Monday, September 8, 2014

PKR & DAP : KAMI LUPA PESANAN P.RAMLEE ...


PKR dan DAP tidak belajar daripada P Ramlee

Oleh Mohd Sayuti Omar
Kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Mohamad Banir Munir hari ini membolehkan mereka yang mengharapkan Pakatan Rakyat Selangor ranap tersenyum puas sendirian sambil mengelus-eluskan dada dengan penuh kelegaan. Kenyataan Banir Munir itu sangat dinanti-nantikan oleh mereka yang mahu melihat kerajaan Selangor "berkucar wak yah".
Umpama buaya yang menanti bangkai hanyut, musuh Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan yang negatif buat Pakatan Rakyat, khasnya PKR dan DAP oleh Mohamad Banir itu.

Pejabat Sultan Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan yang pedih terhadap PKR dan DAP, berhubung dengan tindakan kedua-dua parti berkenaan yang menghantar hanya satu nama sahaja untuk diangkat menjadi MB menggantikan Khalid Ibrahim.

Sultan telah mengutuskan surat meminta kedua-dua parti itu termasuk Pas menghantar lebih daripada satu nama, bagaimana kedua-dua parti itu engkar dan tidak sedia mematuhi kehendak sultan. Keenggan itulah maka parti itu dianggap engkar dan derhaka.
Dengan berpegang kepada keputusan awal yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden kedua-dua parti itu menghantar hanya satu nama sahaja, yakni Dr Wan Azizah Wan Ismail. Berbeza dengan Pas yang menghantar dua senarai nama, dimana dalam kedua-dua senarai itu tidak sama sekali memasukkan nama Wan Azizah walaupun dalam mesyuarat Jawatankuasa 17 Ogos telah memutuskan nama Wan Azizah disenaraikan sebagai pengganti Khalid.

Pas bukan sahaja dilihat tidak jujur dan akur kepada keputusan mesyuarat eksekutifnya sendiri, tetapi belot apabila turut menamakan dua orang Exconya sebagai pengganti Khalid. Dari sudut semangat setiakawan, tindakan Pas itu dilihat tidak jujur, tetapi dari segi muslihat politik ia satu tindakan licik dan bijak. Pas benar-benar bermian politik.

Awal-awal lagi saya telah membayangkan permainan Pas itu, tetapi waktu itu ramai yang tidak mahu mengiyakannya dan menganggap Pas sebagai pandir yang lurus dan dungun.

Hari ini apabila Sultan Selangor menyifatkan tindakan DAP dan PKR itu sebagai engkar titah baginda dan ia boleh dianggap derhaka, orang menyuluh yang Pas bukan sahabat yang baik dan jujur. Pas cuba melepaskan dirinya daripada berdepan dengan masalah. Dalam hal ini Pas bukan sahabat yang rela sehidup semati, tetapi lebih bersifat selfish atau dalam istilah kasar sanggup "mencolekkan" kapur di dahi semasa berada di Calcutta.

Tetapi dari sudut lain tindakan Pas itu walaupun selfish, tetapi ia bijak. Pas pandai mengambil hati sultan dan mengawal keadaan agar parti itu tidak dimurkai oleh sultan sebaliknya dikasihi sultan. Mungkin Pas sudah belajar dengan Najib Razak, mengenali kuasa dan budibicara yang ada kepada sultan dalam proses memilih MB Selangor. Najib dilaporkan ketika mengulas mengenai kemelut di Selangor menyifatkan yang PKR tidak tahu kuasa sultan. Atau pun Pas sudah serit dengan apa yang berlaku di Perak pada tahun 2009 sehingga kerajaan Pakatan Rakyat berketuakan Pas sebagai MB jatuh terjelapak makan tanah dua cupak.

Pas tidak berpegang kepada pandangan atau nasihat pakar perlembagaan yang melihat secara lateral bahawa kuasa melantik MB itu terletak kepada parti yang mendapat majoriti. Sebagai parti (Pas) yang mempunyai semangat Melayu dan menghormati sultan, Pas pandai menjaga hati sultan. Sekali lagi Pas menjaga kepentingannya tanpa mempedulikan nasib kawan lain. Apakah tindakan Pas ini hendak dicap sebagai tidak bersikap setiakawan, jahat atau pun menikam dari belakang? Ia subjektif. Semua orang harus sedar Pas berada dalam lingkaran politik sekular, bukan Islam.


