Tuesday, September 9, 2014

TIADA SEBAB MENGAPA PAS DI KECAM ...


Jangan jadikan PAS sasaran kecaman

A Shukur Harun

Sungguh mengecewakan, krisis politik di Selangor kini memasuki episod yang sangat malang, malah sangat menjijikkan, apabila PAS dan pemimpinnya menjadi sasaran kecaman, tuduhan dan pelbagai andaian daripada rakan komponan dalam Pakatan Rakyat (PR) sendiri.
Terbaru Pengerusi DAP Selangor Tony Pua mempersoalkan kemampuan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang konon kerana kegagalannya mempertahankan Terengganu dulu.
Menurut entri di laman Facebooknya, Pua menyifatkan presiden PAS itu sebagai individu yang gagal menggantikan menteri besar Kedah. Sebelum itu pelbagai tuduhan dan kecaman dihalakan sesetengah pemimpin PKR dan DAP d kepada PAS di tengah-tengah situasi krisis politik yang melanda Selangor sekarang ini.

Turut melemparkan pelbagai tuduhan, andaian dan prasangka datang dari mereka yang memakai jenama 'pengulas politik', termasuk media yang lebih banyak 'mengkritik' PAS dalam soal menentukan bakal calon menteri besar Selangor. Hinggakan ada yang menganggap PAS konon sudah besar kepala, tidak berguna diajak berkawan, angkuh, tidak mengikut keputusan mesyuarat PR dan pelbagai lagi, tuduhan yang tidak benar sama sekali.
Malah ada yang membuat andaian kononnya PAS dan Umno akan bergabung untuk memerintah Selangor nanti, suatu andaian paling jahat. Perkara ini tidak munasabah sama sekali, justeru PAS mempunyai pengalaman paling getir dan pahit mengenai Umno/Barisan Nasional.
Malangnya pandangan terhadap PAS bukan saja tidak seimbang, penuh dengan prejudis, tiada fakta yang jelas bahkan memandang rendah kemampuan politik PAS yang sudah 60 tahun memberi sumbangan dalam arena politik dan kesuburan demokrasi Malaysia, jauh sebelum wujud PKR dan DAP.
Seingat saya, krisis menteri besar Selangor, bermula sejak Langkah Kajang lebih 6 bulan lalu dicetuskan PKR untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Malangnya, tidak pernah ada pemberitahuan yang jelas kepada PAS mengapa Langkah Kajang itu diadakan.
Yang diketahui semua pihak, secara umumnya, ialah menerusi laporan media tujuannya ialah hendak menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di mana sebab terperinci tidak diketahui.
Hinggalah krisis itu berlarutan sampai sekarang di mana PAS digambarkan kononnya tidak sehaluan dalam menamakan calon MB Selangor dan pelbagai tuduhan serta andaian lagi untuk ‘mengkambinghitamkan’ PAS.
Padahal, seperti saya katakan, bukan PAS yang bertindak hingga mencetuskan krisis di Selangor ini, melainkan dimulakan PKR dan disokong DAP. Tetapi secara tidak beradab, PAS pula disalahkan.
Sebagai parti yang dikawal akhlak Islam ia terus juga bersabar dan bersabar. Tetapi apabila melihat terlalu banyak pelanggaran terhadap hak politik PAS dengan melemparkan pelbagai tuduhan melampau batas terhadapnya maka PAS wajar mempertahankan dirinya.

Adakah PKR dan DAP sedar kebanyakan rakyat di Selangor bukan saja bosan dan kecewa bahkan 'meluat' dengan krisis yang berlanjutan ini kerana sama sekali tidak menguntungkan rakyat. Dalam konotasi bahasa Melayu, perkataan 'meluat' itu melebihi paras kebencian, oleh itu rakyat di Selangor melihat krisis yang berlanjutan itu lebih daripada benci. Oleh itu, pihak yang mencetuskan krisis ini perlu sedar kebencian rakyat di Selangor.
Sementara itu, pengundi di Selangor berhak bertanya "Apakah kesalahan besar Khalid hinggakan wajar digantikan?' Pertanyaan ini, hingga kini, tidak pernah dijawab secara jelas dan meyakinkan pihak yang menentang Khalid. Bahkan persepsi umum terhadap Khalid hingga kini ialah prestasi menteri besar itu cemerlang dan berintegriti, sesuatu yang tidak mudah diperoleh daripada mana-mana pemimpin yang berkuasa.
Kembali kepada persoalan, di mana kini, PAS dan pemimpinnya 'dikambinghitamkan', segalanya dipersalahkan kepada PAS oleh rakan dalam PR dan penyokong mereka serta penulis politik yang sangat prejudis terhadap PAS.
Menurut pendapat saya, PAS tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam semua isu ini, melainkan ia ingin melihat krisis ini berakhir segera, dengan mematuhi segala arahan istana iaitu terpulang kepada Sultan untuk memilih menteri besar baharu Selangor. PAS dan rakyat Selangor umumnya mahukan suasana kembali tenang, kestabilan politik dan ekonomi dan pentadbiran negeri berjalan lancar.
Keluhuran politik PAS terpancar hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat Ahad lalu yang memutuskan untuk kekal dengan pendirian mereka sebelum ini iaitu tidak menuntut kerusi menteri besar Selangor.
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang mengumumkan perkara ini berkata, PAS juga memutuskan untuk menyerahkan kepada budi bicara Sultan Selangor bagi memutuskan nama menteri besar Selangor yang baharu.
Ini sebuah kenyataan yang sangat munasabah, membayangkan PAS tidak ada sebarang kepentingan politik berhubung pelantikan bakal MB Selangor. Kenyataan ini juga menunjukkan kematangan politik PAS yang kini berumur 60 tahun.
Dengan kenyataan setiausaha agung PAS ini, diharapkan semua pihak, khususnya pemimpin PKR dan DAP serta para pengkritik PAS memahami sikap PAS. Dengan itu hendaknya akan meredakan tohmahan dan andaian serta salah faham terhadap PAS.
Akhir kata, hendaknya PR akan terus kukuh bukan saja di Selangor bahkan seluruh negara. Oleh itu, semua pihak dalam PR perlu saling memahami hak politik masing-masing dan menghentikan segera segala tuduhan dan andaian salah terhadap PAS.
Seingat saya, PAS sentiasa bersedia meraikan perbezaan pandangan di antara pendukung PR, tetapi bukan kritikan tidak membina dan tuduhan yang sampai boleh mengancam keutuhan PR sendiri.

No comments:

Post a Comment