuddin secara lantang dan di hadapan semua perwakilan Wanita dan Pemuda,mengisytiharkan bahawa beliau mahukan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu! Dengan kata lain,

Najib telah gagal kerana kemiskinan masih wujud di kalangan Melayu-Bumiputera dan gejala jurang kaya-miskin terus melebar di antara kaum. Program Liberalisasi Najib sekaligus diimplikasikan sebagai punca kegagalan dasar-dasar ekonomi Najib.

Aneh analisis ini! Hanya yang naïf politik yang membacanya dengan selapis sahaja. Menekan Najib Seolah-olah tidak cukup lagi untuk ‘menekan’ Najib, Muhyiddin beralih kepada isu yang lebih membakar yakni Akta Hasutan yang telah pun dijanjikan Najib kepada rakyat dalam dua pernyataan beliau untuk memansuhnya.

Dunia dah ketahuan dan sebuah interview dengan BBC pada Julai 2013, Najib telah menyebut akan memansuhkan Akta Hasutan ini. Lebih awal lagi pada 12 Julai 2012, Najib menyebut di hadapan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Ali Hamsa dan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail.

Apakah kenyataan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohammad bahawa Melayu akan menjadi seumpama “Red-Indians” di Amerika satu kebetulan atau semua telah diorchestrated dan ‘stage-managed’?

Hanya Allah yang lebih Mengetahui! Muhyiddin membuat saranan yang tajam dan tegas, memintas Najib dalam hal polemik ini.

"Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan.

"Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan.

"Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

"Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing." Berdepan dengan asakan Muhyiddin pastinya merimaskan Najib.

Beliau sememang tidak punya banyak opsyen kecuali untuk tunduk dan akur kepada orang nombor duanya yang kelihatan lebih mantap dan bersedia kali ini.

Nah, apa lagi keupayaan Najib untuk membuat sikap yang tegas serta pendirian yang tidak berganjak dalam hal Akta Hasutan ini?

Akhirnya beliau terpaksa mengakui setelah mendengar kehendak seluruh ahli Umno, maka beliau mengambil sikap untuk mendengar pandangan ahli.

Paling jelas dan tuntas ‘serangan’ Muhyidin terhadap Najib adalah dalam isu pemilihan parti. Saya ungkapkan kembali secara verbatim.

"Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan Umno dan tidak ditangguhkan selepas pilihan raya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini."

Pada awalnya Muhyiddin bercakap tentang masa yang semakin suntuk untuk Umno berubah, diberi setahun sahaja lagi. Kemudian beliau mahu pemilihan tahun depannya tetap dijalankan!

Apakah mesej semua ini? Tegas beliau, "If change does not happen, we have to engineer the change" (Jika perubahan tidak juga berlaku, kita yang kena ubahkan). Cakap-cakap yang Muhyiddin hendak bersara pasti ‘spin’ yang dibuat oleh satu pihak yang mahukan beliau digantikan.

Oleh siapa ya? Bagaimana pula dari pihak Presiden Umno itu sendiri dalam menangani serangan yang bertali arus dari segenap sudut ini. Kini Tun Mahathir sudah mulakan tembakan beliau tentang kegagalan PAU menangani isu 1-MDB, TPPA dan jurang-kaya miskin.

Mampukah Najib bertahan? Muhyiddin Tidak Lagi Berselindung Setelah dibutirkan penampilan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyuddin Yasin yang agak mantap, saya akan berkongsi pengamatan saya tentang Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak. Saya hanya minta diizinkan berterus terang dan tidak perlu sangat menyantuni diplomasi dalam berkarya.

Takut-takut tak kesampaian maksud sebenar nanti. Sukar untuk dinafikan bahawa Najib pastinya gugup dan tersentak mendengar ucapan Muhyiddin yang luar biasa petahnya.

