Konsert festival muzik patuhi syarat  
Persembahan penyanyi elektro-pop dari Taiwan, Jeannie Hsieh 
mengenakan pakaian yang tidak menjolok mata.

Konsert festival muzik patuhi syarat  
Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Hip Hop 
International pada konsert festival muzik, semalam.
 
SUNGAI PETANI – Penganjuran Konsert Festival Muzik Planet Eupe dekat Taman Tema Air Carnivall di sini, malam semalam mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri Kedah

Tinjauan Sinar Harian mendapati, konsert itu bermula seawal jam 5 petang sebelum berhenti seketika pada jam 7.24 malam untuk memberi laluan kepada azan Maghrib.

Konsert itu kemudian diteruskan semula pada jam 7.42 malam dengan acara dan persembahan nyanyian oleh artis jemputan dari dalam dan luar negara.

Turut hadir ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tengku Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah serta isteri, Toh Puan Nor Suzana Abdullah, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Adun Gurun, Dr Leong Yong Kong.

Selepas hampir 45 minit berhibur dengan persembahan nyanyian dan pertandingan Hip Hop International, program itu sekali dihentikan seketika pada jam 8.30 malam untuk memberi laluan kepada azan Isyak, sebelum diteruskan semula pada jam 8.45 malam.

Tajul Urus bersyukur kerana konsert itu berlangsung dalam keadaan terkawal tanpa bantahan daripada mana-mana pihak.

“Saya berbangga penganjur mematuhi syarat kerajaan negeri, khususnya dari segi pemakaian artis dan menghormati waktu azan.

“Pada saya, sebagai sebuah negara majmuk, kita tidak boleh menafikan hak masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan hiburan. Yang lebih penting ialah konsert ini dibuat di kawasan yang tertutup dan bukan di kawasan terbuka,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghalang penganjuran konsert itu sekiranya pihak penganjur bersetuju untuk menghormati azan dan syarat lain yang ditentukan.

Pemerhatian mendapati, lebih 15,000 pengunjung dari pelbagai kaum hadir menyaksikan konsert yang julung kali diadakan itu.

Rata-rata artis dari dalam dan luar negara juga mengenakan pakaian yang tidak menjolok mata.

Antara artis yang membuat persembahan pada konsert itu ialah Yuna, Najwa Latif, penyanyi mando-pop, Wang Lee Hom, penyanyi elektro-pop dari Taiwan, Jeannie Hsieh dan kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, U-kiss.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa (Ikiam) membantah penganjuran konsert tersebut kerana bimbang ia akan memudaratkan akidah umat Islam melalui pelbagai aspek.

Menurut laporan itu, Timbalan Pengerusi 2 Ikiam, Datuk Mustaffa Idrus berkata, konsert itu jelas bertentangan dengan syariat Islam kerana melibatkan persembahan artis berpakaian mendedahkan aurat, pergaulan bebas, hiburan melampau yang terdedah kepada salah laku akidah.