Thursday, August 8, 2019

Singkir DAP - Ahmad Fadhli dakwa Umno, PAS akan sokong PH di S’gor



MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari supaya menyingkirkan DAP dari pentadbiran kerajaan negeri susulan dakwaan percubaan parti itu menghalang pindaan enakmen negeri terhadap penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak.

“Saya menyeru rakan-rakan Adun di Selangor untuk mengambil langkah pada masa yang terbaik hari ini untuk menyingkirkan DAP dari pentadbiran negeri Selangor.

“MB wajar memulakan langkah proaktif mengadap sultan Selangor bagi mewajarkan rombakan exco negeri Selangor dengan mengeluarkan semua ahli exco daripada DAP seterusnya menyingkirkan speaker DUN Selangor yang juga daripada parti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS itu, partinya dan Umno sedia menghulurkan sokongan bagi menjayakan agenda berkenaan.


Pakatan Harapan (PH) kekal di Selangor selepas pilihan raya umum ke-14 dan sehingga hari ini memiliki 50 daripada 56 kerusi. BN cuma memiliki lima kerusi manakala PAS pula cuma satu.

“Sekiranya sokongan daripada Umno dan PAS diperlukan, tiada sebab untuk kedua-dua parti ini walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil menolak untuk bekerjasama menjayakan agenda ini,” katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan bahawa menteri besar cuba meminda enakmen negeri untuk mengubah perkataan mengenai berhubung penukaran agama bagi anak yang di bawah umur.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Walau bagaimanapun, cadangan pindaan itu menuju jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim dikatakan memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata jika “permulaan terlerainya Pakatan Rakyat adalah Langkah Kajang di Selangor, tiada yang pelik jika lerainya Pakatan Harapan juga bermula dengan Langkah Sekinchan di Selangor”.

“Jika ada yang masih berpura-pura tidak nampak dengan kemelut Selangor ini, saya kira ia adalah situasi yang sangat malang,” katanya.

Bekas menteri: Saya bohong sebab nak 'cover' Najib



Hidir Reduan Abdul Rashid & Hariz Mohd




KES NAJIB | Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah hari ini mengaku bahawa dia berbohong ketika berkata peletakan jawatannya tiga tahun lalu bukan kerana skandal 1MDB.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, Husni berkata dia berbuat demikian kerana melindungi perdana menteri ketika itu Najib Razak.

"Saya nak tutup (cover) cerita sebenar. Saya tak mahu beritahu cerita sebenar kepada surat khabar.

"Saya tidak beritahu perkara sebenar. Saya lindungi perdana menteri (I was covering the prime minister)," katanya semasa perbicaraan kes SRC International terhadap Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.


Husni berkata demikian selepas ditanya Shafee berkenaan kenyataannya pada 2016 bahawa peletakan jawatannya tiada kaitan dengan 1MDB.

Walaupun dengan tindakannya itu, Husni mendakwa Najib sebagai pihak di belakang dakwaan dia membuat gangguan seksual.

Dia berkata demikian selepas Shafee merujuk ucapannya di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2016 - empat bulan selepas meletakkan jawatan.

"Saya berhenti, tetapi anda lihat di media sosial, dua hari lepas berhenti, mereka serang saya tanpa sebab, dan saya tahu siapa 'ABC' yang serang saya," katanya di Dewan Rakyat pada masa itu.

Shafee bertanya apakah dakwaan itu, dan Husni berkata "wang dan perempuan".

Shafee: Anda kaitkan (dakwaan gangguan seksual) dengan Najib?
Husni: Ya.

Shafee: (Dakwaan) Gangguan seksual oleh pekerja anda sendiri. Anda fikir Najib di belakang laporan gangguan seksual terhadap anda oleh pekerja anda sendiri?
Husni: Ya.

Shafee: Ada laporan polis terhadap anda?
Husni: Ya.

Soalan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram.

"Saksi marah kerana ada sebab...Integriti tak boleh dipersoal dengan cara menghina apabila ia tiada kaitan dengan isu dalam mahkamah," katanya.

Shafee kemudian berkata kewibawaan saksi adalah penting, tetapi hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersetuju dengan pendakwaan dan tidak membenarkan soalan itu.