Lebih mengganggu kestabilan emosinya adalah terjahan beberapa isu yang difahaminya sebagai memintas, mengepung bahkan mengikat beliau. Garis ucapan Najib wajarnya berbeza supaya tidak dilihat terperangkap dalam kerangka dan kotak pemikiran Muhyiddin khasnya dalam isu-isu seperti agenda tuntutan pemilihan parti yang beliau desak supaya langsungkan juga dan tidak ditangguhkan.

Lafaznya jelas... "kita perlu merekayasa perubahan... ‘If change doesn’t happen, we have to engineer the change’... jarang-jarang sangat dia berbahasa penjajah... kalau perubahan tidak berlaku kita yang perlu mengubahnya.

Tegas beliau lagi, "justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut Perlembagaan Umno dan tidak ditangguhkan selepas pilihan raya umum seperti pernah dilakukan sebelum ini." Juga tegas dan tajam adalah tuntutan Muhyiddin supaya dirangka Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum.

Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka. Bukankah segala GTP, ETP, NKRA dan NKEA serta segala KPIsnya di bawah Pemandu itu kebanggaan Najib. Pendeknya NAJIBNOMICS lah! Sederap kata-kata Muhyiddin, tampak Najib semacam terkulai.

Di mana jawab balas Najib sama ada dalam ucapan dasarnya mahupun penggulungannya? Di mana penjelasan Najib yang menerangkan bahawa kita tidak perlu semua itu kerana kita telah ada segala Program Transformasi Ekonomi (ETP) mahupun Transformasi Kerajaan (GTP)?

Tegasnya beliau seakan-akan mengaku kalah dan bersalah. Sebab Muhyiddin tampilkan statistik dan tulisan-tulisan terkini. Bukan sahaja menyebut buku-buku Joseph Stiglitz dan Piketty tetapi membawa statistik dan ‘evidence’ terkini dengan penulisan Dr Mohammad Khalid (The Colour of Inequality) dan Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy.

Mesej Menjadi Lantang Kalau Najib tak faham lagi biarlah saya tambah semangkuk dua untuk betul-betul pastikan gol disumbat kemas-kemas.

Mesej ini telah menjadi lebih lantang dengan peluncuran Laporan MHDR atau Malaysia Human Development Report Bangsa-Bangsa Bersatu. Secara lebih khususnya betul Perikatan-BN telah menurunkan Kadar Kemiskinan dari 49% isi-rumah (household) pada tahun 1970 ke serendah 1.7% pada 2010.

Sementara kadar kemiskinan telah berjaya ditangani yang menjadi pertikaian kesemua pakar-pakar ekonomi mutakhir ini adalah persoalan Jurang atau Kesenjangan kaya-miskin bukan sahaja disegi pendapatan (income) tetapi jauh lebih parah, sama ada dalam sesuatu kaum mahupun antara kaum ialah jurang kekayaan (wealth) diukur dari segi aset.

Ini bicaranya Muhyuddin! DEB berjaya mensasarkan penurunan kadar kemiskinan tetapi jurang dan kesenjangan masih lagi berleluasa dan program Najib dan sebelumnya, pendeknya gagal! Itu mesej Muhyiddin! Meneliti ucapan dan penggulungan Najib langsung tidak terjawab! Pada saya KO atau ‘Knock-Out’ Najib!

Dengan kata lain, apa jaminan kalau Najib diberi lanjutan kepimpinan dalam Umno-BN bahawa beliau akan memperbaiki prestasinya. Muhyiddin dan warlords Umno telah pun mengisyaratkan tidak persetujuan program Najib melalui Pemandu!

Muhyuddin secara tegasnya mahukan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum dan menuntut Dasar Ekonomi Nasional yang baru. Nah, meneliti kembali ucapan Presiden Umno tempoh hari, saya masih tercari-cari kata-kata ibunya, yang mega dan bersifat ‘visionary’. Maaf, tegasnya tak ada.

Najib sememangnya tahu bahawa beberapa warlords termasuk dua Tun telah bersuara -- Mahathir dan Daim. Kritikan mereka sebelum PAU adalah sangat keras dan tajam. Isunya ialah 1MDB yang kepada Mahathir dan Daim adalah ‘debacle’ atau mala petaka menunggu meletup.

