Akhirnya Mukhriz mengalah & Kuin kembali ke Kuala Ketil
oleh Zulkifli Yahaya
PROGRAM pertama Kolej Universiti Insaniah (Kuin) selepas kerajaan negeri bertukar tangan ialah memindahkan semula pusat pentadbiran dari kampus induk di Kuala Ketil kembali ke tapak asal yang sempit di Mergong.
Sebaik kampus induk Kuin dirasmikan pada Disember 2012 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pusat pentadbiran institusi pengajian yang menjadi kebanggaan kerajaan negeri itu berpindah dari Mergong ke Kuala Ketil.
Semua kuliah pengajian Kuin juga turut dipindahkan secara berperingkat. Walaupun pada peringkat awal terdapat pelbagai masalah kerana asrama pelajar belum sempat disiapkan namun akhirnya masalah tersebut diatasi dengan pelbagai usaha.
Ditakdirkan Pakatan Rakyak tumbang dalam PRU14, maka pentadbiran Kuin pun bertukar tangan selepas rektornya Prof Dr. Mohd Jamil Othman melepaskan jawatan.
Pemangku Rektor kemudian diserahkan kepada Dato’ Che Barni Mohd Nor, seorang yang bukan dari latarbelakang pengurusan akademik.
Melalui keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan baru dan pentadbiran baru, pusat pentadbiran kembali dipindahkan di Mergong. Mereka memberi pelbagai alasan terhadap perpindahan tersebut. Antaranya kerana kos pengurusan yang terlalu tinggi dan kerajaan negeri tidak sudi membuat pelaburan dalam projek yang ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.
Namun terdapat sumber dalaman menyebut bahawa antara sebab kembali ke Mergong adalah kerana terdapat pegawai yang tinggal di Alor Setar tidak sanggup berulang alik ke Kuala Ketil yang agak jauh. Jika benar dakwaan ini maka teruk sungguh pegawai tadbir di bawah kerajaan BN.
Manakala sebab kerajaan negeri mahu pusat pentadbiran berpindah ke Mergong, tidak lain tidak bukan berpunca dari sikap ego. Iyalah, jika mereka kekal di Kuala Ketil, ia macam pengiktirafan terhadap kejayaan yang dibuat oleh kerajaan lalu. Mukhriz yang pernah menjadi peserta demonstrasi haram bersama segelintir kakitangan Kuin menghentam kerajaan negeri tentulah rasa tercabar untuk mengiktiraf buah tangan Tan Sri Ustaz Azizan Razak. Sekalipun kembali ke Mergong adalah perbuatan 'kurang cerdik' tapi bagi kerajaan Mukhriz biarlah 'kurang cerdik' asal jangan iktiraf kecerdikan kerajaan lalu.
Di Mergong pelajar terpaksa kembali bersesak menghadiri kuliah. Siapa yang datang lewat terpaksa berada di luar kelas, mengikuti pengajian melalui tingkap. Di zaman siber ini semua gelagat lucu itu terakam dan tersebar dengan pantas ke alam maya. Teruknya kerajaan BN mentadbir Kuin menjadi bahan gelak ketawa dunia luar.
Kampus induk yang besar dan lengkap segala kemudahan tidak digunakan sebaliknya mereka memilih suasana penuh kedhaifan. BN dapat Kuin diibaratkan seperti kera dapat bunga.
Rektor baru
Kerajaan negeri kemudiannya memilih rektor baru iaitu Prof Datuk Mohd Yusof Kasim. Beliau adalah orang akademik dan bukan orang politik. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan campur, tolak, darab, bahagi – pengurusan akademik. Beliau memilih untuk kembali ke kampus induk di Kuala Ketil.
Nampaknya dalam menguruskan negeri, kerajaan Mukhriz jadi macam Lebai Malang sekejap ke hulu, sekejap ke hilir dan kembali ke hulu. Macam Pak Pandir, sentiasa salah dalam membuat keputusan. Macam Pak Kadok, jadi bahan gelak ketawa orang ramai dengan gelagat baju kertasnya.
Alhamdulillah, akhirnya kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya kampus induk yang menjadi buah tangan Ustaz Azizan. Memang itu yang sepatutnya dilakukan dari awal.
Terbaru, Mukhriz berkata kerajaan negeri bersetuju menggunakan sepenuhnya kampus induk tahun ini, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai anak negeri yang dapat memimpin masyarakat serta mencorakkan kehidupan masa depan yang lebih berkualiti. Mukhriz terlewat tujuh bulan untuk mula berfikiran murni seperti itu. Tak apalah sekurang-kurangnya lebih baik dari tidak terfikir langsung mengenainya.
Tanggal 11 Januari baru-baru ini Istiadat Konvokesyen Ke 15 diadakan di kampus induk Kuin Kuala Ketil, disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Di hadapan Agong, Mukhriz menyebut perihal pelan transformasi Kuin menyasarkan pencapaian taraf universiti penuh menjelang tahun 2015. Sebenarnya itulah yang dihasratkan oleh Ustaz Azizan dahulu apabila membina kampus induk di atas tanah yang berkeluasan lebih 300 hektar itu dengan segala prasarana yang melayakkannya untuk diiktiraf sebuah universiti penuh.
Jika Kuin terus terperap bawah longkong tempurung macam di Mergong maka sampai bila-bila Kuin tidak jadi sebuah universiti penuh.
Ustaz Azizan juga pernah mensasarkan suatu masa Kuin akan mencapai kedudukan kewangan yang stabil serta tidak bergantung lagi pada kerajaan negeri, walaupun pada peringkat awal ia seolah menjadi bebanan kepada negeri.
“Kuin juga dijangka mencapai kelestarian kewangan dan mampu berdikari mulai 2017,” itu ucapan Mukhriz selepas tujuh bulan mendapat Kuin yang ditinggalkan Ustaz Azizan.
Mukhriz membuktikan kebenaran wawasan Ustaz Azizan walaupun terpaksa menempelak muka sendiri dengan sikap dan tindakan lalu.
No comments:
Post a Comment