Minta digugurkan

Ketika pemeriksaan balas, Husni juga mendedahkan Najib mahu memindahnya ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang menurutnya juga menjadi sebab dia meletakkan jawatan.

Katanya, di pada mulanya tahu kemungkinan perkara itu di media, yang melaporkan dia mungkin akan dipindah untuk mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Saya kata (kepada PM) 'saya faham anda akan pindahkan saya'. Dia kata 'ya, saya akan pindah anda ke kerajaan tempatan'. Dan saya kata 'saya telah buat pelan rasionalisasi (1MDB)'.

"Tiada orang bantu bila kita ada masalah, tiada bantu anda kecuali saya. Dan saya hanya ada dua tahun lagi sebelum PRU 2018. Biar saya kekal (di Kementerian Kewangan).

"Perdana menteri kata 'saya nak anda ke kementerian baru unuk cabaran baru', dan saya kata ' gugurkan saya, terima kasih'."

Husni juga berkata satu lagi sebab dia meletakkan jawatan ialah "kerana Allah".

Husni menjadi menteri kewangan kedua sejak 2009 sehingga Jun 2016.

Najib berdepan tujuh pendakwaan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dari SRC International.

Dia dituduh menerima wang itu sebagai habuan kerana meluluskan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib menafikan sebarang salah laku atau menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.


Negara dijangka alami cuaca panas sehingga Oktober




SITI FATIMAH

MENJALANKAN PEMANTAUAN CUACA DAN TITIK PANAS SECARA BERTERUSAN


KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata selain Malaysia, negara jiran Singapura dan Sumatera, Indonesia dijangka turut mengalami cuaca yang sama.

“Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering…tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober,” katanya ketika ditanya mengenai intipati Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawantankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan beliau berkata kelima-lima negara yang terlibat telah membentangkan tindakan yang telah diambil untuk menangani kejadian kebakaran dan jerebu di negara masing-masing.

“Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiap-siagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran,” katanya.

Mesyuarat tahunan yang melibatkan empat negara Asean lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

Inisiatif untuk menangani masalah jerebu di peringkat Asean telah dimulakan selepas episod pencemaran yang serius pada 1997 yang telah membawa kepada termeterainya penjanjian Asean Mengenai Jerebu merentasi sempadan yang ditandatangani oleh 10 negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002. – Bernama


'Kesilapan orang tua' - Jutawan mohon maaf ubah warna Jalur Gemilang


MALAYSIAKINI

    Tokoh perniagaan Lee Kim Yew memohon maaf kerana memuatnaikkan gambar Jalur Gemilang dengan jalur putihnya diubah kepada warna menjadi hitam ketika mengkritik dasar kerajaan mengenai pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Pengasas dan pengerusi Country Heights Holdings Bhd itu, menjelaskan beliau telah meminta artis untuk menukar warna bendera berkenaan untuk "meluahkan perasaannya" mengenai isu tersebut, tetapi kemudian mengarahkan supaya warna kembali ke putih.

Gambar yang telah dipadamkan itu sebelum ini dimuat naik dengan artikel oleh Lee berhubung catatan di blognya yang terkini mengenai pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu untuk pelajar Tahun 4.

Dalam permohonan maaf hari ini, Lee menjelaskan bahawa buat dirinya, jalur putih pada bendera negara mewakili kesucian dan kebersihan, satu peringatan "untuk menjalani kehidupan bermoral yang bersih dan menjauhi rasuah".

"Ini perasaan saya tentang bagaimana sepatutnya buat negara kita yang dicintai, tetapi saya membuat kesilapan meminta artis untuk menyatakan perasaan saya dengan mengubah warna bendera, walaupun (dalam bentuk) grafik dan bukan bendera fizikal," katanya.
 Beliau juga menasihati generasi muda untuk mengelakkan kesilapan seperti yang dilakukan dirinya iaitu golongan "generasi lama".

Hari ini cakap penyatuan ummah, esok lompat, sindir Najib


    
Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berkata Umno-PAS perlu kekal konsisten dan tidak boleh berubah mengikut keadaan politik semasa.

Katanya, kedua-dua parti itu tidak perlu melayan sekiranya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad cuba mengambil peluang penyatuan ummah demi menyelamatkan beliau dan partinya (Bersatu).

“Yang mesti kita perlu kekalkan persefahaman. Itu dah merupakan komitmen kita.
“Takkan hari ini kita katakan penyatuan ummah, esok kita lompat ke tempat lain pula.