Tun Mahathir dan Daim telah ‘mengherdik’ Najib dengan pelbagai cacian yang sangat pedas.

Mereka mengharapkan akan ada perwakilan atau juga pimpinan yang mengangkat isu-isu ini termasuk TPPA yang beliau bangkitkan. Najib sebaliknya lebih sibuk menghitung popularitinya yang mesti sentiasa diukur nisbah orang nombor duanya.

Dilihat dan ditanggapi lemah oleh perwakilan bakal membawa bencana dan padah untuk kesinambungan kepimpinannya. Maka itu lebih besar manfaatnya dari cuba mengetengahkan isu 1MDB atau pun TPPA, mentelahan kedua-dua ini,

Muhyiddin secara mudahnya boleh lepas tangan. Bahkan dia boleh sahaja meletakkan seluruh punca masalah kepada Najib selaku bos nombor satu. 1MDB ialah Najib dan Rosmah, mengikut persepsi umum, khasnya kerana keterlibatan Jho Low, anak muda jutawan yang kaya-raya serta kaitannya dengan 1MDB.

Meskipun tidak seorang pun tahu apa pegangan saham Jho Low dalam 1MDB. Tidak ada retorik baru atau ‘slogan baru’ yang baru kecuali “Solidariti Melayu dan Bumiputera” yang dilafazkan bersekali dan senada dengan “Solidariti Umno”. Nak dibawa ke mana retorika ini Najib? Sangat janggal seperti picisan yang amat asing dan tersasar.

Dalam suasana landskap politik negara melalui peredaran dan berangkat meninggalkan segala yang bersifat ‘feudal’ dan ‘kuno’ dengan Politik Baru yang serba ‘terangkum dan inklusif’, Najib tiba-tiba sahaja mengungkapkan wacana dan ‘discourse’ bahasa yang sangat ‘aloof’ atau ‘terpisah’ dalam alam khayalan Umno lama dan pastinya bukan Umno Gen-Y, Umno Khairy, Umno Saifuddin, Umno Ashraf Wajdi dan Umno Puteri!

Maka ketika Najib cuba membawa perihal ‘Peremajaan Umno’ dengan ungkapan istilah JIL Umno, pastinya rekaan Wajdi dan Fathul Bari (tekaan penulis), pertaliannya menjadikan Umno dipersepsi semakin eksklusif oleh umum.

Tambahan dengan orientasi yang mahukan pemerkasaan Akta Hasutan, Umno jelasnya tidak dapat tidak dilihat sebagai bergerak kebelakang dengan penuh paradoks dalam era pencerahan politik dan pendemokrasian. Umno sudah menjadi parti ‘ekstrem kanan’ atau ‘far right’ di segi spektrum ideologi yang difahami bahasa Sains Politik.

Tambahan Najib dan Umno kini yang sangat selesa dan melazimi NGO Melayu-Islam yang ditanggapi umum sebagai ‘ekstrem kanan’ dengan pegangan doktrin ‘Melayu-Islamist’ supremacist. Di mana yang hendak dikatakan peremajaan Umno.

Yang dimaksud ‘remaja dan peremajaan’ adalah diukur bukan sahaja usia mereka tetapi dengan nilai, aspirasi dan cita-cita golongan muda. Bolehkah kita bayangkan seangkatan anak muda berusia di bawah 30 tahun contohnya, tetapi mempunyai ‘worldview’ yang feudal, aristokratik, rasis dan fasis dan sangat ekstrem seperti Taliban di segi pegangan agama dan pembawaan kehidupan.

Di situ paradoksnya kalau bercakap tentang 'peremajaan' tetapi tidak diberikan 'pencerahan' yang diperlukan bagi membolehkan potensi mereka dikembangkan dan menjadi anasir yang menyatukan umat dan bangsa-negara.

