Tuesday, July 2, 2019

Usul wajibkan anggota Parlimen isytihar harta dibentang di Dewan Rakyat



THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Usul mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing dibentang di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata langkah itu adalah satu usaha kerajaan dalam mewujudkan sebuah negara yang berakauntabiliti, telus dan bebas rasuah.

“Walaupun kerajaan dah ambil tindakan untuk mereformasi perkhidmatan kerajaan berkaitan rasuah dan mula pendakwaan terhadap individu disyaki melakukan rasuah, kerajaan berpendapat inisiatif kerajaan ini masih boleh ditambah baik.

“Usaha kerajaan untuk perangi rasuah bukan sahaja berkaitan tindakan pencegahan dan hukuman tapi membabitkan isu perspektif rakyat iaitu usaha itu mesti dapat dilihat dan disedari lapisan rakyat,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

Liew berkata kerajaan mengambil maklum tiada undang-undang mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan harta, justeru atas faktor itu, kerajaan berpendirian usul itu cara paling baik untuk menguatkuasakan tindakan mewajibkan setiap daripada mereka mengisytiharkan harta.

Beliau menarik perhatian dewan bahawa memandangkan pengisytiharan itu telah dilaksanakan anggota pentadbiran dan anggota Parlimen kerajaan, maka sudah tiba masa semua anggota Parlimen termasuk pembangkang membuat perkara sama atas prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Katanya usul itu akan terpakai kepada semua anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak-anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

“Sebaik usul ini diluluskan ia akan membolehkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta dalam tempoh tiga bulan sehingga 1 Okt 2019 dengan mengisi borang akuan berkanun yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Kesemua akuan berkanun ini perlu diakui sumpah sebagaimana ditetapkan dalam Akta Akuan Berkanun 1960 atau Akta 783. Dalam konteks ini harta yang dinyatakan adalah pendapatan bulanan dan semua harta alih dan tidak alih, di dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata akuan berkenaan kemudian akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan dan disalin kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian dimuat naik senarai nama dan butiran harta anggota Parlimen selama tempoh tiga bulan dari tarikh SPRM menerima akuan berkanun.

“Memandangkan usul ini satu ketetapan Dewan yang akan mengikat semua anggota Parlimen, maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada arahan ini, Yang Berhormat boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

“Seterusnya sekiranya didapati membuat akuan tidak benar, maka anggota itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan jika disabit kesalahan, anggota Parlimen berkenaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimun tiga tahun dan denda,” katanya.

No comments:

Post a Comment