“Orang tak akan percaya pada Umno,” katanya di Wacana Ilmu “Hard Truth: Cash is King” di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

Mengulas saranan Dr Mahathir yang meminta semua parti Melayu perlu bersatu di Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini, Najib mengatakan Umno tidak boleh berubah mengikut keadaan semasa.

“Orang kata Umno ini parti yang fikir pada keadaan pada ketika itu sahaja. Cari kesempatan sahaja tak ada ikhlas.

“Kita tak boleh ada orang syak kita sebagai parti tak ikhlas parti yang cuma fikir tentang kepentingan dia,” katanya.

“Jadi, kita peru melihat sebagai parti yang konsisten insya-Allah kalau kita kekalkan inilah komitmen kita inilah landasan kita sampai PRU15 kita mengubah jangan berubah,” tambah beliau dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Sementara itu, Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat BN memberitahu beliau tidak akan campur tangan membuat sebarang keputusan sekiranya Mahathir kembali menyertai Umno.

“Saya serahkan kepada ahli parti untuk membuat keputusan,” katanya ketika menjawab soalan daripada wakil NGO Nadir Malaysia yang meminta pandangan Najib sekiranya Mahathir mahu menyertai semula Umno.

Namun, para hadirin bersorak “Mahathir tidak boleh diterima semula,” membalas pandangan Najib.

Ada tauke baru?

Dalam pada itu, Najib tidak menolak kemungkinan beberapa bekas ahli kabinet BN sudah mempunyai ‘tauke’ baru.

“Saya tak berubah. Mungkin mereka yang berubah.

“Tak pasti, mungkin ada tangan ghaib di belakang mereka,” katanya ketika ditanya tindakan beberapa pemimpin kabinet khususnya Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz yang setia bersamanya sebelum PRU14 dan kini mula mengkritik secara terbuka selepas kalah dalam pilihan raya.

Khairy Jamaluddin (kiri) dan Nazri Aziz 
“Ada disebut dalam mantra politik iaitu no permanent friends, no permanent enemies, only common interest. (Tiada kawan selamanya, tiada musuh selamanya, hanya kepentingan bersama.)

“Saya syak mereka ada tauke baharu. Orang macam ini, rakyat sendiri akan menilai, mereka sebenarnya merosakkan diri sendiri. Kita kena ada maruah dan prinsip dalam politik,” tambah ahli parlimen Pekan itu.

Wakil rakyat Pas tidak sokong Anwar bawa undi tidak percaya terhadap Mahathir, kata Takiyuddin


Wakil rakyat Pas tidak sokong Anwar bawa undi tidak percaya terhadap Mahathir, kata Takiyuddin
Parti Islam SeMalaysia (Pas) hari ini, sekali lagi menetapkan pendirian semua 18 wakil rakyat parti itu tidak akan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathirf Mohamad dibawa ke Parlimen.
Setiausahanya Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sekiranya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan, Dr Mahathir mempunyai dua pilihan sahaja.
“Beliau meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang DiPertuan Agung supaya membubarkan Parlimen, yang mana Yang diPertuan Agung mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya.
“Dalam konteks sekarang, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah (simple majority), ini secara tidak langsung membawa maksud Tun Dr Mahathir telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
” Sekiranya ini adalah benar, Datuk Seri Anwar sepatutnya segera mengadap Yang diPertuan Agung bagi menyembah maklum tentang perkara tersebut.
“Beliau juga boleh membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Kata Takiyuddin lagi, gesaan pihak-pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.
“Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan tersebut.
“Ini merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak.
“Setelah terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya terlucut dalam tiga (3) keadaan: iaitu Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela;Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat; dan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” terangnya.
Pada Julai lalu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau melihat timbalannya Mohamed Azmin Ali sebagai ancaman yang bakal mengahalangnya daripada menjadi perdana menteri.
Malah, dakwanya lagi,, beliau mempunyai sokongan ahli parlimen PKR, Pakatan Harapan dan restu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri seterusnya.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/wakil-rakyat-pas-tidak-sokong-anwar-bawa-undi-tidak-percaya-terhadap-mahathir-kata-takiyuddin/