Di sini letak kegagalan 'peremajaan Umno' yang sangat ‘superficial’ dan tertumpu hanya kepada peralihan generasi untuk 'jawatan' atau dengan kata ‘kuasa, pengaruh dan kemewahan’ tetapi tidak berangkat meninggalkan segala kebobrokan serta tradisi dan ‘baggage’ Umno yang usang dan mengaibkan. Rakyat tidak berhajatkan JIL Umno yang berperangai macam Umno lama yang didakwa umum ‘membolotkan kekayaan dan memperkaya suku-sakat’.

Apakah saya merekayasa kesemua ini? Pastinya tidak! Tun Mahathir sendiri membuat sebutan bahawa beliau kecewa PAU tidak membahaskan perkara-perkara yang bersabitan 1MDB, TPPA dan gejala kewujudan kaya-miskin! Apa perlu mengangkat isu-isu negara dan nasional ini, kalau pun tidak perlulah diulangi menyebutkan kegelojohan dan kerakusan penguasa pilitik Umno-BN tentang perihal NFC dan PKFZ?

Sebab menyebut dan mengangkatnya isu-isu ini akan menginsafkan ‘JIL Umno’ akan kepincangan tadbir-urus dan tuntutan pentadbiran yang bersih, telus dan bertanggungjawab.

Untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat, bukan sahaja sokongan orang Umno diperlukan, bahkan Umno mesti menyatakan bahawa mereka telah sedar dan berani mengaku kesalahan dan kesilapan lampau dan mahu berubah.

Pastinya kepercayaan rakyat yang telah tertipu kesekian lamanya ini, tidak boleh dipulihkan dengan hanya laungan slogan "Hidup Melayu" atau pengenalan kalimat-kalimat besar seperti Solidariti,

Peremajaan dan JIL Umno wahai Presiden Umno! Mentelahan pendedahan Laporan Transparency International Malaysia (M-TI) baru-baru ini yang menyenaraikan ‘Orang dan Parti Politik’ yang paling korup berbanding kelompok kerjaya yang lain termasuk Polis dan Kastam.

Kemudiannya disusuli pula oleh Tun Mahathir beberapa hari berikutnya dengan menyebutkan "parti politik kebelakangan ini semakin korup".

"Parti politik kini diakui lebih banyak dicemari masalah rasuah kerana ramai ahli politik guna kedudukan kumpul kekayaan peribadi." Siapa Yang Tumbang Selepas Perhimpunan Agung Umno? Kelincahan gelagat dan pidato Presiden dan Timbalannya dalam PAU sukar untuk dinafikan, baik oleh kawan atau lawan.

Cara ucapan umum atau ‘public speaking’ kedua-dua pemimpin Umno ini semacam mereka itu ‘finalis’ dalam ‘pertandingan’ untuk merebut siapa juara pemidato dalam Umno. Sesekali terasa mual dan jelek pulak bila berlebih-lebihan atau ’over’ kata anak muda. Itu pandangan peribadi saya.

Membaca dari dalam media sosial pula (Fb dan blog) semacam mengesahkan hakikat tersebut dan setiap ’kumpulan’ cuba mengangkat ‘bosnya’ serentak memperlekeh ‘pesaing’nya. Kedua-dua pemimpin Umno ini tersilap dalam menanggapi apa yang dihajati dan diharapkan oleh seluruh rakyat di negara ini.

Ya, rakyatlah yang bertanggungjawab menentukan sama ada Umno-BN terus memerintah atau di jadikan pembangkang di peringkat Persekutuan nanti. Jelasnya kedua-dua mereka telah tersasar kerana hanya bermain dalam gelanggang Umno pada PAU itu, khususnya di penggulungan. Inilah apa yang dikatakan, dengan izin, ‘Playing to the gallery’.

Malangnya kalau pun semua ahli dan perwakilan dalam PAU, memberi ‘standing ovation’, bertepuk-sorak dan bertempek meneriak ‘Hidup Melayu’ sekuat-kuatnya, akan tetapi kalau rakyat dan pengundi diluar ‘gallery-gelanggang’ itu, menolak Umno-BN, maka kedua-dua pemimpin ini berserta seluruh pimpinan parti dan barisannya akan bakal tersungkur dan tumbang!