Tidak dinafikan tindakan DAP dan PKR itu akan disuluh sebagai biadap. Bagi kaum atau individu meletakkan sultan di tempat tertinggi, maka sultan dilihat berkuasa ke atas apa sahaja. Setiap titah perintahnya wajib dipatuhi. Konvensyen atau perlembagaan yang digubal yang menghadkan kuasa raja dan sultan itu tidak akan terlaksana kerana bangsa Melayu akan lebih tunduk kepada adat resam. Kadang-kadang soal adat dan resam diletakkan di atas undang-undang agama.

Pas memahami akan kelemahan bangsa Melayu ini. Sejarah dan amalan ini yang menggerunkan Pas. Perhati sahaja kepada penghormatan yang diberikan kepada raja yang berbunyi Duli Yang Maha Mulia yang mana menimbulkan percanggahan dari segi kewajarannya.

Untuk menekan dan mempermainkan sultan bukan tidak boleh. Ia boleh dilakukan, tetapi dengan penuh berhikmah. Sultan juga ada kelemahan dan kecacatan kerana mereka bukan maksum, tetapi kelemahannya boleh ditegur dengan penuh taktikal. Sultan boleh ditukar sebagai tidak sultan kalau kena cara dan gayanya.

Dalam soal ini PKR dan DAP tidak belajar dengan Seniman Agung P Ramlee. Kalau DAP jahil mengenai hal ini tidak kisah sangat kerana mereka kebanyakkannya Cina, dan kalau ada Melayu dalam parti itu masih mentah. Tetapi yang musykilnya ialah PKR, sebuah parti yang mengikut Saifuddin Nasution Ismail ditunjangi oleh Melayu.

Cuba tengok apa yang P Ramlee lakukan ke atas sultan dalam filem Musang Berjanggut dan Nujum Pak Belalang. P Ramlee boleh mainkan sultan dengan mudah dan selamba sahaja tanpa sultan terasa hati kepada tindakannya. P Ramlee perkenakan sultan dalam jenaka halus sehinggakan sultan tidak merasai mereka diperbodohkan.

Misalnya dalam filem Nujum Pak Belalang, P Ramlee mendenda sultan agar merangkak dalam gua untuk mendapat semula mahkota dan puterinya yang dicolek oleh perompak. Manakala dalam filem Musang Berjanggut pula macam mana P Ramlee menjadikan raja sebagai kuda yang ditunggang oleh Puspawangi (Saadiah).

Apa yang dilakukan P Ramlee adalah untuk menyindir tingkah laku sultan sekaligus merendahkan martabat sultan yang rakus, bernafsu serta tidak profesional. Atas bijaksana caranya bertindak menegur sultan, memperbetulkan kesalahan sultan atau untuk meletakkan sultan sebagai hamba Allah, P Ramlee lakukan segala perbuatan itu. Sultan tidak murka kepada P Ramlee sebaliknya diangkat menjadi panglima. Nah, di sinilah kebijaksanaan P Ramlee dalam berdepan dengan sultan yang harus dihadam oleh pemimpin Melayu dalam PKR dan juga DAP.

Sepatutnya PKR terutama Anwar Ibrahim, Saifuddin Nasution dan Mohd Rafizi Ramli mengambil iktibar dan belajar daripada P Ramlee. Selepas itu mereka mengajar dan memberi tahu pula kepada Lim Guan Eng. Saya percaya kalau mereka berhikmah dan bijak berdepan dengan sultan kerumitan yang sedang dihadapi kini, yang telah meletakkan PKR di tubir kehancuran tidak akan berlaku.

PKR dan DAP juga tidak akan dianggap sebagai derhaka. Dalam permainan ini Pas boleh dipuji, tetapi dari sudut setiakawan Pas patut dikecam dan dianggap sebagai kawan yang curang. Jika Pas seekor monyet yang kini berada di atas pokok, dia hanya memberi kulit kepada PKR dan DAP sementara dia memakan pisang sambil menyimpan dalam mulut, sehingga kembung pipi sebesar bola golf.

Ingatan kepada Pas, pisang yang dikemeng dalam mulut itu jangan terlalu lama kerana ia akan basi. Ia juga tidak dibenarkan melompat kegembiraan terlalu tinggi sangat nanti pisang "terkebak" keluar dari mulut. Auhhhhhh

No comments:

Post a Comment