Tiga NGO desak Mahathir berundur selewatnya 9 Mei 2021


Tiga NGO desak Mahathir berundur selewatnya 9 Mei 2021
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebulat suara meminta Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Persekutuan.
Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
NGO berkenaan menerusi surat terbuka bersama kepada Dr Mahathir menggesa Perdana Menteri dan kepimpinan PH mengambil langkah jelas untuk membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut surat tersebut, pergolakan PKR selaku parti komponen utama dalam gabungan PH sedang meresahkan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.
“Kerisauan kami adalah agenda pembaikan kerajaan PH yang akan terhenti atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.
“Kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan tanggungjawab dalam penggal ke-14 Parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk PRU15,” kata ketiga-tiga NGO tersebut dalam surat terbuka bersama hari ini.
Mengulas lanjut berhubung penyerahan kuasa tersebut, walaupun tidak ada ketetapan masa yang dinyatakan dalam perjanjian, Dr Mahathir dalam pelbagai majlis sering berkata tempoh peralihan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun selepas PH membentuk kerajaan.
“Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Dengan pelan peralihan yang jelas, ini akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan perpecahan gabungan PH,” kata NGO itu.
Dalam pada itu, ketiga-tiga NGO berkenaan turut mengemukakan beberapa langkah lain untuk mengembalikan kestabilan politik.
Antara cadangan tersebut ialah menetapkan had penggal Perdana Menteri agar tidak memegang kuasa terlalu lama dan pengurangan penumpuan kuasa eksekutif yang dimiliki Perdana Menteri.
Tiga NGO itu juga mahu pengukuhan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara dipercepatkan.
“Kami menggesa pimpinan kerajaan PH, Dr Mahathir, Majlis Presiden PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini.
“Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua, yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti,” kata kenyataan bersama itu.
Tiga NGO itu turut menasihatkan PH bahawa parti itu hanya mempunyai kurang daripada empat tahun untuk memenuhi janji serta memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran.
Dalam perkembangan lain, tiga NGO berkenaan turut mengadakan sidang media hari ini dan berjanji tidak akan menganjurkan himpunan Bersih 6 bagi menuntut Dr Mahathir mengundurkan diri.
Sebaliknya, menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann selaku jurucakap NGO berkenaan, Dr Mahathir perlu menetapkan satu tarikh peralihan kuasa yang jelas.
Katanya, tarikh antara setahun dari sekarang hingga selewat-lewatnya 9 Mei 2021 perlu ditetapkan untuk mengelakkan pelbagai khabar angin daripada disebarkan.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/tiga-ngo-desak-mahathir-berundur-selewatnya-9-mei-2021/

Tuesday, July 2, 2019

Abdul Azeez sedia serah kerusi pada PAS



MALAYSIAKINI




Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan kesediaan melepaskan kerusi yang disandangnya kepada PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.

Menurutnya, penyatuan ummah antara Umno dan PAS amat penting demi agama, bangsa dan tanah air dan bukan demi kepentingan mana-mana individu.

"PRU bila-bila masa, sama ada tiga tahun daripada sekarang, esok atau tahun depan. Saya yakin dan percaya rakyat sudah tahu siapa mereka ingin pilih.

"Saya sendiri, jika perlu korbankan diri saya demi rakyat pada masa depan berkenaan kerusi, saya rela, sanggup reda dan ikhlas," katan Abdul Azeez dipetik Sinar Online.


Pada PRU14, Abdul Azeez mempertahankan kerusi parlimen Baling dengan majoriti 1,074 undi menewaskan calon PAS dan Bersatu.

Penyandang parlimen Baling selama dua penggal itu turut mahu Kedah terutamanya di kawasannya menjadi model terbaik penyatuan ummah dan kerjasama PAS dan Umno dalam menghadapi PRU.

"Dengan izin Allah juga Kedah akan jadi satu negeri contoh.

"Saya juga melihat kerjasama antara PAS dan Umno sangat baik dengan menerima sambutan ahli yang memberangsangkan setiap kali program bersama dianjurkan.

“Saya yakin dan percaya ini petanda cukup baik kerana perpaduan ummah ini untuk agama, bangsa, agama dan tanah air," Abdul Azeez dilaporkan sebagai berkata.

Isu berkaitan penyerahan kerusi antara PAS dan Umno timbul selepas Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dilaporkan membuat cabaran itu semalam.