Justeru, saya mahu mengulas secara lebih substantif menghuraikan kenapa dan bagaimana mereka telah gagal mengekploitasi semaksimanya tumpuan seluruh rakyat terhadap PAU tempoh hari.

Najib ada menyebut akan perihal itu, tetapi beliau sendiri lebih pentingkan ‘style’ dan gaya. Jelasnya yang paling kecewa adalah Tun Mahathir sendiri. Umum mengetahui Tun adalah negarawan yang tidak pentingkan ‘style’ dan ‘bahasa yang berbunga-bunga’.

Najib sejak dulu semacam nak menandingi ketua pembangkang dan kini dengan Timbalannya pun tampak macam dah kalah. Pun begitu, Tun menyelar PAU sejurus selepas tirai PAU dilabuhkan. Berkebetulan Tun telah membangkitkan isu 1-MDB sebelum berlangsung PAU dengan sangat konsisten.

Amat mengecewakan Tun adalah kerana bukan sahaja kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu sengaja tidak menyinggung perihal 1MDB, isu itu tidak juga dibangkitkan oleh mana-mana perwakilan yang berucap.

Turut menjadikan Tun berang kerana dalam banyak-banyak ucapan perwakilan tidak ada juga yang menyentuh isu TPPA dan paling mustahak adalah isu jurang kaya-miskin.

Bagi Tun, sebagai parti pemerintah gamaknya, tidak membicarakan dan mendebatkan hal-hal ini, jelas membuktikan Umno tidak menghayati denyut nadi rakyat dan peka tentang apa yang menjadi topik perbualan rakyat teramai.

Jelasnya bukan macam topik orang-orang Umno dan kuncu-kuncunya yakni hal kontrak dan kontrak.

PAU mempamerkan Umno yang sedang gusar dan dalam serba ketakutan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14. PRU ke-14 itu masih jauh tetapi Umno dikejar dan dihambat dengan igauan yang sampai ke paras ‘paranoia’ dan ‘neurosis’.

Tidak mustahil seluruh pimpinan tertinggi Umno, perwakilan serta ahli-akar umbi parti mahukan Akta Hasutan dikekalkan malah diperkasakan justeru kerana menayangkan bahawa legasi peninggalan penjajah yang telah menghadiahkan mereka kuasa satu hari dulu, akan menyelamatkan mereka dari serangan pembangkang termasuk pimpinan NGO dan terkini sekumpulan 25 “Elit Melayu”.

Hanya Pak lah yang berani menegur akan perkara tersebut. Dalam serba keserabutan fikiran inilah terserlah fenomena ‘neurosis dan paranoia’ pimpinan Umno. Dengan kekangan ruang, saya hanya mampu memilih satu isu besar sahaja dahulu.

Najib dan Muhyiddin memilih untuk meyakinkan rakyat bahawa Umnolah pejuang Islam dan konsisten dalam mendukunginya.

Saya petik untuk tatapan saudara kembali apa yang disebut Timbalan Presidennya.

"Saya pernah berkata bahawa jika kita menganggap Malaysia ini di bawah pimpinan Umno, berada di atas landasan perjuangan, mengikut syariat Islam dan hukum syarak dan ada orang kata sebaliknya pula, bagaimana kita hendak cari satu penilaian yang boleh menggambarkan bahawa negara Malaysia ini, hala tuju yang dibawa oleh Umno dari dulu sampai sekarang ini adalah berpandu kepada tuntutan Islam yang sebenarnya, maka lahirlah cadangan supaya kita buat satu Indeks Syariah.

"Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah Umno menjaga agama kita, menjaga akal, menjaga keturunan, menjaga nyawa dan menjaga harta benda. Lima tuntutan maqasid syariah."

