Thursday, August 8, 2019

Tiga NGO desak Mahathir berundur selewatnya 9 Mei 2021


Tiga NGO desak Mahathir berundur selewatnya 9 Mei 2021
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebulat suara meminta Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan Persekutuan.
Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
NGO berkenaan menerusi surat terbuka bersama kepada Dr Mahathir menggesa Perdana Menteri dan kepimpinan PH mengambil langkah jelas untuk membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Menurut surat tersebut, pergolakan PKR selaku parti komponen utama dalam gabungan PH sedang meresahkan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.
“Kerisauan kami adalah agenda pembaikan kerajaan PH yang akan terhenti atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.
“Kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan tanggungjawab dalam penggal ke-14 Parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk PRU15,” kata ketiga-tiga NGO tersebut dalam surat terbuka bersama hari ini.
Mengulas lanjut berhubung penyerahan kuasa tersebut, walaupun tidak ada ketetapan masa yang dinyatakan dalam perjanjian, Dr Mahathir dalam pelbagai majlis sering berkata tempoh peralihan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun selepas PH membentuk kerajaan.
“Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Dengan pelan peralihan yang jelas, ini akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan perpecahan gabungan PH,” kata NGO itu.
Dalam pada itu, ketiga-tiga NGO berkenaan turut mengemukakan beberapa langkah lain untuk mengembalikan kestabilan politik.
Antara cadangan tersebut ialah menetapkan had penggal Perdana Menteri agar tidak memegang kuasa terlalu lama dan pengurangan penumpuan kuasa eksekutif yang dimiliki Perdana Menteri.
Tiga NGO itu juga mahu pengukuhan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara dipercepatkan.
“Kami menggesa pimpinan kerajaan PH, Dr Mahathir, Majlis Presiden PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini.
“Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua, yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti,” kata kenyataan bersama itu.
Tiga NGO itu turut menasihatkan PH bahawa parti itu hanya mempunyai kurang daripada empat tahun untuk memenuhi janji serta memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran.
Dalam perkembangan lain, tiga NGO berkenaan turut mengadakan sidang media hari ini dan berjanji tidak akan menganjurkan himpunan Bersih 6 bagi menuntut Dr Mahathir mengundurkan diri.
Sebaliknya, menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann selaku jurucakap NGO berkenaan, Dr Mahathir perlu menetapkan satu tarikh peralihan kuasa yang jelas.
Katanya, tarikh antara setahun dari sekarang hingga selewat-lewatnya 9 Mei 2021 perlu ditetapkan untuk mengelakkan pelbagai khabar angin daripada disebarkan.


Berita penuh https://malaysiadateline.com/tiga-ngo-desak-mahathir-berundur-selewatnya-9-mei-2021/

No comments:

Post a Comment