Azan berkata Umno dan PAS perlu saling menyerahkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dimenangi pembangkang bagi membuktikan keikhlasan kerjasama yang dicapai dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan Umno dan PAS sekadar bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dan bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti yang dijanjikan.


Mujahid! Minta maaf @ berundur




TYRAZALHE

UYGHUR: ADAKAH KENYATAAN MENTERI AGAMA PENDIRIAN RASMI PUTRAJAYA?


BANGI – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali hari ini menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa berhubung lawatannya ke Xinjiang, China baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kesal terhadap kenyataan menteri agama Malaysia itu kerana memperlihatkan sokongan beliau kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

Merujuk kenyataan yang disiarkan Mujahid di Facebooknya Rabu lalu, Khairuddin berkata, beliau merasakan Mujahid tidak meneliti berita sebenar nasib umat Islam Uyghur, atau hanya menyuarakan pendirian rasmi kerajaan Malaysia sesuai dengan kedudukannya sebagai menteri.

“Amat tidak patut sekali beliau menunjukkan sokongan kepada China dalam isu yang sedang mendapat perhatian oleh pelbagai negara serta agensi dan pertubuhan sehingga ke peringkat antarabangsa yang sedang berusaha memberikan tekanan kepada China bagi menamatkan krisis kemanusiaan di negara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menggesa Wisma Putra segera menjelaskan sama ada kenyataan Mujahid itu mewakili pendirian dan dasar rasmi kerajaan dalam hubungan antarabangsa atau ia bersifat peribadi.

“Jika ia adalah kenyataan peribadi beliau, maka amat wajar Kabinet mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada menteri itu dan beliau mesti segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia atau meletakkan jawatan,” katanya.

Kenyataan Mujahid yang mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur – istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang – seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas, mencetuskan kritikan pengguna media sosial.

Bahkan, beliau turut teruk dikecam netizen apabila dalam ucapannya menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’.

Usul wajibkan anggota Parlimen isytihar harta dibentang di Dewan Rakyat



THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Usul mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata langkah itu adalah satu usaha kerajaan dalam mewujudkan sebuah negara yang berakauntabiliti, telus dan bebas rasuah.

“Walaupun kerajaan dah ambil tindakan untuk mereformasi perkhidmatan kerajaan berkaitan rasuah dan mula pendakwaan terhadap individu disyaki melakukan rasuah, kerajaan berpendapat inisiatif kerajaan ini masih boleh ditambah baik.

“Usaha kerajaan untuk perangi rasuah bukan sahaja berkaitan tindakan pencegahan dan hukuman tapi membabitkan isu perspektif rakyat iaitu usaha itu mesti dapat dilihat dan disedari lapisan rakyat,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Liew berkata kerajaan mengambil maklum tiada undang-undang mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan harta, justeru atas faktor itu, kerajaan berpendirian usul itu cara paling baik untuk menguatkuasakan tindakan mewajibkan setiap daripada mereka mengisytiharkan harta.

Beliau menarik perhatian dewan bahawa memandangkan pengisytiharan itu telah dilaksanakan anggota pentadbiran dan anggota Parlimen kerajaan, maka sudah tiba masa semua anggota Parlimen termasuk pembangkang membuat perkara sama atas prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Katanya usul itu akan terpakai kepada semua anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

“Sebaik usul ini diluluskan ia akan membolehkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan sehingga 1 Okt 2019 dengan mengisi borang akuan berkanun yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kesemua akuan berkanun ini perlu diakui sumpah sebagaimana ditetapkan dalam Akta Akuan Berkanun 1960 atau Akta 783. Dalam konteks ini harta yang dinyatakan adalah pendapatan bulanan dan semua harta alih dan tidak alih, di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata akuan berkenaan kemudian akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan dan disalin kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian dimuat naik senarai nama dan butiran harta anggota Parlimen selama tempoh tiga bulan dari tarikh SPRM menerima akuan berkanun.

“Memandangkan usul ini satu ketetapan Dewan yang akan mengikat semua anggota Parlimen, maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada arahan ini, Yang Berhormat boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

“Seterusnya sekiranya didapati membuat akuan tidak benar, maka anggota itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan, anggota Parlimen berkenaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tiga tahun dan denda,” katanya.