Sangat tidak sopan buat Muhyiddin yang secara semberono menyebutkan bahawa Umno telah melandaskan perjuangan parti Melayu terbesar itu di atas landasan Islam dan secara tiba-tiba mengisytiharkan juga bahawa 'liberalisme' telah menjadi musuh Umno nombor satu dan bukan lagi PAS.

Saya akan hanya mengulas dari satu sisi sahaja. Ditakdirkan sejurus PAU tamat, sebuah badan antarabangsa ‘Transparency International–Malaysia (TI-M) mendedahkan dapatan berikut mengikut ‘Malaysian Corruption Barometer’ (MCB) 2014 dari kajian di kalangan 2,032 responden.

Kelompok paling korup ialah parti politik (45%), diikuti oleh pasukan polis (42%) dikuti dan pegawai kakitangan dan penjawat awam (31%).

Umno yang telah memerintah negara ini untuk lebih 5 dekad lamanya dan diketahui sebagai parti politik paling korup sehingga pernah memecat pimpinan tertinggi parti kerana rasuah dan amalan politik wang dan akibat itu sarat seluruh jentera pemerintahan dengan rasuah, tiba-tiba mandakwa bahawa mereka telah berlandaskan semua amalan mereka di atas pentadbiran Islam?

Umno yang masih punya menteri-menteri, menteri-menteri besar yang sama ada telah sabit kesalahan mahupun dalam proses perbicaraan kerana amalan rasuah dan pecah amanah dalam kes-kes sperti KPFZ dan NFC, bersedia membuat dakwaan bahawa segala-galanya mereka telah lakukan atas nama Islam dan dalam penghayatan Islam?

Penguasa politik Umno serta kuncu-kuncu dan kroni yang telah membolot kekayaan negara dengan segala cara batil dan amalan kronisme yang menghampiri rasuah dan jenayah, tidak termasuk lagi hal hal pembaziran bersedia untuk mendakwa bahawa mereka telah melakukan semua itu dengan komplian dengan muamalat kewangan Islam?

Hanya instrumennya sahaja ‘syariah-komplian’, sama ada dalam PKFZ, NFC dan MITP dan lain-lain, tetapi penipuan, amalan direct-nego dengan harga yang sangat ‘bolated’, curang dan culas adalah segala muamalat yang bertentangan dengan Syariat Islam! Sila perhatikan ayat Allah SWT:

"Dan Janganlah kamu makan (atau mengambil) hak dan harta(orang lain) di antara kamu dengan cara yang salah..." (Al-Baqarah: 188) Baru-baru ini kita diumumkan akan kewujudan 20 bilionair dan 30,054 jutawan. Alhamdulillah! Syabas! Kalau rezeki itu dari usaha gigih, cekal, kreativiti mereka tidak sesiapa yang harus cemburu. Mereka menjadi ikon dan ikutan golongan yang belum berjaya.

Namun kalau di kalanagn mereka ini terdapat golongan dari kalangan orang politik dan kuncu-kuncunya, rakyat mahukan supaya mereka berani isytihar bagaimana kekayaan mereka itu mereka jana.

Mereka sendiri seharusnya sedar dan insaf kerana rezeki akan disuapkan ke mulut isteri dan anak-anak mereka dan menjadi darah daging zuriat sehingga ke anak cucu.

Nah, seandainya cara perolehan kekayaan ini adalah secara batil yakni rasuah dan segala cara yang salah, rakyat minta mereka segera bertaubat kerana rakyat sesungguhnya tidak redha wang dan dana rakyat dicuri dan rompak oleh golongan yang sepatutnya menjaga Amanah Rakyat! Mereka wajar pulangkan wang rakyat ini!

Sesungguhnya saya sedang dalam proses mendengar keluhan seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat GLC yang sedang diasak dan diperas ugut oleh seorang menteri yang mahu diberikan sejumlah wang sebanyak RM50 juta bagi memudahkan syarikat beliau meneruskan perolehan yang dikeluarkan oleh kementeriannya.

Beliau tidak akan lakukan! Dikatakan bahawa wang tersebut adalah untuk diberikan kepada 5 bahagian. Senang-senang menjadi menjadi multi-millionaire dengan satu transaksi kontrak!

Dan amalan ini dakwa beliau adalah lumrah. Lumrah di kalangan orang politik dan orang birokrat dan pegawa tadbir! Beliau menyebutkan tidak akan ‘tunduk’ namun kawan-kawan beliau dalam kedudukan yang sama tidak boleh beliau jamin.

Nah, ini tidak termasuk pelbagai cerita menteri yang meminta 5-10% bayaran upfront kepada syarikat-syarikat yang diberikan kontrak. Biasa sahaja itu. Saya terpaksa percaya kerana yang mencerita adalah pihak yang memberi dan mereka dikatakan terpaksa memberi kalau tidak tak dapat kontrak! Mereka pun dua kali lima juga.

Makanya wahai pimpinan Umno, anda janganlah bermudah untuk mendakwa bahawa Islam telah menjadi landasan perjuangan Umno! Jangan jadikan persepsi orang Islam dan bukan Islam tersalah tanggap tentang Islam itu kerana amalan buruk dan kebobrokan kamu.

Mutakhir ini menjadi lebih buruk kerana pegangan ekstremisme agama secara sempit yang diadunkan dengan doktrin ketuanan Melayu. Semua ini mahu dipaksa sebagai mendukungi Islam sementara Islam itu pada sifat hakikinya adalah penuh rahmat dan adil untuk semua...

Alahai Umno! Penulis ialah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

1 comment:

  1. Salam sejahtera!
    Nama saya Dewi Rumapea, saya berasal dari kota SEMARANG, Indonesia. Saya ingin menggunakan medium ini untuk memaklumkan semua dalam kumpulan ini mencari pinjaman yang sangat berhati-hati kerana ada penipuan di mana-mana. Beberapa bulan yang lalu, saya secara kewangan turun dan saya memutuskan untuk mendapatkan pinjaman dari Man di Malaysia dan saya tertipu oleh pemberi pinjaman palsu di Malaysia. Saya hampir kehilangan harapan sehingga seorang kawan saya merujuk saya kepada pemberi pinjaman yang sangat dipercayai dan tulen yang dipanggil Puan Glory, seorang pemberi pinjaman swasta yang meminjamkan saya pinjaman sebanyak Rp500,000,000 tanpa tekanan, pada kadar faedah 2% yang merupakan kadar yang berpatutan untuk saya.

    Selepas memindahkan kredit saya ke akaun bank saya, saya sangat terkejut apabila saya menyemak baki akaun bank saya dan mendapati bahawa jumlah saya memohon, telah dipindahkan terus ke akaun saya, oleh puan Glory, tanpa berlengah-lengah. Jadi saya berjanji kepada puan Glory bahawa saya akan berkongsi berita baik agar orang ramai mendapat pinjaman mudah tanpa tekanan. Jadi, jika anda memerlukan sebarang pinjaman, sila hubungi Puan Glory melalui email: gloryloanfirm@gmail.com

    Saya menggunakan masa ini untuk memaklumkan kepada anda semua bahawa anda boleh menghubungi saya melalui e-mel saya: dewiputeri9@gmail.com atau anda boleh menghubungi Nur Izzatul Azira Ismail, dari Malaysia yang memperkenalkan saya dan memberitahu saya mengenai Puan Glory, Dia juga mendapat pinjaman dari Puan Glory, Anda juga boleh menghubunginya melalui e-mel: utariwirmayaty@gmail.com Kini, semua yang saya lakukan adalah cuba untuk memenuhi pembayaran pinjaman saya yang saya hantar terus ke akaun bulanan.

    Nota: Tiada yuran insurans, yuran pendaftaran atau yuran pemindahan.

    Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT kerana menggunakan puan Glory untuk mengubah kisah kewangan saya dan kini saya seorang pemilik perniagaan saya yang bangga, semoga Allah terus memberkati Puan Glory dan terus menggunakannya untuk membantu kita semua dalam kesulitan kewangan

    ReplyDelete